Definisi Amanah
Amanah atau amanat bererti kejujuran atau kepercayaan. Amanah adalah sesuatu
yang dipercayakan untuk dijaga, dilindungi, dan dilaksanakan diberikan kepada
pihak lain sehingga menimbulkan rasa aman bagi pemberinya lantaran pihak penerima
memelihara amanah dengan baik. Amanah merangkumi segala hal berkaitan dengan
perkara-perkara yang dengannya seseorang bertanggungjawab menunaikannya atau
dipercayainya, meliputi seluruh hak-hak Allah atas seseorang seperti perintah-perintahNya
yang wajib. Ia juga meliputi hak-hak orang lain, seperti benda-benda jagaan
yang mesti dijaga dan disampaikan kepada pemiliknya termasuklah yang berkaitan
dengan agama dan jiwa manusia. Orang yang diberi amanah wajib menjaga dan
menunaikan dengan sebaik-baiknya. Ia tidak boleh menyembunyikan, mengingkari
atau menggunakannya tanpa landasan hukum syarak. Orang yang memelihara amanah
disebut penyempurna tanggungjawab dan janji. Manakala bagi mereka yang tidak
memelihara amanah disebut sebagai pengkhianat
Amanah Awal
Surah al-A’raf 7/172-174:
Dan (ingatlah) ketika Rabb (Tuhan) engkau keluarkan keturunan Adam daripada
sulbi (tulang punggung) mereka dan Dia (Allah) jadikan mereka saksi ke atas
diri mereka sendiri, (Allah berfirman): “Bukankah Aku Rabb (Tuhan) kamu?”
Semuanya menjawab: “Ya, benar, kami menyaksikan.” (Allah lakukan demikian)
supaya di Hari Kiamat nanti kamu tidak berkata: “Sesungguhnya kami lalai tentang
ini.” (Juga) supaya kamu tidak mengatakan: “Bapa-bapa kami dahulu yang mempersekutukan,
sedangkan kami hanyalah keturunan yang (datang) selepas mereka (yang hanya
mengikuti amalan mereka). Adakah Engkau akan membinasakan kami lantaran perbuatan
orang yang sesat (yang terdahulu daripada kami)?” Dan demikianlah Kami jelaskan
ayat-ayat itu agar mereka kembali (kepada penyaksian mereka dahulu).
Allah swt menciptakan manusia dengan fitrah yang dibekalkan dengan pengenalan
tentang Allah sebagai Tuhan. Setiap manusia menjadi saksi ke atas diri sendiri
bahawa dia menyaksikan Allah sebagai Tuhan. Jika sewaktu hidup dalam dunia
manusia mengatakan “Aku menyaksikan atau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan
Allah”, pada tahap kejadian fitrah, fitrah manusia benar-benar menyaksikan
dengan keyakinan yang mutlak tanpa sedikit keraguanpun bahawa Allah adalah
Tuhan. Fitrah tidak menyaksikan ada yang lain sebagai Tuhan. Penyaksian tahap
tersebut adalah penyaksian makrifat bukan lagi penyaksian ilmu. Fitrah benar-benar
kenal Allah bukan sekadar mengetahui Allah. Penyaksian fitrah yang Allah adalah
Tuhan merupakan amanah awal yang ditanggung oleh kejadian manusia.
Pada Sahih Muslim, dari ‘Iyyadh bin Hummar, Rasulullah saw bersabda yang
maksudnya: “Allah berfirman: Aku telah menjadikan hamba-hambaKu dalam
keadaan hanif (suci bersih), maka datanglah syaitan-syaitan, merekalah yang
memesungkan mereka dari agama mereka dan mengharamkan atas mereka apa yang
Aku halalkan bagi mereka.”
Fitrah manusia sudahpun menanggung amanah tauhid dan kebenaran. Oleh itu
setelah mereka hidup dalam dunia dan syaitan sudah memesungkannya, tidak diterima
lagi alasannya yang mereka jahil tentang ketuhanan Allah dan tidak ada Tuhan
yang lain daripada Allah. Akal manusia memang tidak mampu menghuraikan bagaimana
makrifat yang sudah ada dalam fitrah itu menjadi tertutup sehingga ada manusia
yang menjadi kafir, tetapi di akhirat kelak tatkala Allah swt bukakan apa
yang sudah tertanam dalam fitrah itu manusia akan akur bahawa memang benar
mereka telah menyaksikan Allah adalah Tuhan.
