Surah al-Baqarah 2/30:
Dan (ingatlah) ketika Rabb (Tuhan) engkau berfirman kepada para malaikat:
“Sesungguhnya Aku hendak jadikan seorang khalifah (wakil) di bumi.” Mereka
(malaikat) bertanya: “Adakah Engkau hendak jadikan padanya (di bumi) orang
yang akan melakukan kerosakan di dalamnya dan menumpahkan darah, padahal
kami bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?” Dia berfirman: “Sesungguhnya
Aku mengetahui apa yang kamu tidak mengetahuinya.”
Allah swt mengumumkan kepada para malaikat bahawa Dia akan menciptakan
khalifah pada bumi. Pengumuman Allah swt itu mengejutkan malaikat. Malaikat
adalah makhluk Allah swt yang Dia ciptakan dan Dia kurniakan kepada malaikat
sifat yang baik-baik sahaja, tidak ada sifat yang buruk. Malaikat hanya tahu
melakukan ketaatan kepada Allah swt, beribadat dan bertasbih dengan memuji
dan mensucikanNya. Tidak ada bakat pada malaikat untuk mereka berbuat
sesuatu yang menyalahi perintah Allah swt. Oleh itu, penciptaan satu jenis
makhluk yang memiliki keupayaan untuk berbuat baik dan juga berbuat yang
tidak baik sangatlah menghairankan malaikat. Lantas mereka bertanya kepada
Allah swt apakah Allah swt mahu menciptakan makhluk yang mampu berbuat kerosakan,
malah mampu menumpahkan darah? Apakah tidak memadai keadaan alam makhluk
ketika itu yang hanya dihuni oleh mereka yang hanya tahu beribadat kepada
Allah swt, bertasbih dengan memuji dan mensucikanNya? Bukankah sistem alam
sudah teratur? Bukankah sekalian makhluk sudah berada dalam keseimbangan?
Mengapa perlu mengganggu keseimbangan makhluk dan sistem yang teratur itu?
Allah swt menegaskan kepada malaikat bahawa Dia mengetahui apa yang
malaikat tidak tahu. Malaikat tidak tahu yang keadaan ketika itu adalah umpama
seorang yang memiliki satu tangan, iaitu tangan kanan sahaja. Oleh kerana
dia mampu melakukan berbagai-bagai perkara dengan satu tangan itu dia merasakan
keadaannya sudah stabil dan seimbang. Dia tidak tahu dia memerlukan tangan
kiri untuk kestabilan dan keseimbangannya. Satu kualiti tidak melahirkan
makrifat yang sempurna. Kanan perlu kepada kiri untuk kenal ia adalah kanan.
Putih perlukan hitam untuk kenal ia adalah putih. Baik perlukan buruk untuk
kenal ia adalah baik. Dua keadaan yang berbeza memperkenalkan satu sama lain
secara sempurna.
Sebelum Adam as diciptakan semua makhluk berada pada taraf malaikat. Semuanya
hanya tahu berbuat ibadat kepada Allah swt. Tidak ada yang tahu menderhakai
Allah swt, walaupun ketika itu sudah ada makhluk yang memiliki potensi untuk
berbuat kederhakaan kepada Allah swt. Azazil yang memiliki bakat kejahatan
yang besar tidak mampu mengeluarkan bakat tersebut. Azazil hanya tahu melakukan
ibadat. Bakat jahatnya terpendam dan tidak terusik sehinggalah Adam as diciptakan.
Surah al-Baqarah
2/31-33: Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (pengenalan yang lengkap)
sekaliannya; kemudian Dia mengemukakan kepada malaikat, lalu Dia berfirman:
“Terangkan kepada-Ku nama-nama itu semuanya, jika kamu golongan yang benar.”
Mereka (malaikat) menjawab: “Subhanaka (Maha Suci Engkau)! Tidak ada pengetahuan
kami kecuali yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau, Engkau
Al-‘Alim (Yang Maha Mengetahui), Al-Hakim (Yang Maha Bijaksana).” Dia berfirman:
“Wahai Adam! Terangkanlah kepada mereka nama-nama itu semuanya.” Maka setelah
dia (Adam) menerangkan kepada mereka (malaikat) nama-nama itu semua, Dia
(Allah) berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu bahawa sesungguhnya
Aku lebih mengetahui keghaiban semua langit dan bumi, dan juga Aku mengetahui
apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan.”
