Nabi Nuh as dan orang-orang beriman yang diselamatkan daripada
banjir besar meneruskan kehidupan mereka, membina semula generasi dan tamadun
umat manusia. Umat manusia kembali berkembang biak dan mereka bertebaran
di atas muka bumi. Ada riwayat mengatakan pada zaman generasi Nabi Nuh as
yang keempat iaitu Aus bin Aram bin Sam bin Nuh as, terdapat puak-puak ‘Ad,
Thamud, Jurhum, Tasam, Jadis, Amim, Midian, Amalek Imlaq, Jasim, Qahtan,
Yaqtan dan lain-lain di Semenanjung Arab. ‘Ad adalah anak kepada Aus. Kaum
‘Ad dikatakan tinggal di suatu tempat bernama al-Ahqaf terletak di utara
Hadramaut antara Yaman dan Oman.
Surah AL-A’raf
7/69: “Apakah kamu hairan (melihat) peringatan daripada Rabb (Tuhan) kamu
datang melalui seorang lelaki dari kalangan kamu sendiri, memberi ancaman
kepada kamu? Dan ingatlah bahawa Allah menjadikan kamu pengganti-pengganti
selepas kaum Nuh, dan dilebihkan kamu pada penciptaan (tubuh) yang kuat.
Maka ingatlah nikmat Allah supaya kamu berbahagia.”
Nabi Nuh as dan orang-orang beriman yang mengikutnya menyampaikan ajaran
tauhid kepada keturunan mereka. Kemudian apabila ramai orang-orang salih
sudah meninggal, umat manusia dilanda oleh fitnah akidah. Rasulullah saw
menggambarkan keadaan demikian yang menimpa umat manusia. Daripada Abdullah
bin Amr bin 'Ash ra berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda, "Bahawasanya
Allah swt tidak mencabut (menghilangkan) ilmu itu dengan sekaligus dari (dada)
manusia. Tetapi Allah swt menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama.
Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang
yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu
ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan
orang lain." H.R. Muslim.
Orang-orang yang jahil tentang tauhid menggantikan orang salih menjadi pemimpin
umat manusia. Perkataan Nabi dan orang salih sudah dilupakan. Manusia menjadikan
akal fikirannya sebagai bakat mutlak dalam mendapatkan kebenaran. Ideologi
akal fikiran adalah liberalisma, iaitu kebebasan berfikir dan bertindak.
Manusia mampu menguruskan dan menentukan kehidupannya tanpa campur tangan
kuasa lain. Manusia seperti ini tidak nampak hubungan mereka dengan Tuhan
dan mereka tidak tahu adanya Hari Akhirat.
Oleh kerana naluri masih mencari Tuhan, maka ada golongan manusia yang beralih
kepada falsafah ketuhanan. Mereka mencari Tuhan pada cerita-cerita orang
salih yang hampir dengan Tuhan, yang mereka dengar dari nenek moyang mereka.
Mereka melihat orang salih tersebut sebagai ‘penyimpan’ Tuhan. Tuhan yang
dipertuhankan oleh orang salih tersebut terlalu tinggi untuk mereka mecapainya.
Justeru mereka memerlukan orang salih yang hampir dengan Tuhan itu sebagai
perantara. Pencarian mereka tidak sampai kepada Tuhan. Mereka berhenti pada
orang yang mereka jadikan perantaraan dengan Tuhan. Pada orang yang demikian
mereka letakkan sifat-sifat ketuhanan. Hal yang demikian berlaku dalam kalangan
kaum ‘Ad. Perantara yang penting dalam kepercayaan mereka ialah Shamud dan
Alhattar. Mereka membuat patung-patung yang diberi nama Shamud dan Alhattar
dan itu yang disembah sebagai tuhan mereka yang menurut kepercayaan mereka
dapat memberi kebahagiaan, kebaikan dan keuntungan serta dapat menolak kejahatan,
kerugian dan segala musibah. Agama falsafah menjadi asas kepada pluralisma.
