Syiah ialah salah satu mazhab terbesar dalam Islam selepas Sunni. Syiah
mengikuti Islam berbeza dengan apa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw
dan Ahlul Baitnya kerana menolak hadis yang berlawanan dengan kepercayaan
mereka. Syiah menolak kepemimpinan dari tiga Khalifah Sunni pertama malah
sebahagian mereka menghina para Khulafa ar-Rasyidin yang merupakan sahabat
Rasulullah saw seperti juga Sunni menolak Imam Syiah.
Syiah mendakwa diri mereka sebagai pengikut dari Ahlul Bait dan Imam Ali
ra. Tetapi Ali bin Abi Talib ra dan para Ahlul Bait sendiri telah menolak
kepercayaan Syiah. Kebanyakan Sunni Islam mengatakan bahawa Mahzab Syiah merupakan
satu kefahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam kerana fahaman ini mendakwa
bahawa Ali ra iaitu sepupu Rasulullah saw sepatutnya menjadi khalifah selepas
kewafatan baginda saw dan bukannya Abu Bakar ra.
Kemunculan Syiah lebih dikaitkan kepada peristiwa kematian Husain bin Ali
ra di Karbala. Akibat daripada pembunuhan itu, muncul sekolompok Muslim menuntut
agar pembunuhan tersebut dituntut bela. Sejarah menunjukkan lebih kuat hubungan
antara Syiah dan Husain ra berbanding Ali ra sendiri. Ini jelas apabila para
pengikut Syiah menyambut 10 Muharram sebagai mengingati hari kematian Husain
ra dan tidak pula hari kematian Ali ra.
Aliran Syiah
Aliran Syiah boleh dibahagi kepada tiga golongan yang besar. Golongan pertama
dipanggil Syiah Mufaddholah (puji kelebihan), iaitu mereka yang terlalu cenderung
memuliakan Ahlul Bait (kaum keluarga Nabi saw). Mereka banyak bercakap tentang
kemuliaan ahli keluarga Nabi saw: Ali ra, Fathimah ra, Hasan ra, Husain ra,
dan lain-lain tetapi mereka tidak mengkafirkan sahabat Nabi saw. Mereka mengiktiraf
Abu Bakar ra, Umar ra dan Uthman ra sebagai khalifah, tetapi bagi mereka Ali
ra tetap lebih mulia. Bagi mereka Abu Bakar ra, Umar ra dan Uthman ra diharuskan
menjadi khalifah walaupun (menurut pegangan mereka) Ali ra lebih baik daripada
ketiga-tiga mereka. Mereka terkenal dengan nama Syiah Zaidiyyah. Kebanyakannya
tinggal di Yaman.
Golongan kedua merupakan puak Syiah majoriti di dunia ini iaitu Syiah Rafidhah.
Rafidhah berasal daripada perkataan ar-Rafdhu (tolak). Mereka digelar sebagai
Rafdhu atau Rafidhah kerana mereka tidak mengiktiraf kekhalifahan Abu Bakar
ra, Umar ra dan Uthman ra. Lebih dahsyat lagi mereka mengkafirkan dan melaknat
sahabat Rasulullah saw seperti seperti Abu Bakar ra, Umar ra, Utsman ra, Abu
Hurairah ra, Muawiyah ibn Abi Sufyan ra, keturunan Muawiyah dan keturunan
Umar keseluruhannya. Paling jelik ialah mereka melaknat dan mengkafirkan isteri
Rasulullah saw, Ummul Mukminin Aisyah ra. Bagi mereka apa sahaja yang datang
daripada kesemua sahabat yang mereka laknati tidak boleh diterima dan harus
ditolak. Mereka dikenali juga dengan pelbagai nama pada hari ini, antaranya
Imamiyah Itsna Asyariyah (Imam 12) dan Ja’fariyah. Syiah Rafidhah merupakan
golongan Syiah terbesa, merangkumi 90% penduduk di Iran dan sebahagian besar
penduduk Iraq. Akidah mereka berbeza dengan akidah Ahlus Sunnah. Mereka mengkafirkan
sahabat Nabi saw agar timbul keraguan terhadap sumber agama yang dipegang
oleh Ahlus Sunnah. Cadangan mengumpulkan al-Quran datangnya daripada Umar
ra kepada Khalifah Abu Bakar as-Siddik ra. Abu Bakar ra mengarahkan Umar
ra mencari penulis wahyu. Umar ra memilih Zaid ibn Tsabit ra dan dibentuk
kumpulan penulis wahyu. Apabila Syiah mengkafirkan sahabat maka al-Quran
yang ditulis itu, yang menjadi sumber kepada al-Quran hari ini, dianggap
sebagai tidak menepati al-Quran yang asli. Mereka mengamalkan taqiyyah, iaitu
menyembunyikan hal yang sebenar dengan cara berbohong atau berpura-pura. Imam
mereka mengajarkan tidak ada agama bagi sesiapa yang tidak bertaqiyyah. Mereka
dituntut untuk menzahirkan sesuatu yang bersesuaian dengan masyarakat setempat
dan menyembunyikan kepercayaan mereka. Oleh yang demikian akidah dan amalan
mereka yang sebenar sukar dikesan.
Syiah golongan ketiga adalah yang paling pelik. Mereka merupakan golongan
minoriti tetapi bergerak aktif di sebelah Syria, sempadan Jordan. Mereka juga
terdapat di Lubnan. Syiah golongan ini cenderung kepada Bathiniyah (simbolik
tanpa amalan). Mereka menganggap ibadah seperti solat, haji, dan lain-lain
hanya simbolik semata-mata. Bahkan pelampau mereka beriktikad malaikat Jibril
tersalah menyampaikan wahyu kepada Nabi Muhammad saw, sepatutnya wahyu disampaikan
kepada Ali bin Abi Thalib ra. Akidah begini merupakan akidah yang bercanggah
dengan Islam dan ia membatalkan keislaman seseorang. Mereka datang dengan
banyak nama, antaranya Syiah Nushairiyah seperti Bashar Al-Asad di Syria.