Allah swt bekalkan bakat dan ajarkan ilmu serta makrifat kepada makhlukNya
supaya masing-masing dapat berfungsi sesuai dengan kejadian masing-masing.
Pada kejadian malaikat tidak ada bakat dan keupayaan untuk berbuat derhaka
kepada Allah swt dan melakukan kesilapan dalam menjalankan tugas yang Allah
swt berikan. Oleh kerana bakat dan keupayaan sedemikian tidak ada, maka malaikat
tidak ada kekuatan untuk melanggar perintah Allah swt dan malaikat tidak
tahu melakukan kesilapan.
Allah swt melantik Adam as menjadi khalifah di bumi. Allah swt bekalkan
bakat kekhalifahan dan ajarkan ilmu serta makrifat kepada Adam as agar Adam
as mampu menjalankan tugas kekhalifahan tersebut. Oleh kerana Adam as sahaja
khalifah di bumi, maka Adam as sahaja yang memperolehi bakat serta ilmu dan
makrifat berkenaan. Malaikat tidak ada bakat, ilmu dan makrifat tersebut.
Sebab itu apa yang Allah swt ajarkan kepada Adam as tidak diketahui oleh
malaikat. Makhluk lain juga tidak tahu apa yang manusia tahu. Dalam kejadian
lembu, kambing dan ayam tidak ada maklumat tentang 2+2=4. Usaha mengajar lembu,
kambing dan ayam supaya menerima 2+2=4 adalah sia-sia. Dalam kejadian manusia
ada maklumat tentang sains, matematik dan sebagainya. Justeru manusia mampu
menerokai bidang-bidang tersebut sekalipun kelihatan kompleks.
Surah al-Sajdah 32/7-9:
Yang memperelokkan segala sesuatu yang Dia ciptakan, dan Dia memulai penciptaan
manusia daripada tanah. Kemudian Dia menjadikan keturunannya daripada saripati
air yang hina (air mani). Kemudian Dia menyempurnakannya dan meniupkan
ke dalamnya daripada Roh-Nya, dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan
dan hati; (tetapi) sedikit sekali kamu bersyukur.
Allah swt menciptakan makhlukNya bukan sambil lewa atau sembarangan sahaja.
Dia menciptakan makhlukNya dengan kesempurnaan dan keelokan. Dia memulakan
penciptaan manusia daripada tanah. Dia gubah tanah sehingga menjadi berlainan
bentuk dan sifat, menjadi satu makhluk lain yang sangat elok dan sempurna
sifatnya. Kemudian Allah swt ciptakan keturunan manusia pertama itu daripada
air yang hina (air mani) yang terjadi melalui saringan unsur tanah yang ada
pada bahan pemakanan mereka. Apabila kejadian manusia itu sempurna Allah
swt tiupkan ke dalam lembaga manusia itu daripada RohNya. Sebelum ditiupkan
Roh lembaga manusia adalah benda mati walaupun cukup lengkap sekalian anggotanya.
Roh menghidupkan lembaga manusia, menjadikannya mendengar dan melihat, menjadikan
hatinya berfungsi dan berfungsi segala anggotanya.
Surah al-A’raf 7/11: Dan
sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, dan Kami bentuk rupa kamu. Kemudian
Kami perintahkan kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam,” dan mereka
semua sujud kecuali iblis, dia (iblis) tidak termasuk golongan yang bersujud.
Surah al-Hijr 15/29-31:
“Maka apabila Aku sempurnakan (kejadian)nya, dan Aku tiupkan padanya (Adam)
daripada Roh-Ku, hendaklah kamu tunduk kepadanya dengan bersujud.” Maka
bersujudlah malaikat sekaliannya. Kecuali iblis, ia enggan menyertai (malaikat)
yang bersujud.
Surah al-Baqarah 2-34:
Dan (ingatlah) tatkala Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kepada Adam.”
Lalu sujudlah mereka kecuali iblis; ia (iblis) enggan dan takbur, jadilah
ia (iblis) daripada golongan yang kafir.