Amanah Syariat
Surah az-Zariat 51/56: Dan
Aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mengabdikan diri
dan beribadat kepada-Ku. Aku tidak berkehendakkan rezeki daripada mereka,
dan Aku tidak berkehendakkan supaya mereka memberi Aku makan. Sesungguhnya
Allah, Dia Al-Razzaq (Yang Maha Memberi rezeki), Memiliki kekuatan yang teguh.
Allah swt ciptakan jin dan manusia supaya mereka mengabdikan diri dan beribadat
kepadaNya. Pengabdian dan ibadat hamba bukan untuk kepentingan Allah. Dia
tidak meminta rezeki dari hambaNya dan Dia tidak meminta hambaNya memberiNya
makan. Dia yang memberi rezeki dan Dia amat kuat lagi teguh.
Sesuai dengan tujuan dicptakan, jin dan manusia diberi tanggungan amanah
syariat. Rasulullah saw bersabda: "Sesungguhnya Allah telah menetapkan
kewajiban-kewajiban maka janganlah kamu mengabaikannya; menentukan batasan-batasan
(hukum) maka janganlah kamu melanggarnya; dan mendiamkan beberapa perkara
kerana kasih sayang kepada kamu dan bukan kerana lupa." (Hadis Sahih).
Surah al-Baqarah 2/110:
Dan dirikan oleh kamu (orang yang beriman) akan solat dan tunaikanlah zakat;
dan apa jua kebaikan yang kamu lakukan buat diri kamu, nescaya kamu perolehi
pahalanya pada sisi Allah. Sesungguhnya Allah Melihat apa yang kamu kerjakan.
Amanah yang mesti ditunaikan oleh seseorang yang beriman terhadap Allah
adalah bertakwa, iaitu menuruti segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala
larangan-Nya. Perintah dan larangan sudah jelas pada syariat yang diturunkanNya
kepada para anbiya’. Abu Na’im menceritakani Hadis daripada Ibnu Mas’ud bahawa
Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: “Setiap sesuatu itu melainkan
ada padanya amanah”. Para sahabat yang terdiri daripada Ibnu Mas’ud,
Al-Baraa, Ibnu ‘Abbas dan Ubai bin Ka’ab menerangkan kewajipan-kewajipan
manusia itu terhadap Allah yang mesti dilaksanakannya dengan amanah: “Amanah
pada setiap perkara, ketika berwudhu, mengerjakan sembahyang, menunaikan
zakat, mandi junub, berpuasa, amanah pada ukuran dan timbangan serta barang-barang
yang dipertaruhkan kepadanya untuk dijaga.”
Diri sendiri, ahli keluarga, keturunan dan harta adalah amanah.
Surah at-Tahrim 66/6: Wahai
orang beriman! Peliharakan dirimu dan keluargamu daripada Api (Neraka) yang
bahan bakarnya adalah manusia dan batu, atasnya (penjaganya) malaikat yang
kasar, yang kuat, tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya
kepada mereka dan mengerjakan apa yang diperintahkan.
Apa yang termasuk dalam istilah diri ialah semua pancaindera jasad yang
di luar dan di dalam. Pancaindera luar seperti mata, telinga, kaki, tangan
dan lain-lain sementara pancaindera dalam seperti jantung, buah pinggang,
urat saraf, otak dan lain-lain. Selain pancaindera jasad, bakat-bakat yang
diberikan juga menjadi amanah yang mesti dipikul. Di antara semua bakat,
amanah yang paling besar ialah bakat yang melahirkan niat. Diriwayatkan:
“Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs 'Umar ibn al-Katthab Radhiallahu
‘anhu beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:
Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa
sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya
menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya.
Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya,
atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke
arah perkara yang ditujuinya itu." Hadis ini diriwayat oleh dua orang
Imam Ahli Hadis, iaitu Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail ibn Ibrahim ibn al-Mughirah
ibn Barzirbah al-Bukhari dan Abu al-Husain Muslim ibn al-Hajjaj ibn Muslim
al-Qusyairie al-Naisaburi dalam kitab sahih mereka berdua yang merupakan antara
kitab yang paling sahih”.
Niat yang benar kerana Allah Ta’ala diikuti pula dengan amalan yang bersesuaian
dengan peraturan syariat menjadi jalan keselamatan daripada Api (Neraka).
Amanah yang dipikul untuk diselamatkan itu ialah diri sendiri dan ahli keluarga.
Surah an-Nahl 16/72: Dan
Allah menjadikan bagi kamu daripada diri kamu sendiri pasangan (isteri), dan
dijadikan bagi kamu daripada pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit, serta
dikurniakan kepada kamu rezeki yang baik-baik; maka patutkah mereka percaya
kepada perkara yang batil (salah) dan mereka mengkufuri nikmat Allah?
