Menurut riwayat dari Ibnu Hatim, diterimanya dari Abdullah bin Umar, Adam
as turun ke bumi di Bukit Safa dan hawa di Bukit Marwah. Pada riwayat yang
lain dari Ibnu Hatim juga, katanya diterimanya dari Abdullah bin Umar juga,
Adam as turun di bumi antara Makkah dan Thaif. Ada pula riwayat Ibnu Askir,
katanya diterima dari Ibnu Abbas, Adam as turun di Hindustan dan hawa di
Jeddah. Jiddah (Jeddah) maknanya nenek perempuan. Dikatakan kubur Hawa berada
di Jeddah, panjangnya satu per empat km. Ada juga riwayat yang mengatakan
Adam as turun di Pulau Ceylon (Sri Lanka). Dikatakan di atas gunung di Ceylon
ada bekas tapak kaki Adam as. Riwayat yang lain pula mengatakan Adam as turun
di Pulau Sumatera. Kesemua riwayat yang disebutkan itu tidak ada sokongan
bahan sejarah yang kukuh dan tidak ada satu Hadis Sahih yang menguatkannya.
Apa yang sahih ialah Adam as dan Hawa turun ke bumi dan bermulalah dinasti
manusia di bumi.
Walaupun ada perbezaan besar tentang tempat Adam as turun tetapi tempat
pertemuan semula Adam as dan Hawa disepakati, iaitu di sekitar Makkatul Mukarramah.
Adam as dan keluarga pertamanya bermastautin di Makkah. Ada Hadis al-Bukhari
yang bermaksud: Abu Dzar meriwayatkan: Saya bertanya kepada Rasulullah SAW:
“Masjid manakah yang pertama dibina di atas muka bumi ini?, Rasulullah saw
menjawab: “Masjid al-Haram”. Saya bertanya lagi: “Kemudian…?”. Rasulullah
menjawab: “Masjid al-Aqsa”. Saya bertanya lagi: “Berapakah jarak di antara
keduanya (tempoh dibina kedua-duanya)?” Jawab Rasulullah saw: “Empat puluh
tahun. Di mana sahaja kamu dapat bersolat pada keduanya, maka bersolatlah
(di sana), di sana ada kelebihan (bagi mereka yang bersolat di kedua-dua
masjid tersebut)”.
Surah Aali-‘Imran 3/96-97:
Sesungguhnya Rumah yang mula-mula didirikan untuk manusia ialah yang di
Bakkah (Makkah) itu, (Rumah) yang diberkati dan menjadi petunjuk bagi isi
alam. Di sana ada ayat-ayat (tanda) yang nyata; makam (tempat berdiri) Ibrahim.
Dan sesiapa memasukinya amanlah dia. Dan kerana Allah mewajibkan manusia
mengerjakan haji ke Rumah (Baitullah) itu, (bagi) mereka yang mampu melakukan
perjalanan ke sana. Dan sesiapa kufur (mengingkari kewajipan haji itu), maka
sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya daripada sekalian alam.
Hadis dan ayat Quran di atas menyatakan Rumah Ibadat pertama didirikan
di atas muka bumi adalah Masjidil Haram di Makkah yang pada zaman dahulu
dikenali sebagai Bakkah. Setelah lama jarak masa, bangunan yang didirikan
oleh Adam as sudah runtuh, datanglah Ibrahim as membinanya semula. Rumah
Ibadat dibina di kawasan penempatan manusia, dalam hal ini tempat mastautin
generasi manusia pertama di muka bumi, iaitulah Makkah. Keluarga Adam as
membiak sehingga ada yang berpindah ke Palestin, lalu Adam as mendirikan
pula Masjidil Aqsa di penempatan baru itu. Jarak masa dua buah Rumah Ibadat
itu dibina ialah empat puluh tahun (tahun bumi).
Quran menceritakan tentang peristiwa awal yang berlaku dalam keluarga Adam
as di bumi:
Surah al-Maa-idah 5/27-31:
Dan bacakan kepada mereka cerita (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan
Qabil) dengan sebenarnya, perihal kedua-duanya mempersembahkan korban, lalu
diterima (korban) salah seorang daripada mereka dan tidak diterima daripada
yang seorang lagi. Dia (yang korbannya tidak diterima, iaitu Qabil) berkata:
“Aku pasti akan membunuh kamu.” Dia (yang korbannya diterima, iaitu Habil)
menjawab: “Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang yang
bertakwa.” “Sesungguhnya jika kamu melepaskan tangan kamu buat membunuh
aku namun, aku tidak akan melepaskan tanganku buat membunuh kamu, kerana
sesungguhnya aku takutkan Allah, Rabb (Tuhan) sekalian alam.” “Sesungguhnya
aku mahu kamu memikul dosaku dan dosamu, lalu kamu menjadi Ahli (penghuni)
Api (Neraka), dan demikian itulah balasan bagi orang yang zalim.” Tetapi
nafsunya (Qabil) mempermudahkan baginya buat membunuh saudaranya (Habil),
lantas dia (Qabil) membunuhnya (Habil), lalu jadilah dia (Qabil) termasuk
golongan orang yang rugi. Maka Allah menghantar seekor burung gagak mengorek-ngorek
bumi untuk memperlihatkan kepadanya (Qabil) bagaimana cara menguburkan mayat
saudaranya itu, lalu dia (Qabil) berkata: “Aduhai, celakanya aku! Mengapa
aku tidak berdaya melakukan seperti burung gagak itu buat menimbuskan mayat
saudaraku?” Maka jadilah dia (termasuk) golongan orang yang menyesal.