Surah al-A’raf 7/12: Dia
(Allah) berfirman: “Apakah yang menghalangi kamu (iblis) daripada bersujud
ketika Aku perintahkan kamu?” Dia (iblis) menjawab: “Aku lebih baik daripadanya
(Adam). Engkau ciptakan aku daripada api, sedangkan Engkau ciptakan dia daripada
tanah.”
Surah al-Hijr 15/32-33:
Dia (Allah) berfirman: “Hai iblis! Mengapa kamu tidak bersujud bersama-sama
(malaikat) yang bersujud?” Dia (iblis) menjawab: “Aku tidak akan bersujud
kepada manusia yang Engkau ciptakan daripada tanah liat kering, daripada
tanah hitam yang berubah bau.”
Surah al-Kahf 18/50: Dan
(ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam,”
maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia (iblis) adalah daripada (golongan)
jin, ia menderhakai perintah Rabb (Tuhan)nya. Patutkah kamu mengambilnya
(iblis) dan keturunannya sebagai aulia (pemimpin) selain daripada-Ku, sedang
mereka adalah musuh kamu? Amat buruklah pengganti bagi orang yang zalim.
Apabila kejadian Adam as sudah sempurna dan sudah hidup datanglah perintah
Allah swt kepada malaikat supaya sujud kepada Adam as. Perkaitan Adam as
dengan hidup yang lahir daripada tiupan dari
Roh Allah swt membuatkan malaikat perlu sujud kepada Adam as. Roh yang
Allah swt kurniakan kepada manusia merupakan sesuatu yang paling istimewa,
tidak ada pada makhluk yang lain. Manusia mempunyai jasad daripada unsur
tanah tetapi rohaninya atau nuraninya daripada alam tinggi. Ini terbukti apabila
manusia yang paling sempurna rohaninya, Nabi Muhammad saw, mampu melepasi
peringkat alam yang tidak mampu dilepasi oleh Jibrail as dan seterusnya menghadap
Allah swt pada peringkat yang tidak ada makhluk lain menghadap Tuhannya sedemikian.
Pada kejadian manusia, disebalik jasadnya yang kasar dan gelap tersimpan
nur yang sangat latif dan murni, melebihi kemurnian nur malaikat. Malaikat
yang pada mulanya mempersoalkan kehendak Allah swt mahu menciptakan khalifah
di bumi, akur dengan keputusan Allah swt yang bijaksana dalam menciptakan
manusia. Justeru mereka sujud tanda pengakuan mereka Allah swt tidak melakukan
kesilapan dalam keputusan dan perbuatanNya.
Malaikat yang asli hanya memiliki bakat untuk taat kepada perintah Allah
swt, tidak ada bakat untuk berbuat sebaliknya. Mereka terima perintah sujud,
lalu mereka sujud. Azazil, walaupun bertaraf malaaikat ketika itu, tetapi
Azazil adalah bangsa jin yang memiliki keupayaan untuk tidak taat kepada
perintah Allah swt. Bakat tersebut dinamakan iblis. Perintah sujud menjadi
titik peralihan bakat kederhakaan mengatasi bakat ketaatan yang ada pada Azazil.
Berlakulah transformasi mengubah Azazil menjadi iblis. Sudah tentu wajah
dan rupa bentuk Azazil yang taat berbeza dengan wajah dan rupa bentuk iblis
yang derhaka. Kederhakaan kepada Allah swt menjadi punca berlaku transformasi
makhluk kepada sifat aslinya. Sifat malaikat yang dipakai oleh Azazil telah
menutupi sifat jinnya yang asli. Apabila berlaku kederhakaan kepada Allah
swt, tertanggallah sifat malaikat dan muncullah dengan sempurna sifat jinnya.
Keegoan atau takburnya menyebabkan jin iblis itu menjadi kafir dan mendapat
laknat Allah swt.
Iblis hanya melihat kepada bekas luaran manusia yang diciptakan daripada
tanah. Dia menyangka unsur tanah itulah intipati manusia. Iblis tidak tahu
tanah merupakan anasir yang paling sesuai, yang mampu menjadi bekas untuk
menyimpan nur yang paling latif yang Allah swt kurniakan kepada khalifahNya.