Mereka menyembah gambarnya kerana telah mengangkat Imam mereka pada martabat
ketuhanan. Selain itu Syiah Duruz, Syiah Isma’iliyah di Pakistan, Aghakhaniyah
di Afghanistan, Pakistan dan Malaysia (dalam kelompok kecil).
Aliran Syiah mempercayai bahawa Nabi saw telah mewasiatkan keturunan baginda
saw menjadi pemimpin umat Islam dan hendaklah bersatu di bawah Imam. Rasulullah
saw telah memperingatkan Ali ra bahawa golongan beliau terbahagi tiga: orang
yang terlampau memuja Ali ra, orang yang terlampau membenci Ali ra dan orang
yang cinta kepada Ali ra kerana Allah. Golongan pertama dan kadua itu masuk
neraka. Golongan ketiga itu masuk syurga. Terbukti golongan pertama dan kedua
itu puak Syiah dan Khawarij.
Imam al-Ghazali dalam bukunya Mustazhiri menentang keras Syiah kerana ia
mengandungi pengajaran Batiniah. Imam Ja'far as-Sadiq, generasi kelima keturunan
Ali bin Abi Talib dan Fatimah Zahrah r.a, pula menyatakan Syiah tidak boleh
dikahwini dan diadakan sebarang urusan keagamaan kerana akidah mereka bertentangan
dengan al-Quran dan Hadith. Golongan Syiah Imamiyyah mengganggap Ja'far as-Sadiq
sebagai imam keenam umat Islam, walaupun beliau tidak mengakuinya dan tidak
menerima baiah mereka itu.
Usul al-Din atau Rukun Kepercayaan Mazhab Syiah:
1. Tauhid – Allah swt adalah Satu
2. Adalah – Allah swt adalah Adil
3. Qiyamah – Allah swt membangkitkan manusia untuk pengadilan di Hari Kiamat
4. Nubuwwah – Nabi dan Rasul adalah maksum, dilantik oleh Allah swt untuk
mengajar dan membimbing manusia. Muhammad saw adalah Nabi dan Rasul terakhir
5. Imamah – Allah swt melantik orang-orang tertentu sebagai pemimpin umat
manusia, yakni sebagai Imam. Umat manusia sentiasa ada seorang Imam dan hanya
seorang Imam sahaja boleh wujud pada bila-bila masa. Sesetengah Rasul adalah
Imam. Contohnya Nabi Ibrahim as yang merupakan Nabi, Rasul dan Imam. Tidak
semua imam adalah Nabi atau Rasul pula. Contohnya Imam Ali, yang bukannya
seorang Rasul mahupun Nabi tetapi Imam.
Mengikut pandangan Mazhab Sunni, Syiah mengamalkan:
1. Khalifah diwasiatkan secara nas
2. Imam adalah maksum berdasarkan firman Allah
3. Saidina Ali adalah Pemimpin umat Islam setelah wafat Rasulullah
4. Mencela para sahabat Nabi dan Ummahatul Mukminin
5. Menghalalkan nikah muta'ah yang diharamkan oleh Islam Sunni
6. Menolak beberapa Ijmak ulama yang tidak bertanggungjawab
7. Menolak Qias
8. Menerima hadith yang diriwayatkan sebahagian Ahli Sunnah Wal-Jamaah walaupun
mengatakan para sahabat yang merawikan hadis itu kafir
9. Mengharuskan Jamak sembahyang dalam semua keadaan
Pendirian Ali ra dan Ahlus Sunnah wal Jamaah tentang kedudukannya
sebagai Khalifah
Ahlus Sunnah wal Jamaah bersepakat bahawa Khalifah yang keempat dalam senarai
Khulafa’ al-Rasyidin al-Mahdiyyin yang diperintahkan oleh Rasulullah saw untuk
kita berpegang dengan Sunnah mereka setelah Sunnah baginda saw adalah Saidina
Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhu. Kata Abdullah bin Ahmad bin Hanbal rahimahumallah:
“Aku bertanya kepada ayahku (Imam Ahmad) berkenaan susunan keutamaan antara
Abu Bakar, Umar, Usman, dan Ali? Maka jawab ayahku: Abu Bakar, Umar, Usman,
adapun Ali maka beliau adalah Khalifah yang keempat” [Al-Sunnah, Abdullah
bin Ahmad, juz 2, m.s 218]
Kata Imam al-Tahawi r.h dalam Matan Akidah beliau: Maksudnya: “dan kami
(Ahlus Sunnah wal Jamaah) menetapkan Khilafah selepas Rasulullah saw yang
pertamanya kepada Abu Bakar al-Siddiq ra sebagai satu keutaman dan pendahuluan
atas sekalian umat kemudian kepada Umar bin Al-Khattab ra kemudian kepada
Uthman ra kemudian kepada Ali bin Abi Talib ra dan mereka inilah para Khalifah
al-Rasyidin dan Imam-imam Al-Mahdiyun (yang mendapat petunjuk)”.
Dalil Ahlus Sunnah wal Jamaah dalam masalah ini adalah hadis berikut:
Daripada Safinah radiallahu ‘anhu, kata beliau: Aku mendengar Nabi s.a.w
bersabda: Maksudnya: “Khilafah (selepasku) adalah selama 30 tahun kemudian
akan bertukar kepada (sistem) beraja” [HR Abu Daud, Al-Tarmizi, Al-Nasai].
Kemudian berkata Safinah r.a: “Peganglah (hitunglah); Khilafah Abu Bakar dua
tahun, Umar 10 tahun, Usman 12 tahun, dan Ali 6 tahun”.