Orang yang menyembah Shamud dan Alhattar tidak memusuhi orang lain yang menyembah
bulan dan bintang. Bahkan mereka juga tidak memusuhi orang yang menyembah
Allah asalkan ada Tuhan lain selain Allah yang diiktiraf. Allah swt menghantarkan
Nabi Hud as kepada mereka untuk menceritakan kebenaran dan membawa mereka
kembali ke jalan yang benar. Sejak dari Nabi-nabi terdahulu golongan yang
paling kuat menentang Nabi-nabi dan mengingkari ayat-ayat Allah adalah golongan
liberalisma dan pluralisma.
Surah al-A’raf 7/65: Dan
kepada (kaum) ‘Ad (Kami utuskan) saudara mereka Hud. Dia (Hud) berkata: “Wahai
kaumku! Abdikan dirimu dan beribadatlah kepada Allah; tidak ada Ilah (Tuhan)
bagi kamu selain Dia. Mengapakah kamu tidak mahu bertakwa?”
Nabi Hud as adalah daripada keturunan Abdullah ibn Rabah ibn al-Khulud Ibn
‘Ad ibn Aus ibn Iram. Kaum Nabi Nuh as yang tinggal di al-Ahqaf itu terkenal
dengan kekuatan jasmani dalam bentuk tubuh-tubuh yang besar dan sasa. Mereka
dikurniai oleh Allah tanah yang subur dengan sumber-sumber airnya yang mengalir
dari segala penjuru sehingga memudahkan mereka bercucuk tanam untuk bahan
makanan mereka. Tempat tinggal mereka ada kebun-kebun bunga yang indah-indah.
Berkat kurnia Tuhan itu hidup mereka menjadi makmur, sejahtera dan bahagia
serta dalam waktu yang singkat mereka berkembang biak dan menjadi suku yang
terbesar diantara suku-suku yang hidup di sekelilingnya. Kemakmuran hidup
yang mereka nikmati menurut anggapan mereka adalah kurniaan dan pemberian
kedua berhala mereka yang mereka sembah. Justeru mereka tidak putus-putus
sujud kepada kedua berhala itu mensyukurinya sambil memohon perlindungannya
dari segala bahaya dan musibah berupa penyakit atau kekeringan.
Nabi Hud as diutuskan kepada kaum ‘Ad membawa perutusan dari Allah swt.
Surah Hud 11/50-52: Dan kepada
(kaum) ‘Ad (Allah utuskan) saudara mereka Hud. Dia (Hud) berkata: “Wahai
kaumku! Beribadatlah kepada Allah. Tidak ada bagimu Ilah (Tuhan) selain Dia.
Tidak lain kamu ini hanyalah orang yang mengada-adakan (tuhan selain Allah).”
“Wahai kaumku! Aku tidak meminta upah daripada kamu atas (pekerjaanku) ini.
Tidak ada upah bagiku melainkan daripada yang menjadikan daku. Apakah kamu
tidak mahu fikirkan?” “Wahai kaumku! Mohonlah keampunan daripada Rabb (Tuhan)
kamu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya, (nescaya) Dia akan turunkan hujan
yang lebat ke atas kamu, dan Dia akan tambahkan kekuatan kepada kekuatan
kamu (yang sedia ada), dan janganlah kamu berpaling sebagai orang yang berdosa.”
Kaum ‘Ad hairan mendengar ada manusia seperti mereka, dari kalangan
mereka dan yang mereka kenali, mengaku menerima perutusan dari Tuhan Yang
Maha Tinggi sedangkan menurut logik akal mereka tidak ada yang boleh sampai
kepada Tuhan Yang Maha Tinggi itu, malah mereka percaya hanya dengan melalui
perantaraan tuhan-tuhan mereka baharulah boleh sampai kepadaNya. Nabi Hud
as membawa keeprcayaan setiap orang boleh berhubung langsung dengan Tuhan
Yang Maha Tinggi tanpa memerlukan perantara dan tuhan-tuhan mereka sebenarnya
bukanlah tuhan dan tidak memiliki apa-apa kekuasaan dalam mendatangkan manfaat
atau mudharat. Mereka tidak dapat menerima dakwaan yang demikian. Bagi mereka
Nabi Hud as yang membawa keeprcayaan yang berlainan dengan kepercayaan mereka
adalah seoranag yang terganggu fikiran.
Surah al-A’raf 7/66: Pemuka-pemuka
kafir daripada kaumnya itu berkata: “Sesungguhnya kami melihat engkau terganggu
fikiran, dan kami rasakan kamu daripada orang yang dusta.”