Iblis membandingkan kejadiannya daripada api dengan kejadian manusia luaran
daripada tanah. Dia tidak dapat melihat apinya tidak mengatasi nur manusia,
malah nur malaikat tidak mengatasi nur manusia.
Penciptaan Adam as membawa makhluk berfungsi sepenuhnya menurut bakat
yang ada dengan mereka. Bakat iblis keluar dari persembunyiannya dan akan
membawa ramai dari kalangan manusia dan jin mengikutinya ke dalam neraka.
Neraka yang pada mulanya tidak tahu fungsinya kerana semua makhluk bertaraf
malaikat, tetapi apabila iblis sudah muncul neraka menjadi tenang kerana
ia akan mendapat rezki yang banyak.
Surah Qaf 50/30: Pada
Hari Kami bertanya kepada (Neraka) Jahanam: "Apakah kamu sudah penuh?" Dia
menjawab: "Masih adakah tambahan?"
Penciptaan Adam as merupakan kesempurnaan kestabilan dan keseimbangan
sekalian makhluk ciptaan Allah swt. Pada penciptaan Adam as tersimpan potensi
yang besar yang kelak akan lahir manusia-manusia pilihan yang akan membacakan
ayat-ayat Allah swt, memperkenalkan Allah swt, mengajak umat manusia mengabdikan
diri dan beribadat kepada Allah swt dan akan muncullah kaum yang mengikuti
yang demikian. Seterusnya lahirlah insan yang Allah swt sebutkan:
Surah al-Anbiya’ 21/107:
Dan tidak Kami utuskan engkau, melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam.
Makrifatullah menstabil dan mengujudkan keseimbangan pada alam kejadian.
Allah swt menghantarkan rahmatnya kepada sekalian alam melalui orang-orang
yang membawa makrifatullah dan mengajak berbuat taat dan beribadat kepada
Allah swt. Penciptaan Adam as yang menyimpan potensi “rahmat bagi sekalian
alam” menjadikan alam wujud dengan bermatlamat.
Surah al-Hijr 15/34-35:
Dia berfirman: “Keluar kamu daripadanya (Syurga), sesungguhnya kamu
terusir!” “Dan sesungguhnya laknat atas kamu, sehingga Hari Pembalasan.”
Syurga hanya layak dihuni oleh mereka yang taat kepada Allah swt. Iblis
yang derhaka tidak boleh lagi tinggal di sana. Iblis diusir dan dicopkan
laknat ke atasnya. Apabila Allah swt melaknatkan iblis sampai Hari Pembalasan.
Tidak ada jalan lagi untuknya kembali dan semua pintu taubat tertutup untuknya.
Iblis yang sudah dicabut bakat kebaikan daripadanya dan dilaknat tidak sedikitpun
kesal dengan kedudukannya. Bakat jahatnya menjadi semakin kuat.
Surah al-Hijr 15/36-38:
Dia (iblis) berkata: “Rabbi (wahai Tuhanku)! Berilah tempoh kepadaku sehingga
Hari mereka dibangkitkan.” Dia (Allah) berfirman: “Sesungguhnya kamu daripada
mereka yang diberi tempoh.” “Sehingga Hari yang ditentukan itu.”
Iblis, makhluk yang paling jahat membuat permohonan kepada Allah swt agar
dia tidak dimatikan sehingga berlakunya kiamat. Allah swt memperkenankan
permintaan makhlukNya itu. Selagi ada manusia selagi itulah ada iblis yang
bekerja memesungkan mereka dari jalan Allah swt.
Surah al-Hijr 15/39-44:
Dia (iblis) berkata: “Rabbi (wahai Tuhanku)! Oleh kerana Engkau telah menyesatkan
daku, maka aku akan hiaskan (kejahatan) di bumi, dan aku akan perdayakan
mereka sekaliannya. Kecuali hamba-hamba Engkau yang ikhlas di kalangan mereka.”