Ahli Tafsir menceritakan Siti Hawa melahirkan kembar dua pasang. Pertama
pasangan Qabil dan adik perempuannya Iqlima. Pasangan kembar kedua ialah
Habil dan adik perempuannya Lubuda. Adam as menetapkan pernikahan anak-anaknya
secara bersilang, iaitu Habil menikah dengan kembar Qabil manakala Qabil
menikah dengan kembar Habil. Qabil menolak peraturan tersebut. Dia mahu menikah
dengan kembarnya sendiri kerana ia lebih cantik daripada kembar Habil. Akhirnya
Nabi Adam as memutuskan agar masalah perjodohan itu diserahkan kepada Tuhan
untuk menentukannya. Caranya ialah Qabil dan Habil menyerahkan korban kepada
Tuhan dengan ketentuan bahawa barangsiapa di antara kedua saudara itu diterima
korbannya dialah yang berhak menentukan pilihan jodohnya.
Qabil dan Habil bersetuju dengan jalan penyelesaian yang dianjurkan ayah
mereka itu. Habil mempersembahkan kambing yang gemuk sebagai korban dan
Qabil mempersembahkan hasil pertaniannya yang buruk. Allah swt memancarkan
api menyambar korban Habil dan mengabaikan korban Qabil.
Walaupun Allah swt sudah memberikan ketentuan namun Qabil tidak berpuas
hati. Qabil yang didorong oleh nafsunya mengambil tindakan yang mendadak dengan
membunuh Habil yang tidak melawan kerana Habil takutkan Allah swt. Setelah
Habil mati datanglah penyesalan Qabil dan dia tidak tahu apa yang perlu dibuat
terhadap mayat saudaranya itu. Allah swt mengirimkan dua ekor burung gagak
ke bumi. Burung itu bergaduh mengakibatkan salah seekor daripadanya mati.
Burung yang hidup menggali lubang dan menanam burung yang mati itu. Perbuatan
itu disaksikan oleh Qabil dan dia mendapat pengajaran cara menyemadikan orang
yang telah mati.
Habil dan Qabil merupakan generasi Bani Adam yang pertama di muka bumi.
Mereka berdua adalah anak kandung Adam as dan Hawa. Sumber genetik mereka
adalah sama; sumber DNA sama, sumber kumpulan darah sama, saiz otak dan jumlah
sel otak sama atau lebih kurang sedikit dan dalam banyak hal mereka adalah
serupa. Persamaan fizikal tidak bermakna metafizikal juga sama. Habil menjadi
seorang yang salih sementara Qabil menajdi seorang yang derhaka. Habil berkata:
Surah al-Maa-idah 5/28:
“Sesungguhnya jika kamu melepaskan tangan kamu buat membunuh aku namun, aku
tidak akan melepaskan tanganku buat membunuh kamu, kerana sesungguhnya aku
takutkan Allah, Rabb (Tuhan) sekalian alam.”
Keadaan Qabil pula:
Al-Maa-idah 5/30: Tetapi
nafsunya (Qabil) mempermudahkan baginya buat membunuh saudaranya (Habil),
lantas dia (Qabil) membunuhnya (Habil), lalu jadilah dia (Qabil) termasuk
golongan orang yang rugi.
Perbezaan dua beradik tersebut ialah Habil tidak memperturuti rangsangan
nafsunya sementara Qabil dikuasai sepenuhnya oleh nafsunya. Nafsu mengheret
Qabil memilih jalan yang salah dengan meninggalkan jalan yang benar.
Surah al-Balad 90/10:
....Dan Kami tunjukkannya dua jalan
Surah asy-Syams 91/7-10:
Dan sesuatu diri dan apa yang menyempurnakannya. Maka Dia mengilhamkan kepadanya
kederhakaan dan ketakwaan. Sesungguhnya berbahagialah sesiapa yang membersihkan
(jiwa)nya. Dan rugilah sesiapa yang mengotorkannya.
Allah swt mengilhamkan dua jalan, jalan kederhakaan dan jalan ketakwaan.