Saidina Ali ra sendiri tidak menerima pembai’atan daripada pemberontak bahkan
beliau menerimanya setelah disetujui oleh para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim
yang berada di Madinah. Demikian juga pembai’atan Ali ra adalah setelah dipersetujui
oleh para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim terutama Ahli Badar dan Ali ra tidak
tunduk pada asakan pemberontak dan beliau bertegas hak memilih pemimpin bukanlah
milik semua tetapi ia milik Ahli al-Hilli wal ‘Aqdi yang pada masa itu adalah
al-Muhajirun wal Ansar yang diketuai oleh Ahli Badar.
Daripada ‘Auf (al-A’rabi) kata beliau: “Adapun aku maka aku bersaksi bahawa
aku mendengar Muhammad bin Sirin berkata: “Sesungguhnya Ali telah datang dan
berkata kepada Talhah: “Hulurkan tanganmu wahai Talhah untuk aku membai’atmu”.
Maka berkata Talhah: “Engkau lebih berhak, engkaulah Amirul Mukminin, maka
hulurkan tanganmu”. Kata beliau (Ibn Sirin): “Maka Ali menghulurkan tangan
beliau maka beliau (Talhah) membaiatnya”. [Ibn Jarir al-Tabari dalam al-Tarikh
dan Al-Balazuri dalam Ansab al-Asyraf dengan sanad yang sahih].
Maksudnya: Daripada Al-Hasan (Al-Basri) kata beliau: “Aku melihat Al-Zubair
membai’at Ali r.a di sebuah kebun daripada kebun-kebun Madinah” [Al-Balazuri,
Ansab al-Asyraf, no. 274, sanadnya Sahih].
Ali bin Abi Talib ra tidak mendakwa memiliki wasiat daripada Rasulullah
saw untuk menjadi Khalifah selepas kewafatan baginda saw seperti yang didakwa
oleh Syiah Rafidah. Hal ini jelas melalui sikap Ali bin Abi Talib ra yang
berkali-kali menolak permintaan supaya menjadi Khalifah bahkan beliau berkata:
“Aku menjadi wazir itu lebih baik daripada aku menjadi Amir”. Jika benar Ali
ra mempunyai wasiat sedemikian tentulah sebaik sahaja para pemberontak mengepung
Uthman ra kemudian membunuhnya Ali ra akan segera menuntut hak beliau dan
mengisytiharkan diri beliau sebagai Khalifah, tambahan pula para pemberontak
Mesir memang sedia menyatakan mereka mahukan Ali ra sebagai Khalifah. Hakikatnya
adalah Ali ra tidak memiliki wasiat tersebut. Ia hanyalah ‘wahyu’ syaitan
kepada Abdullah bin Saba’ (Yahudi yang memeluk Islam) untuk menyesatkan manusia.
Ali ra yang enggan menerima bai’ah daripada pemberontak sebaliknya berkeras
dan menegaskan bahawa hak bai’ah adalah milik para sahabat Rasulullah saw.
Ali ra menyatakan hak melantik pemimpin bukan hak sama rata manusia tetapi
hak Ahli al-Hilli wal ‘Aqdi (Ahli Majlis Syura) yang terdiri daripada pemuka
umat dan Ulama mereka yang ketika itu merupakan para sahabat Rasulillah saw
yang diketuai Ahli Badar.
Kesahihan Khilafah Ali bin Abi Talib ra dan beliau merupakan Khalifah al-Rasyidin
yang keempat disepakat oleh Ahlus Sunnah wal Jamaah. Ijmak ini berlaku semenjak
zaman Ali ra lagi kerana setiap sahabat radiallahu ‘anhum sama ada yang membai’at
Ali ra mahupun yang mengambil sikap berkecuali sewaktu peperangan Jamal dan
Siffin ataupun Mu’awiyah ra yang mengambil sikap enggan membai’at, kesemua
mereka ini sepakat dan setuju bahawa Ali ra adalah yang berhak memengangnya
setelah kewafatan Usman ra.
Pendapat Syeikhul Islam Ibn Taimiah mengenai Syiah Rafidhah: ‘Barangsiapa
yang mencela para Sahabat atau salah seorang daripada mereka dan disertai
dengan celaan itu dakwaan Jibril tersalah memberikan risalah (wahyu) maka
tidak syak pada kufurnya dia bahkan tidak syak juga pada kufurnya orang yang
teragak-agak akan kekufurannya. Barangsiapa yang menuduh ‘Aisyah dengan perkara
yang Allah telah bebaskan beliau daripadanya (zina) maka tiada perselisihan
pada kufurnya dia.’ Beliau (Ibn Taimiah r.h) berkata: ‘Adapun orang yang melaknat
dan memburukkan para sahabat radiallahu’anhum, maka padanya ada khilaf adakah
dia dihukum kafir atau fasiq’. Imam Ahmad bertawaqquf (mendiamkan diri) daripada
mengkafirkannya dan berkata: “Dia dihukum dengan dirotan dan dipenjarakan
sehingga dia mati atau sehingga dia bertaubat”. Beliau berkata lagi (Ibn
Taimiah) rahimahullah: ‘Adapun sesiapa yang beriktikad bahawa para sahabat
telah menjadi murtad selepas kewafatan Nabi saw kecuali beberapa jumlah yang
kecil sahaja daripada mereka (tidak murtad) tidak sampai beberapa belas orang
dan bahawa para sahabat menjadi fasiq (setelah wafatnya Nabi saw) maka tidak
ada keraguan lagi pada kufurnya orang yang berkata sebegini bahkan tidak
ada syak pada kufurnya orang yang tidak mengkafirkannya”.
Maka barangsiapa yang teragak-agak akan kufurnya mereka dalam keadaan mereka
seperti ini dan ragu-ragu (akan kufurnya mereka) maka dia adalah seorang yang
jahil akan hakikat agama yang dibawa para Rasulullah saw dan turun berkenaannya
kitab-kitab, maka hendaklah dia menyemak semula agama dia sebelum sampai
kematiannya.