Dia (Allah) berfirman: “Ini adalah jalan kepada-Ku, yang lurus. Sesungguhnya
hamba-Ku, tidaklah ada kekuasaan bagimu (iblis) atas mereka, kecuali sesiapa
yang mengikuti kamu, (iaitu) orang yang sesat.” Dan sesungguhnya (Neraka)
Jahanam itu tempat yang dijanjikan buat mereka. Ia (Neraka Jahanam) mempunyai
tujuh pintu; tiap-tiap pintu (ditentukan bagi) golongan tertentu daripada
mereka.
Surah al-A’raf 7/13-18:
Dia berfirman: “Turunlah kamu daripadanya (Syurga ini), kerana kamu tidak
patut menyombong di dalamnya. Maka keluarlah kamu, sesungguhnya kamu termasuk
golongan yang rendah.” Dia (iblis) berkata: “Beri tangguhlah kepadaku hingga
ke Hari mereka dibangkitkan.” Dia (Allah) berfirman: “Sesungguhnya kamu
termasuk golongan yang diberi tangguh.” Dia (iblis) berkata: “Oleh kerana
Engkau hukumkan aku sesat, maka aku akan halangi mereka (manusia) daripada
jalan Engkau yang lurus.” “Kemudian aku (iblis) akan mendatangi mereka (manusia)
dari hadapan mereka, dari belakang mereka, dari kanan mereka dan dari kiri
mereka, dan Engkau akan dapati kebanyakan mereka tidak bersyukur.” Dia berfirman:
“Keluarlah kamu daripadanya (Syurga), (dalam keadaan) terhina dan terusir.
Sesungguhnya sesiapa antara mereka mengikuti kamu (iblis), sungguh Aku akan
penuhkan (Neraka) Jahanam dengan kamu sekalian.”
Surah an-Nisa’ 4/118-121:
Allah telah melaknatnya dan dia (syaitan) berkata: “Aku akan tarik daripada
hamba-hamba Engkau bahagian yang sudah ditentukan.” “Dan aku (syaitan) akan
sesatkan mereka, aku akan janjikan angan-angan kosong kepada mereka dan sungguh
aku mahu menguasai mereka. Aku (syaitan) akan suruh mereka memotong telinga
binatang ternakan, dan mengubah ciptaan Allah.” Dan sesiapa menjadikan syaitan
sebagai wali (pelindung) selain daripada Allah, sesungguhnya rugilah dia,
kerugian yang nyata sekali. Dia (syaitan) menaburkan janji-janji dan angan-angan
kosong dan tidak ada yang dijanjikan syaitan kecuali tipuan belaka. Mereka
itu tempat kembalinya ialah (Neraka) Jahanam, dan mereka tidak dapat lepas
(lari) daripadanya.
Iblis berikrar bahawa dia akan menghiaskan kejahatan sehingga perkara
yang jahat itu dilihat elok dan menyeronokkan si pelakunya. Dia akan perdayakan
manusia dengan berbagai-bagai cara. Dia akan halangi manusia daripada jalan
Allah swt yang lurus. Dia akan mendatangi manusia dari hadapan mereka, dari
belakang mereka, dari kanan mereka dan dari kiri mereka, dan dia akan buat
kebanyakan manusia tidak bersyukur. Dia akan menjanjikan angan-angan kosong
kepada manusia. Dia akan cari jalan untuk menguasai manusia. Bila manusia
sudah dikuasainya dia akan mengadakan upacara ibadat sendiri seperti memotong
telinga binatang ternakan, dan mengubah ciptaan Allah.
Begitu hebat ikrar iblis kepada Allah swt. Terang-terang iblis mencabar
Allah swt tetapi Allah swt mengizinkan iblis menjalankan pengkhianatannya
kepada umat manusia. Iblis sudah memilih satu jalan yang tidak ada rahmat
Allah swt baik di dunia mahupun di akhirat. Oleh yang demikian Allah swt
menunaikan keinginannya agar di akhirat kelak tidak ada ruang langsung buat
iblis memohon kashan belas Allah swt.
Walaupun hebat ikrar dan azam iblis mahu menyesatkan umat manusia namun,
iblis tahu dia tidak mampu menyesatkan hamba-hamba Allah swt yang ikhlas.