Qabil memilih jalan kederhakaan dan Habil memilih jalan ketakwaan. Kejahatan
dan ketakwaan bukanlah diwarisi. Susun-atur genetik tidak mempengaruhi seseorang
Bani Adam untuk berbuat baik atau berbuat jahat. Baik atau jahat adalah
pilihan an-nafs, diri, nafsu atau hati. Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:
Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila
ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh
jasad. Ketahuilah ia adalah hati. (Hadith riwayat al-lmam al-Bukhari dan
Muslim)
Asas kejadian manusia adalah berpasangan: tangan kanan dan tangan kiri,
kaki kanan dan kaki kiri, mata kanan dan mata kiri, telinga kanan dan telinga
kiri, otak kanan dan otak kiri. Bagi tujuan perbincangan ilmiah bolehlah
digunakan istilah: anasir genetik kanan dan anasir genetik kiri. Anasir genetik
kanan mempunyai potensi untuk merangsang anggota kepada kebaikan sementara
anasir genetik kiri berpotensi merangsang kepada kejahatan. Apabila anasir
genetik kanan aktif, anasir genetik kiri menjadi pasif, maka kuatlah potensi
melakukan kebaikan. Sekiranya anasir genetik kanan menerima suntikan kebaikan
terus menerus anasir genetik kiri boleh menjadi tidak berfungsi. Pada tahap
demikian tidak ada kejahatan akan keluar dari diri berkenaan.
Pusat penjanaan tenaga adalah hati atau kalbu. Hati menjadi pusat metafizikal
dan fizikal, iaitu keseluruhan diri zahir dan batin. Pusat sistem saraf,
iaitu otak menjadi pusat kepada aspek fizikal atau diri zahir. Hati menerima
ilham atau rangsangan, lalu menjana tenaga dan menghantarkan isyarat kepada
otak.
Surah al-Baqarah 2/257:
Allah adalah Wali (Pelindung) orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka
daripada kegelapan kepada cahaya. Dan bagi orang kafir (pula) pelindung mereka
ialah Taghut yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan.
Ilham atau rangsangan datang dari dua ssumber iaitu dari Allah swt yang
membawa cahaya dan dari Taghut yang membawa kegelapan. Ilham daripada Allah
swt dibawa oleh utusan, iaitu malaikat yang dijadikan dari cahaya (nur) yang
sangat murni. Cahaya ini tidak sama dengan dengan apa juga cahaya yang ada
di dalam dunia. Ia adalah cahaya ghaib yang tidak mungkin dapat ditangkap
oleh apa juga alat pengesan. Apa juga hal yang dari alam atas adalah dalam
bentuk cahaya ghaib yang pergerakannya jauh lebih pantas dari cahaya yang
diketahui oleh manusia. Pergerakan yang pantas boleh mengujudkan suasana “berada
di mana-mana dalam masa yang sama.” Suasana yang demikian tidak mampu ditangkap
oleh pancaindera, hanya rohani yang dari unsur nurani (cahaya ghaib) yang
mampu menerima isyarat cahaya ghaib. Oleh kerana ia dalam bentuk cahaya ghaib
ia tidak berhuruf dan tidak berbahasa, tetapi hati nurani yang menerimanya
memahami isyarat tersebut. Suasana ghaib dari alam ghaib menjadi nyata pada
hati nurani.
Surah an-Nisa’ 4/174: Wahai
manusia! Sesungguhnya sudah datang kepada kamu keterangan daripada Rabb
(Tuhan) kamu, dan Kami turunkan kepada kamu cahaya yang nyata.
Apa yang sampai kepada hati melahirkan rasa, perasaan atau kehendak. Jika
ia dibiarkan berada dalam hati ia berada sebagai tenaga yang tidak terurai
yang melahirkan gelombang perasaan. Jika gelombang perasaan ini mahu diterjemahkan,
tenaga dalam hati itu dihantar kepada pusat sistem saraf, iaitu otak, dalam
bentuk cahaya. Cahaya ini juga ghaib, tidak tertangkap oleh peralatan sains.
Cahaya ghaib ini mengenakan kejutan kepada sel otak. Seumpama orang yang
sedang tidur dikejutkan, sel otak menjadi jaga dan aktif. Cahaya hati yang
ghaib sudah menyampaikan maklumat kepada sel otak. Sel otak bertindak menurut
maklumat yang diperolehinya. Maklumat tersebut dihantar melalui ‘pembawa
maklumat’ (neuron) sebagai denyutan letrik kepada sel-sel yang lain sehingga
sampai kepada matlamatnya. Jika maklumat itu mengenai percakapan ia akan
sampai kepada sistem percakapan dan lahirlah bunyi sebagai bahasa yang difahami.
Ilham yang sampai kepada hati sudah diterjemahkan dalam bentuk bahasa.
Cahaya ghaib yang melahirkan tenaga hati yang paling kuat adalah yang mengenai
ibadat kepada Allah swt. Cahaya ghaib yang mengandungi “Lillahi Ta’ala”
ada hubungan dengan Tenaga Ilahiah.