Orang-orang Rafidah sekarang ini lebih jelek dan lebih teruk lagi kerana
mereka menambah selain daripada itu (mencela sahabat): Sikap berlebihan terhadap
para Wali dan orang-orang solih daripada Ahli Bait dan selain mereka, mereka
beriktikad bahawa mereka ini (Ahli Bait dan wali-wali) mempunyai kuasa memberi
manfaat dan mudarat, dalam keadaan susah dan senang, dan mereka menganggap
itu sebagai amalan yang medekatkan mereka kepada Allah dan agama yang mereka
berpegang dengannya.
Syiah hari ini
Musim haji pada tahun 1979, Khomaini telah mengarahkan kaum Rafidah pergi
menunaikan haji lalu mengadakan rusuhan serta mencemarkan perkuburan Baqi’
(tanah perkuburan para sahabat Rasulullah saw). Pada bulan Februari 2009 kaum
Rafidah yang menetap di Arab Saudi telah mengadakan rusuhan di Masjid Nabawi
dan sekali lagi menceroboh perkuburan Baqi’ serta menginjak-injaknya.
Khomaini memperkenalkan doktrin Wilayatul Faqih (Kepimpinan Ulama) yang
tidak pernah muncul dalam dunia Islam sebelumnya. Khomeini dalam bukunya
al-Hukumah al-Islamiah telah memperkenalakan doktrin Wilayatul Faqih atau
Kepimpinan Ulama bagi menggantikan pemerintahan Monarki Syah Iran. Al-Quran
tidak mensyaratkan Ulama menjadi pemimpin.
Surah al-Baqarah
2/246-247: Apakah engkau tidak perhatikan pemimpin-pemimpin Bani Israil sesudah
Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: “Lantikkan untuk kami
seorang raja supaya kami berperang pada jalan Allah.” Dia (Nabi itu) berkata:
“Tidakkah mungkin jika kamu diperintahkan berperang (kelak), kamu akan enggan
berperang?” Mereka berkata: “Mengapa kami tidak mahu berperang sedangkan
kami telah diusir dari kampung halaman kami dan dari anak-anak kami?.” Tetapi
apabila diperintahkan berperang, mereka berpaling kecuali sebilangan kecil
sahaja daripada mereka. Dan Allah adalah ‘Alim (Maha Mengetahui) akan orang
yang zalim. Dan Nabi mereka berkata kepada mereka: “Allah telah melantik
Talut menjadi raja kamu.” Mereka berkata: “Apakah patut dia (Talut) menguasai
kami, padahal kami lebih berhak daripadanya dalam urusan pemerintahan, (tambahan
pula) dia (Talut) tidak diberi kekayaan yang mencukupi.” Dia (Nabi mereka)
berkata: “Allah telah memilihnya (Talut) buat kamu dan Dia (Allah) menganugerahkannya
(Talut) keunggulan ilmu dan keperkasaan tubuh badan. Dan Allah memberikan
kerajaan-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah adalah Wasi’ (Maha
Luas), lagi ‘Alim (Mengetahui).
Jelas dalam ayat ini, walaupun Bani Israel selepas kewafatan Nabi Musa as
dan Nabi Harun as mempunyai Nabi yang menjaga mereka dalam urusan agama dan
memberikan mereka fatwa dalam ‘Nawazil’ (Perkara Baharu yang tidak dinyatakan
secara jelas dalam nas) namun Allah Taala telah melantik Talut seorang lelaki
miskin sebagai Raja kepada Bani Israel untuk memimpin mereka berjihad. Jika
seorang Nabi pun tidak menjadi syarat untuk menjadi pemimpin apatah lagi seorang
ulama yang tidaklah maksum daripada kesalahan dan dosa. Dalam Siasah Islam,
seorang pemimpin disyaratkan mempunyai pengetahuan dalam perkara hukum hakam
syarak yang berkaitan namun tidaklah bermakna dia semestinya seorang pakar
dalam bidang syarak sehingga mencapai tahap mujtahid, bahkan cukuplah sekadar
dia mengetahui halal dan haram dan wajib atasnya melantik penasihat dalam
urusan yang tidak dipakarinya.
Surah at-Taubah 9/122: Dan
tidak seharusnya orang Mukmin itu pergi (berperang) semuanya, tetapi sebaiknya
ada daripada kalangan tiap golongan itu keluar sebahagian untuk memperdalamkan
pengertian tentang al-din (agama), dan (dengan demikian) membolehkan mereka
memberi peringatan kepada kaum mereka apabila mereka kembali (dari medan perang)
kepada mereka, (dengan itu) mereka (menjadi) berhati-hati.
Dalam ayat ini menjelaskan bahawa tugas utama seorang ‘Faqih’ adalah menyebarkan
ilmu dan memberi nasihat kepada kaum mereka bukanlah semestinya mereka merebut
jawatan kepimpinan untuk diri mereka semata-mata. Demikian juga telah berlalu
dalam kurun yang panjang kita menyaksikan tidak ada Ulama Ahli Sunnah wal
Jamaah yang mendakwa mereka lebih berhak menjadi Khalifah daripada selain
mereka, bahkan Imam Ahmad bin Hanbal langsung tidak mendakwa kepimpinan al-Makmun
sebagai tidak sah walaupun al-Makmun bukan sekadar tidak Faqih bahkan seorang
yang diragui akidahnya kerana bidaah. Tidak ada dalam kalangan Imam Mazhab
yang empat mahupun selain mereka yang mendakwa bahawa Wilayah Ammah (Kepimpinan
Am) merupakan hak mereka. Oleh itu, telah menjadi Ijmak bahawa Faqih bukanlah
seorang yang boleh memonopoli jawatan Kepimpinan Am semata-mata atas tiket
dia seorang Faqih atau Alim atau Tok Guru atau Mursyid atau Tok Lebai atau
Tok Haji dan sebagainya.