Logik akal mereka mengatakan orang yang mendakwa seperti didakwa oleh Nabi
Hud as adalah orang yang terganggu fikirannya. Sempadan bagi liberalisma
dan pluralisma adalah logik. Apa yang tidak mampu dihurai oleh logik mereka
dianggap sebagai cerita dongeng. Mereka tidak percaya sifat ketuhanan menjadi
monopoli satu Tuhan sahaja.
Surah Hud 11/53: Mereka
berkata: “Wahai Hud! Engkau tidak datang kepada kami dengan bukti yang nyata,
dan kami tidak akan meninggalkan tuhan-tuhan kami kerana kata-kata engkau
itu. Dan kami tidak sekali-kali percaya kepada engkau.”
Mereka mahukan bukti yang nyata. Jika Nabi Hud as mengatakan Allah wujud,
bawalah Allah ke hadapan mereka, baharu mereka akan percaya. Jika bukti yang
demikian tidak mampu dibawa, maka mereka tetap yakin kepercayaan mereka adalah
benar.
Surah Hud 11/54: “Kami tidak
mengatakan melainkan bahawa engkau menerima akibat buruk daripada sebahagian
daripada tuhan-tuhan kami.” Dia (Hud) berkata: “Sesungguhnya aku bersaksikan
Allah, dan saksikan olehmu bahawa aku tidak terlibat dengan apa yang kamu
sekutukan itu.”
Mereka malah mengatakan fikiran Nabi Hud as menjadi terganggu kerana kutukan
tuhan-tuhan mereka. Jika Nabi Hud as tidak berhenti dakwahnya nescaya beliau
akan menerima akibat yang lebih buruk lagi dari tuhan-tuhan mereka. Nabi
Hud as berhujah dengan mereka dengan cara yang baik.
Surah al-A’raf 7/67: Dia
(Hud) berkata: “Wahai kaumku! Fikiranku tidak terganggu, tetapi aku adalah
Rasul daripada Rabb (Tuhan) sekalian alam.” “Aku sampaikan risalah daripada
Rabb (Tuhan)ku dan aku adalah pemberi nasihat yang boleh dipercayai bagi
kamu.”
Surah Hud 11/54-55: “Kami
tidak mengatakan melainkan bahawa engkau menerima akibat buruk daripada sebahagian
daripada tuhan-tuhan kami.” Dia (Hud) berkata: “Sesungguhnya aku bersaksikan
Allah, dan saksikan olehmu bahawa aku tidak terlibat dengan apa yang kamu
sekutukan itu.” “Selain daripada Dia, maka jalankanlah rancangan kamu terhadap
aku, kemudian janganlah kamu berikan kesempatan kepadaku.”
Nabi Hud as dengan berani menghadapi ugutan kaumnya. Jika benar tuhan-tuhan
mereka berkuasa, mintalah tuhan-tuhan itu mengenakan kepadanya apa yang mereka
katakan. Mereka boleh minta tuhan-tuhan mereka bertindak dengan segera jika
mereka benar dengan dakwaan mereka. Nabi Hud as tidak akan meminta tangguh
atau cuba menyelamatkan diri. Beliau as hanya berdaksikan Allah, Tuhan Yang
Maha Esa, yang berkuasa mendatangkan manfaat atau mudharat.
Surah Hud 11/56: “Sesungguhnya
aku bertawakal kepada Allah, Rabb (Tuhan)ku dan Rabb (Tuhan) kamu. Tidak
ada suatu jua yang melata melainkan Dia memegang ubun-ubunnya (takdirnya).
Sesungguhnya Rabb (Tuhan)ku di atas jalan yang lurus (sentiasa benar).”
Nabi Hud as mengajarkan intipati tauhid. Manusia tidak ada jalan lain kecuali
bertawakal atau berserah diri kepada Allah Tuhan sekalian alam. Tidak ada
yang diciptakan kecuali Allah swt yang menguasai takdirnya. Allah swt sentiasa
benar dalam apa jua yang dilakukanNya. Dia meletakkan fitrah pada apa yang
Dia ciptakan. Fitrah itu mengheret makhluk berkenaan kepada jalan yang disediakan
untuknya. Matahari, bulan dan bintang-bintang bergerak pada falak masing-masing.