Surah al-hadid 57/28: Wahai
orang beriman! Bertakwa kepada Allah dan beriman kepada Rasul-Nya, nescaya
Dia berikan kamu dua bahagian rahmat-Nya, dan jadikan untuk kamu cahaya
yang kamu berjalan dengannya, dan Dia mengampunkan kamu. Dan Allah Maha
Pengampun, Maha Mengasihani.
Bertakwa kepada Allah swt dan beriman kepada RasulNya, mendapat jaminan
rahmat Allah swt dan diberikan cahaya olehNya. Cahaya kurniaan Allah swt itu
menjadi tenaga kepada hati melahirkan rasa, perasaan atau kehendak. Tenaga
bercahaya itu dihantar kepada sel-sel otak, terang benderanglah otak dalam
menterjemahkan isyarat dari alam ghaib. Sel-sel otak menghantarkan mesej bercahaya
kepada sistem jasad. Jika mesej bercahaya itu pergi kepada sistem percakapan
akan muncullah tutur-kata yang menyentuh jiwa pendengar. Jika mesej bercahaya
itu pergi kepada sistem penglihatan akan kelihatanlah pandangan matanya yang
penuh dengan keikhlasan. Jika mesej bercahaya itu pergi kepada anggota badan
akan lahirlah amalan yang diredhai Alalh swt. Jika mesej bercahaya itu pergi
kepada wajah, akan terpancarlah cahaya musfirah atau cahaya iman pada wajahnya.
Surah an-Nur 24/35: Allah
adalah cahaya bagi langit dan bumi.
Allah swt adalah cahaya bagi langit dan bumi. Orang yang berjalan dengan
cahaya yang dikurniakan Allah swt akan melihat Allah swt dalam segala yang
dilihat. Segala kejadian dan segala yang berlaku merupakan utusan yang menceritakan
sesuatu tentang Allah swt. Bila cahaya Allah swt menjadi terang benderang,
maka pandangan, pendengaran dan hati menyaksikan keelokan Allah swt, keperkasaan
Allah swt, kebijaksanaan Allah swt, kemurahan Allah swt dan segala-galanya
tidak terlepas dari kekuasaan Allah swt.
Surah an-Nur 24/35: .....Cahaya
di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya sesiapa
yang Dia kehendaki,
Orang yang dibimbing kepada cahaya Allah swt itulah yang mengenali Allah
swt dan mereka menjadi hamba yang benat-benar bertakwa kepada Allah swt.
Allah swt mengilhamkan dua jalan iaitu jalan ketakwaan dan jalan kederhakaan.
Surah asy-Syams 91/8: Maka
Dia mengilhamkan kepadanya kederhakaan dan ketakwaan.
Surah al-Baqarah 2/257:
Allah adalah Wali (Pelindung) orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka
daripada kegelapan kepada cahaya. Dan bagi orang kafir (pula) pelindung mereka
ialah Taghut yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan.
Pada jalan ketakwaan Allah swt sediakan cahaya. Pada jalan kederhakaan
Taghut menunggu untuk membawa pengikutnya kepada kegelapan. Taghut adalah
sesuatu yang selain Allah swt tetapi disembah atau ditaati seperti menyembah
atau mentaati Allah swt. Taghut yang paling besar ada dengan manusia sendiri,
iaitulah nafsunya yang tidak mendapat cahaya kurniaan Allah swt.
Surah al-Jathiyah 45/23:
Apakah engkau melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ilah (tuhan)nya?
Dan Allah membiarkannya sesat padanya atas pengetahuan-Nya, dan Dia memetrai
pendengarannya dan hatinya, dan dijadikan-Nya penutup atas penglihatannya.
Siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat).
Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?
Apabila nafsu sudah dipertuhankan hilanglah pertimbangan. Pendengaran,
penglihatan dan hati tertutup dari melihat kesalahan dan kebenaran. Nilai
benar dan salah sudah tidak ada, yang ada hanyalah melakukan apa yang nafsunya
inginkan. Inilah yang telah berlaku kepada Qabil.
Al-Maa-idah 5/30: Tetapi
nafsunya (Qabil) mempermudahkan baginya buat membunuh saudaranya (Habil),
lantas dia (Qabil) membunuhnya (Habil), lalu jadilah dia (Qabil) termasuk
golongan orang yang rugi.
Nafsu yang tidak menerima cahaya kurniaan Allah swt dinamakan Nafsu Ammarah.
Surah Yusuf 12/53: ....sesungguhnya
Nafsu Ammarah sangat mengajak kepada kejahatan,
Nafsu Ammarah adalah keadaan nafsu yang bukan sekadar gemar melakukan maksiat
malah boleh dikatakan ia gilakan maksiat atau kemaruk melakukan maksiat,
seumpama orang yang kemaruk berzina, tidak berasa senang jika tidak berbuat
zina dalam tempoh tertentu. Nafsu seperti ini yang menyebabkan ada perogol
bersiri, pembunuh bersiri dan lain-lain kejahatan yang dilakukan terus menerus
tanpa rasa menyesal, kasihan kepada mangsa atau malu kepada orang lain. Mereka
sudah menjadi orang yang berbangga dengan kejahatan yang mereka lakukan.