Akidah Wilayatul Faqih:
Akidah Wilayatul Faqih berkait rapat dengan akidah Syiah Imamiah bahawa
pemimpin itu hendaklah seorang yang maksum yakni terpelihara daripada dosa
atau menurut takrif Syiah sendiri seorang yang mempunyai kekuatan akal untuk
mengawal dirinya daripada melakukan perkara-perkara maksiat walaupun pada
dirinya ada kemampuan untuk melakukannya. Mereka telah meletakkan hak Imamah
(kepimpinan) itu kepada 12 orang Imam menurut sangkaan mereka bermula daripada
Saidina Ali ra dan berakhir dengan Muhammad bin Hasan al-Askari iaitulah
Imam Mahdi yang ditunggu yang menurut mereka menghilangkan diri dan akan
muncul semula. Al-Mahdi Syiah ini berbeza dengan Imam Mahdi Ahli Sunnah wal
Jamaah.
Khomeini menyatakan kedudukan Waliyyul Faqih sebagai berikut: “dan pada
riwayat ini menjelaskan seorang Mujtahid itu dianggap sebagai Hakim (Pemerintah)
dan menolak hukum Mujtahid adalah menolak Imam dan menolak Imam itu adalah
menolak Allah dan menolak Allah itu menjadikan pelakunya syirik kepada Allah”.
[Kasyful Asrar, Khomeini, 207, Dar Ammar, Amman, cet pertama].
“Fuqaha’ Islam (yakni Ulama Syiah) pada hari ini adalah Hujjah atas manusia
seperti mana Rasulullah saw Hujjah Allah dan semua urusan berada pada tangan
baginda, sesiapa yang menyalahi perintah baginda maka akan didirkan hujjah
atasnya (dihukum di akhirat). Demikian juga para Faqih adalah hujjah atas
manusia daripada Imam dan semua urusan dan masalah kaum muslimin diserahkan
kepada mereka dan sesiapa sahaja yang menyalahi perintah mereka dalam urusan
pemerintahan, pentadbiran kaum Muslimin, dan urusan sumber am maka Allah akan
menegakkan hujah atasnya (di akhirat)”. [al-Hukumah al-Islamiah, m.s 125].
Jelas Khomeini telah meletakkan dirinya dan para Ulama Syiah setaraf dengan
Rasulullah saw di mana segala undang-undang yang mereka laksanakan hendaklah
ditaati tanpa dibantah. Hak Imam Maksum Syiah kini menurut Khomeini telah
berpindah kepadanya dan sekutu-sekutunya. Keadaan kaum Syiah adalah seperti
dinyatakan oleh al-Quran:
Surah at-Taubah 9/31: Mereka
menjadikan ulama mereka dan rahib mereka sebagai arbab (tuhan-tuhan) selain
Allah, dan Almasih ‘ibn Maryam (juga mereka jadikan sekutu Allah), padahal
mereka tidak diperintahkan melainkan hanya menyembah Ilah (Tuhan), Wahid (Maha
Esa), tidak ada Ilah (Tuhan) melainkan Dia, Subhanahu (Maha suci Dia), daripada
apa yang mereka persekutukan.
Allah Taala menjelaskan bahawa kaum Nasrani itu menjadi kufur kerana mereka
meletakkan para Ulama mereka setaraf dengan Allah Taala, mereka mengharamkan
apa yang diharamkan Ulama dan menghalalkan apa yang dihalalkan Ulama mereka
selain mereka membesarkan Ulama mereka dengan menjadikan kuburan para Paderi
dan Rahib itu tempat ibadat. Demikialah Syiah hari ini, yang menghalalkan
apa sahaja yang ulama mereka halalkan dan haramkan apa sahaja yang ulama mereka
haramkan walaupun tidak ada dalil sama sekali daripada hadis-hadis Nabi saw.
Antara sebesar-besar maksiat yang mereka halalkan adalah Nikah Mutaah (Khawin
Kontrak) yang merupakan perzinaan yang jelas dan nyata bahkan dibolehkan
pula Mutaah antara bapa dan anak perempuan hasil Mutaahnya. Mereka juga menyeru
dan berdoa kepada Imam-imam mereka dan bertabaruk (mengambil berkat) daripada
para Imam dan Ulama mereka. Sehingga kini tidak pernah lekang orang Syiah
menghantar surat kepada kubur Khomeini untuk dipenuhi hajat mereka.
Ciri-ciri Syiah
1. Dalam sembahyang berjemah Imam sembahyang di hadapan tetapi lebih rendah
daripada makmum, iaitu dalam satu lubang separas lutut.
2. Mereka sujud di atas seketul batu yang bulat leper atau empat segi. Ertinya
dahi dan hidung tidak kena lantai. Batu itu disediakan dalam masjid atau mereka
bawa sendiri ke mana mereka pergi. Batu yang paling suci pada mereka ialah
diambil di Karbala kemudian Masyad dan di Qom. Kalau tidak dapat juga boleh
juga gunakan batu-batu di tempat lain. Kalau tidak ada batu, mereka akan
gunakan apa-apa yang tumbuh dari bumi sebagai tempat sujud (letak dahi). Paling
tidak, sujud atas tapak tangan. Tujuan mereka buat begitu kerana kata mereka
manusia jadi dari pada tanah.
3. Setelah selesai baca tahiyyat akhir mereka akan tepuk kedua-dua peha
tiga kali dengan kedua-dua tangan. Setengah mereka ada memberi salam sambil
berpaling ke kanan tapi setengahnya tidak. Mungkin pada mereka itu
sunat saja.
4. Azan pun berbeza. Selepas mengucapkan Asyhadu Anna Muhammadur Rasulullah
ditambah kalimah: Wa Anna Aliyyan Wali Yullah. Dan selepas mengucapkan Haiyya
‘Alal fallah’ ditambahkan lagi dengan “Haiyya Ala Khairil ‘Amal’.