Ikan menyelam dalam laut tanpa lemas. Burung terbang di udara tanpa jatuh.
Semuanya bergerak dalam perbatasan fitrah masing-masing.
Surah Hud 11/57: “Maka jika
kamu berpaling, sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada kamu apa yang
aku diutuskan (menyampaikan)nya kepada kamu, dan Rabb (Tuhan)ku akan menggantikan
(kamu) dengan kaum yang lain daripada kamu, dan kamu tidak mampu memudaratkan-Nya
walaupun sedikit. Sesungguhnya Rabb (Tuhan)ku atas segala sesuatu adalah
Hafiz (Maha Memelihara).”
Nabi Hud as sebagai utusan berkewajipan menyampaikan apa yang diperintah
menyampaikannya. Allah swt menetapkan jika satu kaum menolak ajakan utusanNya
maka kaum itu digantikan dnegan kaum yang lain. Ini sudah terbukti dengan
apa yang berlaku kepada umat di zaman Nabi Nuh as. Apa juga yang dikatakan
oleh Nabi Hud as ditolak oleh kaumnya.
Surah asy-Syuara 26/123-127:
Kaum ‘Ad telah mendustakan para Rasul. Tatkala saudara mereka Hud berkata
kepada mereka: "Mengapa kamu tidak bertakwa?” “Sesungguhnya aku seorang Rasul
yang amin (kepercayaan) untuk kamu.” “Bertakwalah kepada Allah dan taatlah
kepadaku.” “Dan aku tidak meminta upah kepada kamu, upahku tidak lain hanyalah
daripada Rabb (Tuhan) sekalian alam.”
Perbezaan pendakwah yang benar dengan pendakwah yang batil, walaupun menyampaikan
perkara yang sama, ialah pendakwah yang benar tidak meminta upah sementara
pendakwah yang batil mencari kemewahan melalui dakwahnya.
Surah asy-Syuara 26/128-129:
“Mengapa kamu dirikan suatu tanda pada tempat yang tinggi, hanya untuk bermain-main.”
“Dan kamu bina gedung seolah-olah kamu akan kekal?”
Nabi Hud as mengingatkan kaumnya tentang kegiatan mereka yang melalaikan.
Kaum ‘Ad yang memiliki tubuh badan yang sasa dan tenaga yang kuat gemar menunjuk-nunjuk
dengan menawan tempat yang tinggi. Siapa yang mampu meletakkan tanda pada
tempat yang paling tinggi dialah yang paling terkenal dan dihurmati. Mereka
juga bermegah-megah dengan bangunan yang hebat-hebat. Keadaan bangunan yang
dimiliki menunjukkan status seseorang dalam kaumnya.
Surah asy-Syuara 26/130:
“Dan apabila kamu membalas, kamu membalas dengan kejam dan bengis?”
Sifat yang sangat buruk pada kaum ‘Ad ialah mereka membalas dengan melampau-lampau
secara kejam dan bengis. Mungkin jika mereka disakiti sedikit mereka membalas
dengan membunuh. Sifat demikian ada juga pada raja-raja zaman dahulu, di
mana jika seorang rakyat menderhaka kepadanya seluruh keluraga penderhaka
itu dibunuh dengan kejamnya.
Surah asy-Syuara 26/131-132:
“Maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.” “Dan bertakwalah kepada
yang memberi kurnia kepada kamu dengan apa yang kamu ketahui.”
Nabi Hud as mengajak kaumnya supaya bertakwa kepada Allah swt. Cara bertakwa
kepada Allah swt ialah dengan mentaati NabiNya kerana Nabi Allah yang tahu
cara berbakti kepada Allah swt. Jalan takwa diajar oleh Allah swt kepada
NabiNya. Manusia tidak tahu membentuk jalan takwa yang Allah swt kehendaki.
Surah asy-Syuara 26/133-134:
“Dia kurniakan kepada kamu binatang ternak, dan keturunan.” “Dan kebun dan
mata air.”
Allah swt memberi pengajaran kepada kaum ‘Ad dengan menahan nikmat yang telah
dikurniakan kepada mereka. Allah swt jadikan kemarau menimpa kaum tersebut.