Nafsu yang menerima cahaya kurniaan Allah swt dinamakan Nafsu Mutmainnah.
Surah al-Fajr
89/27-30: Wahai Nafsu Mutmainnah (jiwa yang telah mencapai tahap ketenangan).
Kembalilah kepada Rabb (Tuhan) kamu dalam keadaan reda dan diredai. Masuklah
ke dalam golongan hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam Taman (Syurga)-Ku.
Diri, hati dan nafsu menceritakan perkara yang sama dipandang dari aspek
yang berbeza. Diri merujuk kepada diri batin. Hati merujuk kepada hati nurani,
yang juga diri batin. Nafsu atau an-nafs adalah diri yang melahirkan kehendak.
Kehendak yang menghantar isyarat kepada otak untuk menggerakkan bahagian
anggota yang berkenaan.
Surah Yusuf 12/83: Dia
(Ya’aqub) berkata: “Bahkan, nafsu kamu sendiri yang memudahkan kamu melakukan
sesuatu hal.
Nafsu yang cenderung kepada kejahatan dipanggil hawa nafsu.
Surah al-qasas 28/50: Dan
siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti hawa nafsunya dengan
tidak mendapat petunjuk daripada Allah?
Surah Sad 38/26: ......dan
janganlah engkau mengikuti hawa nafsu, (kerana itu) akan menyesatkan engkau
daripada jalan Allah.
Hawa nafsu tertutup dari cahaya kurniaan Allah swt, sebab itu hawa nafsu
tidak dapat menerima petunjuk dan akibatnya ia sesat daripada jalan Allah
swt.
Surah al-kahf 18/28: ......dan
jangan engkau mengikuti orang yang hatinya Kami lalaikan daripada mengingati
Kami, serta menuruti hawa nafsunya, dan adalah urusannya itu melewati batas.
Punca kerosakan hawa nafsu adalah kerana hati lalai dari mengingati Allah
swt. Bila hati tidak mengingati Allah swt, tidak ada cahaya Allah swt yang
masuk ke dalam hati. Suasana hati menjadi gelap, maka hawa nafsu berjalan
dalam gelap dan yang dilaluinya adalah jalan kesesatan. Bila kegelapan sudah
terlalu tebal hati terbungkus dengan kemas sehingga hawa nafsu bebas bergerak
dalam kesesatan.
Surah Muhammad 47/16: Mereka
itulah orang yang telah dimetrai Allah atas hati mereka, dan mereka mengikuti
hawa nafsu.
Surah an-Najm 53/23: ....Tidak
lain yang mereka turuti melainkan sangkaan dan apa yang diingini oleh hawa
nafsu mereka.
Apabila berjalan dalam gelap langkah mereka hanyalah menurut sangkaan yang
sesuai dengan keinginan hawa nafsu mereka. Sangkaan itu datang daripada
tipu-daya syaitan.
Surah al-Hijr 15/39: Dia
(iblis) berkata: “Rabbi (wahai Tuhanku)! Oleh kerana Engkau telah menyesatkan
daku, maka aku akan hiaskan (kejahatan) di bumi, dan aku akan perdayakan
mereka sekaliannya.”
Surah al-‘Ankabut 29/38:
Dan (kaum) ‘Ad dan Samud! dan sungguh telah nyata bagi kamu tempat tinggal
mereka. Dan syaitan perhiaskan perbuatan mereka, lalu ia menghalangi mereka
daripada jalan, sedangkan mereka adalah orang yang berpandangan tajam.
Nafsu yang ditawan oleh Taghut berada dalam kegelapan seumpama orang buta
yang tidak dapat melihat. Datanglah syaitan memimpin nafsu yang dalam kegelapan
itu, seumpama orang jahat memimpin orang buta. Bila orang buta mempercayai
orang jahat, maka orang jahat itu membawanya kepada kesesatan, lari dari
jalan yang benar, sekalipun orang buta itu seorang yang tinggi IQnya. Sebab
itu orang yang berpendidikan tinggi, yang bijak dam hal ehwal keduniaan,
tetapi nafsunya terperangkap dalam kegelapan Taghut, dia tidak akan menemui
jalan yang benar. Ramai orang yang dunia iktiraf sebagai orang yang bijak
pandai tetapi terpedaya oleh syaitan yang mengajaknya menyembah berhala,
pokok kayu, bulan dan bintang, sedangkan akalnya boleh melihat perbuatan
demikian adalah tidak munasabah.
Surah al-Hajj 22/46: Apakah
mereka tidak berjalan di bumi; mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka
memahami, atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka mendengar? Maka
sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang
dalam dada.