5. Wuduk mereka tidak payah basuh kaki. Cukup disapu saja dengan air.
6. Syarat untuk sembahyang Jumaat di satu tempat ialah tidak boleh buat
dua Jumaat kecuali jarak kawasan sudah sampai dua marhalah. Kalau di bandar
Tehran maknanya semua penduduk bertumpu ke satu masjid sahaja. Jadi beratus-ratus
ribu orang sembahyang di satu masjid. Khutbahnya panjang tidak kurang dari
satu jam. Waktu sembahyang Jumaat ada seorang tukang seru berdiri di depan
imam. Bila imam rukuk dia pun seru kuat-kuat: “Rukuk “. Kalau berdiri dia
seru: “Qiyam!“. Dan seterusnya dia sendiri tidak sembahyang Jumaat sampailah
ke akhir. Selesai sahaja sembahyang Jumaat, mereka jamak dan qasarkan asar
ke zuhur.
Mereka tidak yakin dengan kesahihan ssembahyang Jumaat berimamkan Imam yang
bukan Syiah. Meskipun mereka mengerjakan solat Jumaat bersama jamaah lain
(Ahlus Sunnah wal Jamaah), tetapi mereka terus berdiri sebaik sahaja imam
mengucapkan salam. Orang lain menyangka mereka mengerjakan solat sunat, padahal
mereka menyempurnakan solat Zuhur empat rakaat. Bagi mereka sembahyang hanya
sah dengan berimamkan Imam Syiah yang maksum atau wakilnya.
7. Setiap pagi hari Jumaat tanah perkuburan penuh dengan beribu-ribu orang,
termasuk ulama. Tanah perkuburan meriah dengan doa, syarahan dan majlis makan.
Di Syria, maqam-maqam Ahlil Bait diziarahi oleh rakyat Iran sambil memukul-mukul
badan ke maqam, meratap-ratap dan menangis. Ramai kaum perempuan berbuat begitu.
Kaum lelaki menolong melagukan supaya lebih kuat dan lebih lama tangisan itu.
Bising tanah perkuburan dengan suara-suara ratapan itu. Tiap-tiap kubur di
Iran diletakkan bendera-bendera dan gambar-gambar si mati. Setengahnya pula
gambar yang dikatakan Sayidina Ali dan Imam Mahdi.
8. Pengikut Syiah jarang solat jemaah kerana mereka tidak mengakui solat
lima waktu, tapi yang mereka yakini hanya tiga waktu sahaja.
9. Suasana dalam masyarakat Syiah, baik di rumah atau di luar rumah begitu
tegang. Ia menunjukkan semangat revolusi masih tinggi. Tempikan dan sorakan
mudah meletup. Selalunya kalau ada yang menyebut Rasulullah, yang lain menyahut
dengan salawat Rasulullah satu kali. Tapi kalau disebut Khomeini maka
bergemalah salawat sebanyak tiga kali.
10. Orang Syiah percaya Muhammad bin Al Askari, Imam mereka yang ke- 12,
yang ghaib waktu kecil (belum baligh) akan datang semula untuk jadi Imam Mahdi.
Mereka menunggu-nunggu kedatangannya dengan ghairah sekali. Sebab itu di
dinding-dinding bangunan, di tembok dan di kubur-kubur ada ditampalkan gambar
“Imam Mahdi” sedang tidur. Ahli Sunnah Wal Jamaah percaya juga akan kedatangan
Imam Mahdi. Tapi namanya bukan Muhammad bin Hassan Al Askari tapi Muhammad
bin Abdullah.
11. Setiap hari 10 Rejab, di Iran khususnya di Karbala orang-orang Syiah
buat perayaan memukul diri, meratap-ratap dan menangis-nangis dengan suara
tinggi menyesali kematian Sayidina Hussin. Jelas sekali perbuatan demikian
bercanggah dengan ajaran Rasulullah saw yang melarang meratapi mayat.
12. Pada bulan Ramadhan penganut Syiah tidak terus berbuka puasa setelah
azan Maghrib. Dalam hal ini Syiah berkeyakinan seperti Yahudi iaitu berbuka
puasa jika bintang-bintang sudah kelihatan di langit. Mereka berbuka apabila
benar-benar sudah masuk waktu malam. Mereka juga tidak solat terawih bersama
kaum Muslimin, kerana menganggapnya sebagai bid’ah.
13) Penganut Syiah jarang memegang dan membaca al-Quran, itu pun sebagai
bentuk taqiyyah kerana al-Quran yang benar menurut mereka iaitu al-Quran yang
berada di tangan al-Mahdi yang ditunggu kedatangannya.
14) Orang Syiah tidak berpuasa pada hari Asyura, mereka hanya menunjukkan
kesedihan di hari tersebut.
Rukun Wilayah Syiah
Salah satu rukun Islam Syiah adalah al-Wilayah (kenegaraan). Setelah mendapat
negara maka barulah sah rukun Islam Wilayah mereka. Sebab itu mereka seringkali
memberontak dan cuba menjatuhkan pemerintah Islam yang sah, kerana mereka
ada agenda untuk menguasai negara dan menjadikannya negara Syiah.
Syiah mula dibentuk bukan berdasarkan isu pokok dalam Islam. Ia lahir daripada
rasa tidak puas hati satu puak terhadap pentadbiran pada zaman Khalifah Saidina
Uthman ra. Puak ini membina aliran politik yang pada pendapat mereka lebih
baik dari apa yang dipraktikkan oleh Saidina Uthman ra. Pada hakikatnya puak
yang menjadi asas kepada pembentukan fahaman Syiah adalah sebuah parti politik.
Aliran politik ini kemudiannya diperkuatkan dengan doktrin agama secara mentafsirkan
nas-nas agama dengan pengertian yang menyokong aliran mereka. Dalam keghairahan
memperkasakan aliran politik mereka, diwujudkan nas-nas baru bersifat politik
yang sengaja diada-adakan. Jadi, bermula dari sebuah aliran politik digubah
sehingga menjadi dogma agama yang diimani. Ia dipanggil Syiah yang bermaksud
pengikut. Mereka mendakwa mereka adalah pengikut Saidina Ali ra.