Ayat di atas memperincikan lagi perkara-perkara yang menjadi amanah iaitulah
diri sendiri, pasangan, anak-anak dan keturunan seterusnya serta rezaki yang
dikurniakan kepada masing-masingnyua. Amanah yang pertama hendak dipelihara
ialah memilih pasangan. Rasulullah saw memberi panduan dalam memilih pasangan,
seperti hadis dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
"Wanita dikahwini kerana 4 hal (perkara): kerana harta bendanya,
kerana keturunannya, kerana keindahan wajahnya, dan kerana ketaatannya kepada
agama. Maka pilihlah wanita yang taat kepada agama, maka kamu akan berbahagia."
(Sahih Bukhari)
Rasulullah s.a.w juga bersabda yang maksudnya: “Sesiapa menikahi wanita
kerana ketinggian kedudukannya, pernikahan itu tidak akan membawa sesuatu
kepadanya kecuali kehinaan. Barangsiapa menikahi wanita kerana hartanya maka
itu tidak akan menambah sesuatu kepadanya kecuali kemiskinan. Barangsiapa
menikahi wanita kerana keturunannya, perkawinan itu tidak akan menambah sesuatu
kepadanya kecuali hina dina. Dan barangsiapa menikahi wanita dengan tujuan
agar dapat menahan pandangannya, memelihara kehormatannya atau menghubungkan
silaturahim, Allah akan memberikan berkah kepadanya bersama wanita itu dan
memberikan berkah kepada wanita itu bersamanya.” (Hadis riwayat Abu Nuaim)
Dalam hadis lain Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: “Janganlah kamu
menikahi wanita kerana kecantikannya; boleh jadi kecantikannya itu akan membuat
mereka hina. Janganlah kamu menikahi wanita kerana hartanya; boleh jadi hartanya
itu akan membuat mereka zalim. Tapi nikahilah mereka kerana agamanya. Wanita
hamba sahaya yg tuli namun beragama adalah lebih baik.” (Hadis riwayat Ibnu
Majah).
Orang yang memilih pasangan menurut saranan Rasulullah saw itulah orang
yang memegang amanah dalam hal tersebut. Setelah mendapat pasangan datang
pula amanah melahirkan zuriat.
Surah al-Baqarah 2/168-169:
Wahai manusia! Makanlah yang halal lagi baik yang terdapat di bumi, dan janganlah
kamu turuti langkah-langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang
sangat jelas. Ia (syaitan) menyuruh kamu melakukan kejahatan dan kekejian,
dan supaya kamu katakan tentang Allah apa yang kamu tidak ketahui.
Surah al-Maidah 5/88: Dan
makanlah apa yang Allah rezekikan kepada kamu, yang halal lagi baik. Dan bertakwalah
kepada Allah yang kepada-Nya kamu beriman.
Setiap pasangan diamanahkan menjaga makanan yang akan menjadi sumber pembentukan
benih yang akan melahirkan zuriat mereka. Makanan yang halal lagi baik menghasilkan
benih yang suci. Makanan haram menghasilkan benih dan seterusnya zuriat yang
mudah diceroboh oleh syaitan, mengheret mereka melakjukan kejahatan dan kekejian
sehingga ke tahap mereka-reka pendapat tentang Allah swt. Benih yang suci
melahirkan zuriat yang suci yang mudah dipimpin ke jalan takwa.
Dalam menanggung amanah perlu ada sabar dan takwa baharulah amanah tersebut
dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
Surah Aali-'Imran 3/186:
Sesungguhnya kamu akan diuji melalui harta kamu dan diri kamu serta kamu akan
mendengar celaan yang banyak daripada orang yang diberi Kitab dan orang yang
mempersekutukan, tetapi jika kamu bersabar dan bertakwa, maka sesungguhnya
itulah yang patut diutamakan.
Sesiapa menunaikan amanah ia baik untuk dirinya sendiri dan jika mengkhianati
amanah maka natijahnya akan ditanggunya sendiri.
Surah al-Isra’ 17/7: Jika
kamu berbuat baik, maka kamu berbuat baik bagi diri kamu sendiri, dan jika
kamu berbuat jahat, maka itu untuk diri kamu sendiri juga.
Manusia dijadikan lemah. Oleh itu berdoalah kepada Allah swt.
Surah Aali-‘Imran 3/16:
(Iaitu) orang yang mendoakan: “Rabbana (wahai Tuhan kami)! Sesungguhnya kami
beriman. Ampunilah dosa-dosa kami dan selamatkan kami daripada azab Api (Neraka).”