Hati yang memiliki bakat kerohanian dirujuk kepada hati yang dalam dada
bukan otak dalam kepala. Hati seperti juga roh, merupakan anasir ghaib yang
sangat seni, tidak terjangkau oleh pemikiran manusia. Apabila roh dikaitkan
dengan diri zahir maka seluruh jasad menjadi medan roh. Tetapi tidak ada satu
bahagian pada jasad yang boleh dikatakan tempat roh tinggal. Kaki dan tangan
boleh bergerak kerana ada roh. Tetapi jika dipotong kaki dan tangan, roh
masih ada. Ada orang yang dilahirkan tanpa kaki dan tangan tetapi masih memiliki
keupayaan untuk hidup seperti orang lain. Orang yang dilahirkan kerdil juga
memilki roh yang sempurna seperti orang ramai, tidaklah rohnya kerdil juga
lantaran jasadnya kerdil. Hati juga demikian juga keadaannya. Ia dikaitkan
dengan seketul daging yang ada dalam dada, tetapi bukan daging itu yang melahirkan
bakat hati. Hati yang dimaksudkan adalah anasir nurani yang diakui sebagai
diri batin. Hati yang menerima ilham dari Allah swt. Hati yang membuat keputusan
sebelum anggota-anggota lain bertindak. Hati juga yang merasai nikmat atau
sengsara.
Hati yang dalam dada memiliki bakat memahami sesuatu. Bakat ini dinamakan
akal. Jadi, hati memiliki dua bakat penting iaitu nafsu yang melahirkan
keinginan dan akal yang melahirkan kefahaman. Nafsu dan akal melahirkan
tenaga yang bersumberkan samada cahaya kurniaan Allah swt atau kegelapan
Taghut.
Surah asy-Syams 91/7-10:
Dan sesuatu diri dan apa yang menyempurnakannya. Maka Dia mengilhamkan kepadanya
kederhakaan dan ketakwaan. Sesungguhnya berbahagialah sesiapa yang membersihkan
(jiwa)nya. Dan rugilah sesiapa yang mengotorkannya.
Alalh swt mmenyempurnakan penciptaan sesuatu diri dan Allah swt mengilhamkan
kepadanya dua hal iaitu kederhakaan dan ketakwaan. Kedua-duanya datang dari
Allah swt kerana tidak ada satu halpun yang berdiri sendiri untuk menjadi
ada tanpa memerlukan Allah swt. Pada sisi Allah swt kedua-duanya sama. Malaikat
penjaga neraka menyeksa ahli neraka, bukanlah mlaikat itu melakukan kederhakaan.
Harimau yang memakan rusa tidak melakukan kezaliman. Kambing yang memakan
rumput, tidak mengganggu sesiapa, bukanlah kambing itu warak. Tidak ada
dosa dan pahala pada malaikat, harimau dan kambing. Dosa dan pahala, kederhakaan
dan ketakwaan hanya ada dalam syariat. Allah swt yang mengadakan syariat
dengan peraturan tertentu dan Dia yang menentukan yang mana kederhakaan,
yang maka ketakwaan, yang mana dosa dan yang mana pahala.
Ada orang mempersoalkan, jika Allah swt mengatur segala perkara mengapa
ada dosa dan pahala? Alalh swt mengingatkan:
Surah al-Maa-idah 5/102:
Sesungguhnya kaum sebelum kamu telah bertanyakan hal-hal demikian, kemudian
mereka menjadi kafir kerananya.
Daripada Abu Hurairah Abdul Rahman ibn Sokhrin r.a. beliau berkata: Aku
telah mendengar Rasulullah saw bersabda: Apa-apa yang aku larang kamu melakukannya,
maka hendaklah kamu menjauhinya, dan apa-apa yang aku perintahkan kamu melakukannya,
maka lakukanlah seberapa daya kamu. Sesungguhnya umat yang terdahulu daripada
kamu telah binasa lantaran banyak persoalan dan banyak perselisihan mereka
terhadap Nabi-nabi mereka. (Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim).
Fikiran manusia tidak mampu memikirkan tentang rahsia syariat. Adam as
sewaktu di dalam Taman (Syurga) menanggung satu syariat sahaja, iaitu jangan
mendekati pohon yang terlarang. Adam as melanggar syariat tersebut dan akibatnya
dihantar ke bumi. Disebabkan Adam as melanggar syariat yang satu itu dan
dihantar ke bumi, maka umat manusia berkembang biak di atas muka bumi. Kita
semua berpeluang menikmati kewujudan dan kehidupan disebabkan ada syariat
tersebut. Orang yang beriman kepada Allah swt dan RasulNya menerima syariat
tanpa takwil. Mereka mengambil pengajaran daripada natijah menolak syariat
Allah swt: Namrud binasa, Firaun binasa, kaum Nabi Nuh as binasa, kaum ‘Ad
binasa, kaum Tsamud binasa, kaum Nabi Salleh as binasa, kaum Nabi Lut as
binasa. Menolak syariat Allah swt mengundang kebinasaan. Justeru orang beriman
tunduk patuh kepada ketentuan Alalh swt.