Mereka menjadi lebih agressif selepas kematian Saidina Hussain ra yang terbunuh
di Karbala. Bulan Muharram menjadi bulan mereka memperingati tragedi tersebut.
Mereka hidupkan ingatan kepada tragedi itu dengan cara meratap, menangis dan
meraung disertai dengan perbuatan menyakiti diri sendiri sehingga mengeluarkan
darah. Ratapan, tangisan, raungan dan kesakitan yang dikenakan kepada diri
sendiri itulah yang menyemarakkan dendam dan kebencian dalam jiwa mereka.
Dendam dan kebencian itu disemai dalam jiwa anak-anak mereka dan dibawa dari
satu generasi ke generasi berikutnya, sehinggalah ke hari ini, selepas lebih
seribu tahun. Kebencian dan dendam itu bukan sahaja ditujukan orang-orang
yang terlibat secara langsung dalam krisis lampau tersebut, tetapi dibabitkan
juga orang lain di zaman lain yang berpandangan politik berbeza dengan mereka.
Dalam hal ini Ahlus Sunnah wal Jamaah menjadi sasaran dendam dan kebencian
mereka.
Parti politik Syiah di asaskan oleh seorang Yahudi yang memeluk Islam, bernama
Abdullah bin Saba. Dialah yang menggerakkan kempen menjatuhkan Khalifah Saidina
Uthman ra. Dia mengolah isu-isu politik dengan pelbagai tafsiran agama, termasuklah
kononnya Ali bin Abi Talib ra ialah warisan Nabi saw dalam kepimpinan politik.
Abu Bakar ra, Umar ra, Uthman ra dan para sahabat radhiallahu ‘anhum dituduh
sebagai bersekongkol merampas hak Khilafah daripada Ali ra.
Krisis Ali ra dengan Muawiyah ra dan pembunuhan Hussain ra merupakan isu
besar bagi gerakan Syiah. Dibuatlah cerita-cerita memburuk para sahabat Nabi
saw khususnya Abu Bakar ra, ‘Umar ra, Uthman ra, Muawiyah ra, ‘Amr bin al-‘As
ra dan lain-lain dan cerita-cerita tersebut diperturunkan kepada generasi
seterusnya. Generasi yang datang kemudian menerima bulat-bulat apa yang nenek
moyang mereka katakan. Mereka tidak menyelidik sejauh manakah kebenaran fakta
tersebut, kerana cerita buruk itu adalah cerita musuh politik mereka. Kisah
buruk musuh semuanya ditelan bulat-bulat dan disebarkan seluas-luasnya dengan
perasaan dendam dan benci. Kisah demikian dipegang kuat-kuat dengan penuh
keyakinan seumpama memegang kisah yang diceritakan oleh al-Quran. Mempercayai
kisah tersebut sudah menjadi sebahagian daripada apa yang diimani.
Benarkan Khalifah Uthnan bin Affan ra mengamalkan kronisma?
Sejarah mencatatkan Saidina ‘Uthman ra telah menjawab semua isu yang dibangkitkan
tentang dirinya dengan hebat dan mantap, tetapi jawapan-jawapan itu tidak
pernah sampai kepada mereka, kerana mereka enggan membaca atau mengetahui
kebenaran musuh politik mereka. Oleh kerana gerakan memburuk-burukkan Saidina
Uthman ra bermotifkan politik, maka penjelasan beliau tidak diterima, malah
fitnah terus disebarkan. Para sahabat Nabi saw tidak terpengaruh dengan fitnah
itu, tetapi ia mempengaruhi mereka yang bukan sahabat yang hidup di zaman
tersebut. Para pemberontak pernah datang ke Madinah, berdialog dengan ‘Uthman
ra sendiri. Segala fitnah telah ‘Uthman jawab dengan kemas. Antaranya Uthman
berkata: “Ketahuilah ketika aku dilantik menjadi khalifah, aku adalah orang
‘Arab yang paling banyak mempunyai unta dan kambing. Namun sekarang tidak
ada bagiku melainkan dua ekor unta yang aku gunakan untuk menunaikan haji…
mereka mengatakan aku sayangkan kaum keluargaku dan memberikan mereka harta.
Sebenarnya, perasaan sayangku kepada kaum keluargaku menyebabkan aku berikan
kepada mereka daripada hartaku sendiri. Aku tidak pernah menghalalkan harta
benda orang Islam untuk diriku, tidak juga untuk sesiapa. Demi Allah! Aku
tidak pernah mengambil sedikit pun harta atau cukai dari mana-mana wilayah..”
(Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/348).
Khalifah Uthman ra yang warak itu menulis surat kepada rakyatnya:
“Aku mengambil pegawai-pegawaiku dengan persetujuanku pada setiap musim.
Sejak aku memerintah, aku telah jadikan umat ini dikuasai oleh al-Amr bi al-Ma’ruf
dan al-Nahy ‘an al-Munkar. Tidak dikemukakan suatu kes kepadaku atau kepada
para pegawaiku melainkan aku berikan kepada mereka hak mereka. Tiada bagiku
atau keluargaku hak yang menyentuh rakyat jelata melainkan diberikan kepada
rakyat. Penduduk Madinah telah memaklumkan kepadaku bahawa ada golongan yang
dicerca secara sembunyi, atau sesiapa sahaja yang mendakwa sesuatu, apabila
cukup tempohnya maka ambillah kembali haknya di mana sahaja dia berada, daripadaku
atau pegawaiku ataupun dia bersedekahlah (maafkanlah). Sesungguhnya Allah
memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersedekah (memaafkan)”. Apabila
surat ini dibaca di setiap negeri maka rakyat jelata pun menangis dan mereka
berkata: “Sesungguhnya telah bergerak di kalangan umat ini kejahatan” (Al-Tabari,
Tarikh al-Tabari, 4/342. Beirut: Rawai’ al-Turath al-‘Arabi).