Umat manusia yang mengambil kedudukan sebagai hamba abdi Allah swt
akan dipelihara oleh Allah swt sehingga iblis tidak ada kekuasaan terhadap
mereka.
Iblis mengistiharkan permusuhan yang dahsyat terhadap Bani Adam. Jika
dilihat pada tekad dan kesungguhan iblis itu nescaya amat sukar sekali bagi
manusia menjadi hamba Allah yang taat. Di sini menunjukkan betapa manusia
memerlukan pertolongan dan bimbingan daripada Allah swt. Keadaan demikian
menjadi indikasi umat manusia memerlukan utusan-utusan Allah atau Rasul-rasul
Allah untuk membimbing mereka mempertahaankan diri daripada serangan iblis
dan tenteranya.
Surah al-Baqarah 2/35:
Dan Kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isteri engkau di dalam
Taman (Syurga) ini, dan makanlah kamu berdua daripadanya sepuas-puasnya sebagaimana
kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (kalau kamu menghampirinya)
kamu akan tergolong daripada orang yang zalim.
Surah al-A’raf 7/19: (Allah
berfirman): “Wahai Adam, tinggallah kamu bersama isteri kamu di dalam Taman
(Syurga) itu, makanlah kamu berdua apa yang kamu ingini, tetapi janganlah
kamu berdua dekati pohon ini, sebab (kalau kamu dekati pohon itu) kamu berdua
akan termasuk orang yang zalim.”
Surah Ta Ha 20/118-119:
“Sesungguhnya kamu tidak akan kelaparan di dalamnya dan tidak telanjang.”
“Dan sesungguhnya kamu tidak akan merasa dahaga dan tidak akan merasa kepanasan
di dalamnya."
Adam as yang dipilih menjadi khalifah diberi penghurmatan dengan menempatkannya
dan pasangannya di syurga. Sebelum dihantar ke dunia Adam as terlebh dahulu
menjalani kehidupan syurga. Adam as menjadi saksi bahawa syurga yang dijanjikan
Allah swt adalah benar.
Adam as dan pasangannya diberi kebebasan untuk memakan apa sahaja di dalam
syurga, tetapi mereka dilarang keras daripada menghampiri satu pokok. Jika
mereka menghampiri pokok itu mereka akan
menjadi tergolong daripada orang yang zalim, iaitu tidak berpegang kepada
amanah yang Allah swt berikan.
Surah al-Baqarah 2/36:
Digelincirkan kedua-duanya oleh syaitan daripada (larangan) itu, maka (Allah)
mengeluarkan keduanya dari tempat mereka berada (Syurga). Dan Kami berfirman:
“Turunlah kamu! Sebahagian daripada kamu menjadi musuh kepada sebahagian
yang lain; dan bagi kamu di bumi, adalah tempat menetap dan kesenangan, sehingga
sampai waktu yang ditentukan.”
Surah Ta Ha 20/115: Dan
sesungguhnya Kami berikan perjanjian kepada Adam dahulu, dia lupa, dan tidak
Kami dapati padanya kemahuan yang kuat.
Adam as terleka dengan nikmat syurga sehingga dia lupa kepada pesan Allah
swt. Sesiapa yang melupai amanat Allah swt akan mudahlah dia diperdaya oleh
iblis.
Surah az-Zukhruf 43/36-37:
Sesiapa berpaling daripada mengingati Al-Rahman (Yang Maha Pemurah), Kami
tentukan baginya syaitan, ia (syaitan itu) menjadi teman baginya. Dan sesungguhnya
mereka (syaitan itu) benar-benar menghalangi mereka daripada jalan, sedang
mereka menyangka mereka mendapat petunjuk.
Dalam kealpaan itulah Adam as terpengaruh dengan tipudaya syaitan. Adam
as terpedaya kerana dia alpa bukan kerana dia sengaja mahu menderhakai Allah
swt.
Surah Ta Ha 20/120-121:
Kemudian syaitan mengenakan waswas kepadanya (Adam), dengan berkata: "Wahai
Adam, mahukah aku tunjukkan kepada engkau pohon khuldi (pohon abadi) dan
kerajaan yang tidak akan binasa?" Kedua-duanya memakan daripadanya (pohon
itu), lalu kelihatan kepada mereka aurat mereka, dan segeralah mereka menutupinya
dengan daun-daun daripada Taman (Syurga). Maka derhakalah Adam kepada Rabb
(Tuhan)nya dan sesatlah dia.