Surah al-Baqarah 2/285:
Dan mereka mengatakan: “Kami dengar dan kami taat, (justeru) ampunkanlah kami,
Rabbana (wahai Tuhan kami)! Dan kepada Engkau tempat kembali.”
Apabila Allah swt mengadakan syariat maka adalah hal kederhakaan dan ketakwaan.
Takwa adalah beriman dan mentaati syariat Allah swt, mengerjakan perintahNya
dan menjauhi laranganNya. Derhaka atau kufur adalah enggan beriman dan menolak
syariat Allah swt. Allah swt menerima jalan ketakwaan sebagai jalanNya.
Jalan kederhakaan pula adalah jalan Taghut.
Kembali kepada persoalan hati, nafsu dan akal. Apa yang muncul pada nafsu
dan akal itu dihantar kepada otak untuk diterjemahkan. Pada jalan ketakwaan
tenaga nafsu dan akal yang dijana oleh cahaya kurniaan Allah swt dijaga
oleh malaikat sepanjang perjalanan perpindahannya dari hati kepada sel-sel
otak, kepada sistem jasad dan seterusnya menyata dalam percakapan dan tindakan.
Pada jalan ini ada iman dalam hatinya dan ada amal salih pada perbuatan,
percakapan dan anggota tubuhnyanya. Amal salih ada pada pendengaran, penglihatan
dan pemikirannya. Mereka beriman dan beramal salih dengan hati, nafsu, akal,
otak dan anggota tubuhnya. Iman mampu mengawal nafsu untuk berbuat taat.
Surah an-Naziat 79/40:
Dan orang yang takutkan makam Rabb (Tuhan)nya dan menahan diri daripada
hawa nafsu.
Tanda ada iman di dalam hati ialah adanya gangguan atau waswas tentang
akidah. Di dalam hadis sahih dari Abu Hurairah r.a, beliau berkata: sekumpulan
manusia dikalangan sahabat Nabi datang berjumpa Nabi saw, lalu mereka mengadu:
"Sesungguhnya kami dapati dalam hati kami terdapat lintasan2 hati yang kami
anggap ia suatu kesalahan besar jika diucapkan dengan lidah." Nabi saw bertanya
"Kamu diserang oleh lintasan2 itu? " Mereka menjawab " Ya" Nabi saw bersabda:
"Itulah petanda iman yang jelas".
Diriwayatkan dari Abdullah ibnu Masud r.a beliau berkata: "Nabi s.a.w ditanya
berhubung dengan timbulnya waswas berkaitan dengan ketuhanan. Nabi saw menjawab,
yang maksudnya: Itulah semata2 disebabkan iman. (Hr Muslim)
Gangguan atau waswas tersebut mungkin sesuatu yang merendah-rendahkan Rasulullah
saw atau persoalan yang bukan-bukan tentang ketuhanan atau terlintas perkataan
yang tidak baik dan sebagainya.
Rasulullah saw mengajarkan cara menangani waswas yang sedemikian. Baginda
saw bersabda yang maksudnya: "Sesiapa yang mendapati waswas maka hendaklah
dia berkata “Aamantu billah (Aku beriman dengan Allah), pada satu riwayat
ada tambahan “warasulih” (dan rasulnya). (Hr Bukhari dan Muslim)
Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim Rasulullah saw
mengajarkan supaya membaca:
sebanyak 100 kali sehari.
Ia mendapat pahala membebaskan 10 orang hamba, ditulis seratus kebaikan
baginya, dihapuskan seratus kesalahannya, ia menjadi pelindung dari syaitan
pada hari tersebut sehinggalah malam dan tidak ada yang melakukan lebih
baik dari zikir yang diucapkan melainkan orang yang mengucapkan lebih banyak
dari itu."
Pada jalan kederhakaan pembimbingnya ialah Taghut. Ilham daripada Allah
swt diibaratkan sebagai satu batang sungai yang airnya jernih. Ia mengalir
kepada dua batang anak sungai. Satu batang anak sungai itu dasarnya pasir
dan batu yang bersih. Air mengalir padanya dalam keadaan asalnya, tanpa berubah
sifatnya. Satu batang anak sungai lagi dasarnya berlumpur dan penuh dengan
sampah sarap. Air yang melaluinya menjadi keruh, kotor, berbau busuk dan berubah
sifatnya. Begitulah ibaratnya jalan kederhakaan yang dikuasai oleh Taghut.
Sesiapa memilih anak sungai ini akan meminum air kotor dan berbau diberikan
oleh Taghut. Dalam air itu ada virus yang akan merosakkan sistem diri manusia.