Ladang dan kebun mereka menjadi kering kontang. Hasil tanaman tidak ada sehingga
menimbulkan kesusahan dan kegelisahan kepada mereka. Dalam keadaan demikian
Nabi Hud as berusaha meyakinkan mereka bahawa apa yang berlaku itu adalah
peringatan dari Allah swt. Jika mereka bertakwa kepada Allah swt dan mentaati
Nabi Hud as nescaya Allah swt kembalikan nikmat dan kemakmuran yang pernah
mereka kecapi.
Surah asy-Syuara 26/135:
“Sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa azab Hari yang besar."
Jika mereka terus juga mengingkari peringatan Allah swt nescaya peringatan
tersebut menjadi ancaman kepada permulaan seksaan dari Allah swt yang lebih
berat.
Surah asy-Syuara 26/136-138:
Mereka menjawab: "Sama sahaja bagi kami, kamu beri nasihat atau tidak beri
nasihat.” “Ini tidak lain, hanyalah adat kebiasaan orang dahulu.” “Dan kami
sekali-kali tidak akan diazab.”
Hati mereka telah tertutup dari menerima kebenaran. Apa juga nasihat diberikan
oleh Nabi Hud as namun ia tidak sedikitun memberi bekas. Mereka menerima
peninggalan generasi sebelum mereka sebagai sesuatu yang mesti dipertahankan.
Generasi sebelum mereka sudahpun mengikuti cara tersebut dan mereka tidakpun
ditimpa azab. Jika orang terdahulu tidak ditimpa azab tentu sekali mereka
yang mengikuti jalan yang sama tidak akan ditimpa azab. Mereka menganggap
apa yang dikatakan oleh Nabi Hud as sebagai pembohongan semata-mata. Mereka
bahkan pergi menghadap berhala-berhala mereka memohon perlindungan dari musibah
yang mereka hadapi.
Surah al-Ahqaf 46/21-23:
Dan ingatlah (Hud) saudara kaum ‘Ad, dia memberi peringatan kepada kaumnya
di al-Ahqaf (Bukit Pasir), dan sesungguhnya telah terdahulu beberapa pemberi
peringatan sebelumnya dan sesudahnya: "Jangan kamu abdikan diri dan beribadat
kepada selain Allah, sesungguhnya aku takut kamu ditimpa azab Hari yang besar.”
Mereka berkata: "Apakah engkau datang kepada kami untuk memalingkan kami
daripada ilah (tuhan) kami? Datangkanlah kepada kami apa yang engkau ancamkan
kepada kami, jika kamu adalah orang yang benar.” Dia (Hud) berkata: "Sesungguhnya
pengetahuan hanyalah pada sisi Allah, dan aku menyampaikan kepada kamu apa
yang aku diutuskan dengannya, tetapi aku lihat kamu adalah kaum yang jahil.”
Bukan sekadar menolak risalat yang dibawa oleh Nabi Hud as malah mereka mempersendakannya
dengan meminta disegerakan azab seperti yang dkatakan oleh Nabi Hud as itu.
Surah asy-Syuara 26/139-140:
Maka mereka dustakannya (Hud), lalu Kami binasakan mereka. Sesungguhnya pada
yang demikian itu (terdapat) tanda, tetapi kebanyakan mereka tidak beriman.
Dan sesungguhnya Rabb (Tuhan) engkau, Dia adalah Al-‘Aziz (Yang Maha Perkasa),
lagi Al-Rahim (Yang Maha Mengasihani).
Allah swt membalas persendaan mereka dengan mendatangkan azab sebagaimana
yang Dia ancamkan.
Surah al-Ahqaf 46/24-25:
Maka tatkala mereka melihatnya (berupa) awan yang menuju ke lembah-lembah
mereka, berkatalah mereka: "Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada
kami.” Bahkan itulah yang kamu meminta disegerakan, (iaitu) angin yang dalamnya
(mengandungi) azab yang pedih. Yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah
Rabb (Tuhan)nya, maka hilang lenyaplah mereka, kecuali (bekas) tempat tinggal
mereka. Demikianlah Kami memberi balasan kepada kaum yang berdosa.