“Ahlus Sunnah wal Jama’ah wa al-Jama’ah berlepas diri daripada sikap golongan
al-Rafidah (syiah) yang membenci dan mencerca para sahabat. Mereka juga berlepas
diri daripada sikap golongan al-Nasibah yang menyakiti Ahl al-Bayt dengan
perkataan dan perbuatan mereka. Ahlus Sunnah wal Jama’ah mengambil sikap mendiamkan
diri tentang pertelingkahan yang berlaku antara para sahabat. Mereka mengatakan
bahawa kisah-kisah yang diriwayatkan tentang keburukan para sahabat, antaranya
adalah dusta atau ia sengaja ditokok tambah atau dikurangkan atau diubah
daripada ceritanya yang asal“ (Ibn Taymiyyah, Al-’Aqidah al-Wasattiyyah,
hlm. 201).
Bagi puak Syiah pula, sejarah yang ditokok-tambah atau direka berdasarkan
keperluan politik itu, dibina pula berbagai doktrin dan dogma agama yang lain
sehingga Syiah akhirnya lahir menjadi satu mazhab yang besar yang akan mewarisi
kebencian dan dendam sejarah dari zaman ke zaman.
Menyebarkan Syiah melalui perkahwinan
Lelaki Iran merupakan orang yang handsome dan perempuannya cantik-cantik.
Mereka menjadi aset penting dalam penyebaran fahaman Syiah melalui perkahwinan
dengan puak-puak lain. Sebahagian daripada mereka pergi ke negara-negara lain
sebagai pelajar. Mereka berusaha keras mempengaruhi kaum wanita khususnya
para mahasiswi di universiti atau di perkampungan sebagai langkah awal untuk
memenuhi keinginannya melakukan muta’ah dengan para wanita tersebut apabila
nantinya mereka menerima fahaman Syiah. Mereka juga tekun mendakwah orang-orang
tua yang mempunyai anak perempuan dengan harapan anak perempuannya juga turut
menganut Syiah sehingga dengan selesa dia boleh melakukan zina mut’ah dengan
wanita tersebut baik dengan pengetahuan ayahnya ataupun tidak. Pada hakikatnya
ketika ada seorang yang ayah yang menerima fahaman Syiah, maka para pengikut
Syiah yang lain automatik telah mendapatkan anak gadisnya untuk dimut’ah.
Ikon yang ditonjol-tonjolkan ialah Khomeini dan Iran diwarwarkan sebagai
sebuah negara Islam contoh. Ramai penganut Islam di negara-negara lain terpengaruh
dengan dakyah puak Syiah itu sehingga gambar Khomeini dan lain-lain ulama
Syiah digantung di rumah-rumah, pejabat-pejabat dan lain-lain tempat.
Bolehkah Syiah didekatkan dengan Ahlus Sunnah?
Ada usaha tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin, antaranya Mustafa as-Siba’i, yang
hendak taqrib (mendekatkan) Ahlus Sunnah dengan Syiah. Beliau pergi ke Lubnan
dan tinggal di sana beberapa lama, akhirnya mengaku usaha taqrib ini tidak
boleh diteruskan kerana sumber Syiah dan Ahlus Sunnah berlainan. Syiah memiliki
kitab hadis mereka sendiri, Ahlus Sunnah ada hadis sendiri. Syiah mengkafirkan
sahabat Nabi, sedangkan Ahlus Sunnah membawa hadis dari para sahabat yang
mereka kafirkan. Al-Quran Syiah mengandungi 17 ribu ayat, al-Quran Ahlus Sunnah
didakwa tidak cukup, ada surah-surah tertinggal. Hal ini disebut dalam kitab-kitab
hadis mereka; Usulul Kaafi al-Kulaini. Al-Quran Ahlus Sunnah mengandungi
6236 ayat sedangkan Al-Quran mereka 17,000 ayat bererti al-Quran Ahlus Sunnah
baru suku daripada Al Quran mereka.
Tanggapan terhadap Ahlul Bait juga berbeza. Bagi Ahlus Sunnah kalau pada
hari ini ada di kalangan yang mengaku keturunan Nabi tetapi melakukan maksiat,
kejahatan dan kesalahan, maka kesalahannya tidak boleh dibiarkan, berdasarkan
sabbda Rasulullah saw, maksudnya: “Kalau Fathimah binti Muhammad mencuri aku
akan potong tangannya.”
Adapun Syiah menyayangi Ahlul Bait dengan menganggap mereka bebas dosa,
kerana Syiah bertujuan hendak pergi ke peringkat kedua iaitu menceritakan
tentang Imam-imam mereka dan seterusnya memaksumkan mereka.
Hadis untuk renungan
Daripada Anas bin Malik r.a, sabda Rasulullah saw: "Dajjal akan keluar dari
kota Yahudi ISFAHAN (Khurasan, IRAN) bersama 70,000 penduduk ISFAHAN". [Fath
al-Rabbani Tartib Musnad Ahmad. Ibn Hajar berkata : "Sahih"].
Nabi saw bersabda: “ Dajjal akan diikuti oleh 70,000 Yahudi dari kota Isfahan,
mereka memakai Al-Tayalisah”. Hadis riwayat Muslim.
Ibn Kathir berkata, Dajal pada mulanya akan muncul dari ISFAHAN dari sebuah
kota Yahudi. ISFAHAN adalah sebuah bandar terbesar YAHUDI di Iran dan pusat
loji nuklear Iran pada masa kini. Mengikut pandangan beberapa ulama al-Tayalisah
ialah sejenis pakaian atau jubah kebesaran ulama Yahudi. Jubah ini susah ditemui
kini kerana dipakai oleh kelompok ahli agama sahaja. Ulama terdahulu sudah
mengulas kemungkinan besar mereka ini adalah Syiah Rafidhah Imam 12.
|