Surah al-A’raf 7/20-22:
Maka syaitan membisikkan kepada kedua-duanya untuk menampakkan kepada kedua-duanya
apa yang tertutup daripada aurat kedua-duanya, dan syaitan berkata: “Rabb
(Tuhan) kamu tidak melarang kamu berdua daripada (mendekati) pohon ini, melainkan
supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau kamu berdua menjadi orang
kekal.” Dan dia (syaitan) bersumpah kepada keduanya: “Sesungguhnya aku termasuk
orang yang memberi nasihat kepada kamu berdua.” Maka dia (syaitan) memujuk
mereka berdua dengan tipu-daya. Maka apabila mereka berdua merasai pohon
itu, terbukalah aurat kedua-duanya, lalu mereka menutupinya dengan daun Taman
(Syurga). Dan Rabb (Tuhan) mereka berseru kepada mereka: “Bukankah Aku telah
melarang kamu berdua daripada pohon itu, dan Aku telah memberitahu kamu berdua
bahawa syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?”
Syaitan memperdayakan Adam as melalui keinginan Adam as sendiri. Adam
as yang mendiami syurga mengingini keabadian syurga. Syaitan mengatakan
pohon yang Adam as dilarang mendekatinya itu adalah pohon abadi. Jika sesiapa
memakan buahnya akan hidup kekal dalam syurga, tidak mati-mati. Keinginan
kepada keabadian itulah yang memerangkap Adam as dan pasangannya. Syaitan
mengatakan Adam as dan pasangannya dilarang memakan buah tersebut supaya mereka
tidak menjadi malaikat yang hidup kekal abadi. Syaitan menguatkan alasannya
dengan bersumpah yang dia bercakap benar. Pujuk rayu syaitan itu berjaya
memperdayakan Adam as dan pasangannya. Mereka melanggar pesanan Allah swt
dengan merasai pohon terlarang. Akibatnya terbukalah aurat mereka, lalu mereka
menutupinya dengan daun syurga.
Menyesallah Adam as dan pasangannya. Mereka telah menderhakai Alah swt.
Mereka tidak tahu apa yang mesti mereka buat bagi menebus kesalahan mereka.
Mereka bermohon kepada Allah swt meminta petunjuk apakah yang mesti mereka
lakukan. Allah swt memperkenankan permintaan mereka.
Surah al-Baqarah 2/37-38:
Setelah itu, Adam menerima beberapa kalimah daripada Rabb (Tuhan)nya, maka
Dia menerima taubatnya (Adam); sesungguhnya Dia (Allah) Al-Tawwab (Yang Maha
Menerima taubat), Al-Rahim (Yang Maha Mengasihani).
Surah al-A’raf 7/23: Keduanya
menjawab: “Rabbana (wahai Tuhan kami)! Kami telah menganiayai diri kami sendiri,
dan jika Engkau tidak ampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, sungguh
jadilah kami dalam golongan orang yang rugi.”
Surah Ta Ha 20-122: Kemudian
Rabb (Tuhan)nya memilihnya, Dia menerima taubatnya dan memberinya petunjuk.
Allah swt mengajarkan doa taubat kepada Adam as yang telah melakukan kesalahan,
lalu Allah swt menerima taubatnya. Orang yang mengakui kesalahan, menyesallinya
dan bertaubat menjadi hamba pilihan Allah swt dan Allah swt menerima taubatnya.
Kemudian Allah swt memberikannya petunjuk. Subhanallah! Maha Suci Allah swt!
Iblis laknatullah melakukan kesalahan yang paling besar, menjadi
makhluk yang paling jahat namun, Allah swt masih memperkenankan permintaannya.
Adam as melakukan kesilapan, Allah swt sendiri mengajarkan cara mendapat
keampunanNya. Minta yang jahat Dia beri. Minta yang baik Dia beri. Siapakah
yang lebih baik daripada Allah swt?