Rasulullah bersabda, maksudnya : “Sesungguhnya diri kamu ada hak ke atas
kamu”.
Amanah dalam menguruskan harta
Asas pengurusan harta yang diamanahkan ialah tidak mengambil harta orang
lain secara batil. Transaksi harta hendaklah dilakukan melalui perniagaan
yang sah.
Surah an-Nisa’ 4/29: Wahai
orang beriman! Jangan kamu memakan harta sesama kamu secara salah, melainkan
melalui perniagaan dengan suka sama suka antara kamu. Dan jangan kamu membunuh
diri-diri kamu, sesungguhnya Allah Maha Mengasihani terhadap kamu.
Allah swt banyak menyebut tentang pengurusan harta anak yatim. Harta anak
yatim yang diuruskan adalah harta yang termasuk dalam istilah tabung amanah.
Banyak lagi tabung-tabung amanah yang diuruskan oleh pemegang amanah. Dalam
ayat-ayat berkenaan Allah swt mengajarkan prinsip asas pengurusan kewangan
yang melibatkan tabung amanah, walaupun secara khusus disebut harta anak yatim.
Prinsip asas pengurusan kewangan ialah “Jangan memakan harta mereka (mencampur-adukkannya)
pada harta kamu”. Wajib memisahkan tabung amanah daripada harta milik sendiri.
An-Nisa’ 4-2:
Dan berikan kepada anak-anak yatim (yang telah mencapai baligh) harta mereka,
dan jangan kamu tukarkan yang baik dengan yang buruk; dan jangan kamu memakan
harta mereka (mencampur-adukkannya) pada harta kamu, sesungguhnya itu dosa
besar.
Prinsip kedua ialah jika tabung amanah hendak digunakan mestilah secara
yang baik mengikut kaedah yang diajarkan oleh Surah an-Nisa’ ayat 29, iaitu
melalui perniagaan dengan suka sama suka antara kamu. Jika pemilik tabung
amanah itu seorang yang sudah baligh persetujuannya hendaklah diperolihi
dan penggunaan hartanya adalah secara transaksi perniagaan, perkongsian yang
ada hak terhadap untung dan rugi perniagaan tersebut. Jika pemilik tabung
amanah itu seorang yang belum baligh perbincangan dengan walinya hendaklah
dibuat atau jika walinya tidak ada hendaklah di persaksikan oleh saksi-saksi
yang adil. Syarat utama menggunakan tabung amanah orang yang belum baligh
itu ialah ia hendaklah digunakan pada pelaburan yang mempunyai risiko minima
supaya hartanya bertambah bukan menjadi semakin susut.
Surah al-Isra’ 17/34: Dan
jangan kamu mendekati harta anak yatim, kecuali secara yang baik (bermanfaat)
sampai dia dewasa, dan penuhi janji; sesungguhnya perjanjian itu ditanya.
Prinsip ketiga ialah harta yang diamanahkan itu hendaklah diserahkan kepada
pemiliknya apabila pemilik itu sudah cukup umur atau tempoh matang sudah sampai.
Tidak boleh melewat-lewatkannya kerana sesuatu muslihat peribadi.
An’am 6-152:
Dan jangan kamu dekati harta anak yatim, melainkan secara yang baik, sehingga
dia (anak yatim itu) cukup umur. Dan sempurnakan sukatan dan timbangan dengan
adil. Kami tidak bebankan seseorang kecuali sekadar kemampuannya. Dan apabila
kamu berkata-kata, hendaklah kamu berlaku adil sekalipun terhadap keluarga
kamu, dan penuhi janji Allah. Demikianlah Dia berpesan kepada kamu agar kamu
ingat.
An-Nisa’ 4-6: Dan kamu selidiki
anak-anak yatim itu, sehingga mereka layak berkahwin. Kemudian sekiranya
kamu perhatikan mereka sudah ada kecerdikan, serahkan harta mereka kepada
mereka; dan jangan kamu memakan harta itu dengan berlebihan dan tergesa-gesa
(menghabiskannya) sebelum mereka dewasa. Dan sesiapa (penjaga harta anak
yatim) yang berkemampuan, hendaklah dia menahan diri (tidak membelanjakan
harta anak yatim itu), dan sesiapa yang miskin, bolehlah dia memakannya secara
patut. Kemudian apabila kamu menyerahkan harta mereka, hendaklah kamu adakan
saksi-saksi. Dan cukuplah Allah sebagai Penghitung.