Surah al-Haqqah 69/6-8: Adapun
(kaum) ‘Ad, mereka dibinasakan dengan angin yang sangat dingin lagi amat
kencang. Ditimpakan ke atas mereka selama tujuh malam dan lapan hari terus
menerus, maka kamu melihat kaum itu padanya mati bergelimpangan seakan-akan
mereka tunggul tamar yang telah lapuk. Maka adakah kamu melihat seseorang
yang tinggal antara mereka?
Allah swt menghantarkan awan kepada kaum ‘Ad. Apabila melihat awan di langit
mereka menyangka itu adalah awan yang membawa hujan. Mereka bersorak gembira
kerana mengira musim kemarau sudah habis dan hujan akan turun membasahi ladang
dan kebun mereka. Kelak kemakmuran yang mereka nikmati dahulu akan mendatangi
mereka semula. Melihat sikap kaumnya yang sedang bersuka ria itu Nabi Hud
as mengingatkan bahawa awan yang datang itu adalah petanda awal kedatangan
azab dari Allah swt yang akan membinasakan kaumnya. Apabila melihat tanda
tersebut Nabi Hud as membawa pengikutnya meninggalkan negeri al-Ahqaf yang
akan dibinasakan. Tinggallah kaum ‘Ad dalam keseronokan menanti hujan turun,
padahal yang akan datang adalah azab yang sangat keras.
Setelah Nabi Hud as dan orang-orang yang beriman sudah keluar ke tempat selamat
datanglah awan menyerkup kaum ‘Ad. Awan membawa bersama-samanya angin yang
sangat kencang dan sangat dingin. Kedinginan angin menyebabkan berlakunya
kekejangan dengan sangat cepat sehingga mereka tidak sempat melarikan diri.
Jika mereka masih ada tenaga namun mereka tidak mampu menembusi ‘benteng’
angin yang berpusing dengan pantas. Apa sahaja di bawah serkupan awan itu
dibawa terbang oleh angin. Kelajuan angin puting beliung pada zaman ini boleh
melebihi 450km/jam. Angin azab yang Allah swt hantarkan jauh lebih kencang
dari angin puting beliung zaman ini. Angin azab itu mengangkat, melambung,
melontar dan mencampakkan manusia kaum ‘Ad, haiwan, bahan-bahan bangunan,
pokok-pokok dan bermacam-macam lagi. Al-Ahqaf adalah negeri yang banyak benteng-benteng
pasir. Angin menerbangkan pasir-pasir yang bertindak seumpama pengisar mengikis
daging-daging menjadikannya azab yang sangat pedih sebelum menemui ajal.
Keadaan demikian berlaku terus menerus selama tujuh malam dan lapan hari.
Surah Hud 11/58: Dan apabila
datang ketentuan Kami, Kami selamatkan Hud dan orang yang beriman besertanya
dengan rahmat daripada Kami. Dan Kami selamatkan mereka daripada azab yang
berat.
Surah al-A’raf 7/72: Kami
selamatkan dia (Hud) dan orang yang bersama dengannya dengan rahmat daripada
Kami, dan Kami putuskan akar (Kami binasakan semuanya) daripada orang yang
mendustakan Kami, kerana mereka itu bukanlah orang yang mahu beriman.
Allah swt menyelamatkan Nabi Hud as dan orang beriman yang besertanya.
Kesemua kaum ‘Ad yang derhaka dibinasa sama sekali, diputuskan akar mereka.
Tidak ada keturunan kaum’Ad yang derhaka. Apa yang tinggal hanyalah bekas
kebinasaan tersebut.
Surah Hud 11/59-60: Dan begitulah
(kisah kaum) ‘Ad yang mengingkari ayat-ayat Rabb (Tuhan) mereka, dan mereka
derhaka kepada Rasul-Nya, serta mereka patuhi perintah setiap penguasa yang
derhaka (kepada Rabb). Dan mereka diikuti dengan laknat di dunia dan di Hari
Kiamat. Ketahuilah, sesungguhnya (kaum) ‘Ad itu kufur kepada Rabb (Tuhan)
mereka. Ketahuilah, kebinasaan bagi ‘Ad, kaum Hud itu.
Nabi Hud as membawa pengikutnya berhijrah ke Hadramaut Di sana mereka memulakan
semula kehidupan mereka, kembali membangun peradaban dan membiakkan keturunan
dengan berasaskan tauhid.
|