Surah al-A’raf 7/24-25:
Dia (Allah) berfirman: “Turunlah kamu semua, sebahagian kamu menjadi musuh
kepada sebahagian, dan pada bumi kamu menetap dan mencari bekal hingga sampai
waktu yang telah ditentukan.” Dia (Allah) berfirman: “Dalamnya (di bumi)
kamu hidup, dalamnya kamu mati, dan daripadanya kamu akan dibangkitkan.”
Iblis yang takbur menderhakai Alalh swt dan Adam as beserta pasangannya
yang alpa sehingga terpedaya untuk mengingkari pesanan Allah swt, diperintahkan
meninggalkan alam tinggi dan turun ke alam rendah. Iblis dan syaitan-syaitannya
mengambil tempat di satu bahagian dunia sementara Adam as dan pasangannya
mengambil tempat di bumi. Adam as dan keturunannya akan hidup di bumi, kemudian
mati di sana dan seterusnya dibangkitkan dari sana.
Surah al-Baqarah 2/38:
Kami berfirman: “Turunlah kamu sekalian dari (Syurga) ini! Kemudian jika
datang kepada kamu petunjuk daripada-Ku, sesiapa menuruti petunjuk-Ku itu,
nescaya tidak ada ketakutan bagi mereka, dan tidak (pula) mereka berdukacita.”
Surah Ta Ha 20-124: (Allah)
berfirman: "Turunlah kamu berdua daripada Taman (Syurga) bersama-sama, sebahagian
kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Jika datang kepadamu petunjuk
daripada-Ku, sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu, dia tidak akan sesat
dan tidak akan celaka.” Dan sesiapa berpaling daripada peringatan-Ku, sesungguhnya
baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkannya pada Hari Kiamat
dalam keadaan buta.
Allah swt tidak akan membiarkan Adam as dan keturunannya melata di bumi
tanpa bimbingan. Dia akan hantar petunjuk dari masa ke masa bagi menyelamatkan
Bani Adam daripada kesesatan. Petunjuk Allah swt diturunkan melalui wahyuNya
kepada manusia pilihan yang dipilihNya menjadi Rasul-rasulNya. Apabila bermulanya
penghidupan Adam as dan pasangannya di bumi, maka bermulalah rantaian kerasulan
dan kenabian yang bermula dari Adam as hinggalah kepada Rasul dan Nabi terakhir.
Allah swt akan hamparkan jalan yang lurus di sepanjang zaman dan pada Dia
akan letakkan Rasul-rasulNya pada jalan tersebut bagi membimbing umat manusia
agar mereka terpimpin di atas jalan yang lurus. Mereka yang mengikuti para
Rasul tidak akan tersesat. Mereka menemui jalan kembali kepada Allah swt.
Tidak ada ketakutan dan dukacita menimpa mereka.
Surah al-A’raf 7/27: Wahai
anak Adam! Janganlah sekali-kali kamu ditipu oleh syaitan sebagaimana dia
(syaitan itu) telah (berjaya) mengeluarkan ibu bapa kamu daripada Taman (Syurga);
dia (syaitan itu) tanggalkan pakaian kedua-duanya sehingga menampakkan aurat
mereka. Sesungguhnya dia (syaitan) dan golongannya dapat melihat kamu tetapi
kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah jadikan syaitan-syaitan
sebagai aulia (pemimpin) bagi orang yang tidak beriman.
Allah swt menceritakan dengan panjang lebar kisah Adam as sebagai memberi
pengajaran dan peringatan kepada Bani Adam yang datag kemudian. Mereka diingatkan
musuh mereka iaitu syaitan tinggal dalam dunia yang sama dengan umat manusia.
Syaitan telah berjaya menipu-daya moyang manusia, Adam as. Syaitan akan lakukan
yang serupa kepada umat manusia sebagaimana sumpah iblis laknatullah. Golongan
syaitan mempunyai kelebihan iaitu mereka dapat melihat manusia tetapi manusia
tidak dapat melihat mereka. Jalan menyelamatkan manusia adalah berpegang
kepada pesanan yang Allah swt sampaikan kepada Adam as, iaitu ikutilah petunjuk
yang Allah swt hantarkan dari masa ke masa.
|