Tidak amanah dalam menguruskan harta yang diamanahkan mendapat ancaman yang
berat dari Allah swt. Allah swt akan memasukkan api yang menyala-nyala ke
dalam perut mereka, di dunia dan di akhirat.
An-Nisa’ 4-10:
Sesungguhnya orang yang memakan harta anak yatim secara aniaya, mereka akan
menelan Api ke dalam perut mereka; dan akan memasuki Api yang menyala-nyala.
Tidak amanah juga menyebabkan Allah swt sempitkan rezeki. Tidak memuliakan
anak yatim, termasuklah memakan harta mereka secara batil, tidak mengajak
memberi makan orang miskin, termasuklah tidak menjaga kebajikan orang-orang
berpendapatan rendah yang di bawah jagaan, memakan harta warisan secara loba,
termasuklah tidak menyampaikan hak waris si mati secara benar dan mencintai
harta secara melampau-lampau, termasuklah mengumpul harta bertimbun-timbun
dan enggan membahagikannya kepada orang-orang yang layak diperhatikan, semua
itu mengundang kepada sempitnya rezeki. Kesempitan rezeki bukan sekadar sedikit
rezeki yang diperoleihi tetapi ia juga bermaksud apa yang diperolihi tidak
mampu menyelesaikan masaalah yang dihadapi. Lebih buruk lagi orang berkenaan
menghadapi suasana yang menyebabkan dia beranggapan Tuhan menghinanya lantaran
orang ramai menghinanya, memburuk-burukkan namanya dan tidak menghormatinya.
Al-Fajr 89/16-20: Tetapi
apabila Dia menguji dengan menyempitkan rezeki, maka dia berkata: “Rabb (Tuhan)ku
menghinakan daku.” Sekali-kali bukan, bahkan kamu tidak memuliakan anak-anak
yatim. Dan kamu tidak saling mengajak kepada memberi makan orang miskin.
Dan kamu memakan harta warisan orang dengan loba. Dan kamu terlalu mencintai
harta secara melampau-lampau.
Amanah yang paling besar ialah anak yatim. Orang yang mengabaikan anak yatim
dicop oleh Allah swt sebagai orang yang mendustakan agama. Amanah-amanah yang
lain juga apabila dikhianati maka ia termasuk juga dalam kategori mendustakan
agama menurut kadar amanah tersebut.
Al-Ma’un 107/1-3:- Dengan
Nama Allah Yang Maha Pemurah, Yang Maha Mengasihani. Tahukah engkau (orang)
yang mendustakan al-din (agama)? Itulah orang yang mengabaikan anak yatim.
Dan tidak mengajak kepada memberi makan orang miskin.
Tuntuan Menyempurnakan Amanah
An-Nisa' 4-58:
Sesungguhnya Allah perintahkan kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak
menerimanya. Dan apabila kamu menghukum antara manusia, hendaklah kamu menghukum
dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan tunjuk-ajar yang sebaik-baiknya
untuk kamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
Anfal 8-27:
Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul, dan
janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepada kamu,
padahal kamu mengetahui.
Rasulullah saw bersabda menerusi apa yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad
dan Ibnu Hibban daripada Anas, maksudnya : “Tiada iman bagi sesiapa yang
tiada amanah terhadap imannya dan tiada agama bagi sesiapa yang tiada ikatan
terhadap agamanya”.
Rasulullah saw bersabda, maksudnya: "Tiada iman pada orang yang tidak
menunaikan amanah dan tiada agama pada orang yang tidak menunaikan janji."
(HR Ahmad dan Ibnu Hibban)
Sabda Rasulullah saw lagi berdasarkan apa yang telah diriwayatkan oleh Imam
Bukhari, Imam Muslim, Imam Tirmizi dan Imam Nasai daripada Abu Hurairah, maksudnya:
“Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga: Apabila ia berbicara ia dusta,
apabila ia berjanji ia mungkiri dan apabila ia diberi amanah ia khianat”.
Orang dan organisasi yang mengabaikan amanah akan menuju kepada kehancuran
sebagaimana diberitahu oleh Rasulullah saw yang bermaksud: "Jika amanah
diabaikan maka tunggulah kiamat." Sahabat bertanya, "Bagaimanakah amanah
itu diabaikan, wahai Rasulullah?" Rasulullah saw menjawab, "Jika suatu urusan
diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kehancuran." (HR Bukhari)
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Sesiapa mengangkat seseorang untuk
satu jawatan yang berkaitan dengan urusan masyarakat sedangkan dia mengetahui
ada yang lebih baik, maka sesungguhnya ia telah mengkhianati Allah, Rasul,
dan kaum Muslimin.” (Riwayat al-Hakim).
|