Sabda Rasullullah saw bermaksud: "Sesungguhnya syaitan itu berjalan dalam
diri manusia mengikuti pejalanan darah. Oleh sebab itu, aku takut syaitan
melontarkan sesuatu tuduhan atau satu kejahatan dalam hatimu" (Hadis Riwayat
Bukhari dan Muslim).
Orang yang memasuki jalan kederhakaan, menjadikan Taghut sebagai ketuanya,
akan datanglah syaitan kepadanya. Syaitan menjadi pembawa isyarat daripada
hati kepada sel-sel otak dan kepada sistem jasad. Tenaga nafsu dan tenaga
akal adalah tenaga syaitan. Tidak ada yang sangat diingini oleh nafsu kecuali
maksiat, kekejian dan kejahatan. Nafsu memberi perintah kepada akal, lalu
akal menunjukkan jalan ke arah maksiat, kekejian dan kejahatan. Akal menghantar
isyarat kepada sel-sel otak, lalu sel-sel otak membawa isyarat tersebut
kepada anggota jasad. Isyarat yang membawa tenaga syaitan pergi kepada mata,
telinga dan anggota-anggota yang lain. Mata menjadi gemar melihat benda-benda
haram. Telinga menjadi genar mendengar perkara haram. Kaki menjadi gemar
pergi ke tempat maksiat. Tangan gemar melakukan maksiat. Otak gemar berangan-angankan
perkara maksiat. Muncullah kegelapan, kekeruhan dan kekejian Taghut dan
syaitan pada wajahnya.
Allah swt mengingatkan manusia tentang kejahatan syaitan.
Surah al-Baqarah 2/169:
Ia (syaitan) menyuruh kamu melakukan kejahatan dan kekejian, dan supaya kamu
katakan tentang Allah apa yang kamu tidak ketahui.
Surah an-Nur
24/21: Wahai orang beriman, jangan kamu ikuti langkah syaitan. Dan sesiapa
mengikuti langkah syaitan, sesungguhnya ia (syaitan) menyuruh mengerjakan
perbuatan yang keji dan mungkar.
Surah al-Maa-idah
5/91: Tiada lain tujuan syaitan itu melainkan menimbulkan permusuhan dan
kebencian di antara kamu (melalui) arak dan judi, dan menghalang kamu daripada
mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, tidakkah kamu
mahu berhenti?
Orang yang terperangkap pada jalan Taghut terhijab dari kebenaran sehingga
mereka melihat keburukan dan kesesatan sebagai sesuatu yang baik dan elok.
Surah al-An’am 6/43: Mengapakah
mereka enggan merendahkan diri ketika datang kepada mereka musibah daripada
Kami itu? Sungguh keras hati mereka, malah perbuatan mereka (yang buruk
itu) diperlihatkan sebagai elok oleh syaitan.
Surah an-Naml 27/24: “Aku
mendapati dia dan kaumnya bersujud kepada matahari, selain Allah; dan syaitan
telah menjadikan mereka memandang baik perbuatan mereka, sehingga tertutuplah
bagi mereka jalan. Maka mereka tidak mendapat petunjuk.”
Surah az-Zukhruf 43/37:
Dan sesungguhnya mereka (syaitan itu) benar-benar menghalangi mereka daripada
jalan, sedang mereka menyangka mereka mendapat petunjuk.
Orang yang terpedaya oleh syaitan hanyut dalam angan-angan dan mereka melupakan
Allah swt.
Surah Muhammad 47/25: Sesungguhnya
orang yang kembali ke belakang (murtad) sesudah petunjuk itu jelas bagi
mereka, syaitan menggoda mereka dan memanjangkan angan-angan mereka.
Surah al-Mujadilah 58/19:
Mereka dikuasai oleh syaitan, lalu menjadikan mereka lupa mengingati Allah.
Mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah, sesungguhnya golongan syaitan
itulah golongan yang rugi.
Allah swt mengingati orang yang beriman agar lari kepadaNya bagi menyelamatkan
diri mereka daripada syaitan.
Surah al-A’raf 7/200: Dan
jika kamu diganggu oleh syaitan, berlindunglah kepada Allah, sesungguhnya
Dia adalah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Rasulullah saw mengajarkan agar mengawasi isyarat-isyarat yang sampai kepada
hati sebagaimana sabda baginda saw yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan
membisikkan ke dalam hati anak Adam, dan Malaikat juga ada bisikannya; adapun
bisikan syaitan itu mengajak seseorang melakukan kejahatan dan mendustakan
kebenaran, dan bisikan Malaikat pula mengajak mengamalkan kebaikan dan meyakini
kebenaranya; oleh itu sesiapa yang terasa bisikan yang baik, maka hendaklah
ia mengetahui bahawa perkara itu dari Allah, serta hendaklah ia bersyukur
kepada Allah, dan sesiapa yang terasa bisikan yang satu lagi maka hendaklah
ia meminta perlindungan Allah dari angkara syaitan.” - Ibn Mas’ud r.a
|