Surah al-Fath 48/28-29:
Dia utuskan Rasul-Nya dengan petunjuk dan al-din yang benar, agar dimenangkan-Nya
terhadap semua al-din. Dan cukuplah Allah sebagai Penyaksi. Muhammad Rasul
Allah! Dan orang yang bersamanya keras terhadap orang kafir, berkasih sayang
sesama mereka. Engkau melihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia daripada
Allah dan keredaan; tanda mereka pada wajah mereka daripada bekas sujud. Demikianlah
perumpamaan (sifat) mereka dalam Taurat dan perumpamaan mereka dalam Injil,
seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya; ia menguatkannya, lalu ia menjadi
besar, tegak di atas batangnya, menakjubkan penanamnya kerana Dia hendak
menjengkilkan orang kafir kepada mereka. Allah menjanjikan kepada orang yang
beriman dan beramal salih antara mereka keampunan dan pahala yang besar.
Allah swt memberikan janji yang kuat iaitu Dia utuskan Rasul-Nya dengan
petunjuk dan al-din atau agama yang benar. Apa yang Allah swt kurniakan itu
mempunyai kekuatan untuk menundukkan semua agama-agama yang lain. Dalam
istilah agama yang lain itu termasuklah apa juga isma yang manusia ciptakan,
baik liberalisma atau sekularisma atau pluralisma. Ia juga lebih baik daripada
apa jua sistem politik seperti demokrasi, sosialis, komunis atau lain-lain.
Islam adalah unik baik dari segi sistem, ideologi atau isma. Keunikan Islam
adalah ia berteraskan tauhid. Tidak ada al-din atau agama, ideologi, sistem
dan isma yang lain berteraskan tauhid. Orang Islam yang mencapai fitrah Muslim
menemui tauhid. Kaum-kaum lain terhenti pada tahap fitrah manusia, maka mereka
tidak mampu menemui kebenaran yang sebenar iaitu tauhid. Oleh kerana kaum
Muslimin satu-satunya kaum yang menemui tauhid, maka kaum Muslimin menjadi
‘keseorangan’ berhadapan dengan semua kaum-kaum yang lain. Bukan setakat berhadapan
dengan kum-kaum yang bukan Islam, malah golongan tauhid itu perlu juga menghadapi
orang-orang Islam sendiri yang membelakangi tauhid iaitu puak liberalisma,
sekularisma dan pluralisma. Kekuatan golongan tauhid satu sahaja iaitu yakin
bahawa Allah swt utuskan Rasul-Nya dengan petunjuk dan al-din yang benar,
agar dimenangkan-Nya terhadap semua al-din. Golongan tauhid perlu menghadapi
kaum-kaum yang lain dengan keberanian dan bijaksana. Dalam Islam sudah ada
hujah untuk mematahkan apa juga pendapat dari fahaman liberalisma, sekularisma,
pluralisma dan juga kepercayaan syirik. Golongan yang sesat itu tidak mampu
mengeluarkan hujah yang benar. Mereka sekadar melontarkan keraguan agar umat
Islam menjadi keliru. Mereka mempersoalkan keadilan Allah swt. Jika Allah
swt adil mengapa kaum wanita tidak dibenarkan menjadi Khatib dan Imam sembahyang
Jumaat? Mengapa talak dipegang oleh kaum lelaki? Mengapa ada yang misikin
dan ada yang kaya? Mereka Allah swt jadikan orang kafir? Mengapa Allah membiarkan
orang Islam di Palestin dibunuh oleh orang Yahudi? Berbagai-bagai lagi keraguan
yang dilontarkan kepada orang Islam. Ingatlah, Allah swt tidak meninggalkan
golongan tauhid berhadapan dengan musuh-musuh mereka. Allah swt sudah membuat
aku-janji bahawa “cukuplah Allah sebagai Penyaksi”. Allah swt sebagai Penyaksi
bukan sekadar memandang, bahkan Dia membantu dan menguatkan orang yang bertauhid,
seterusnya memenangkan mereka.
Allah swt telah membuat deklarasi bahawa “Muhammad Rasul Allah!” Allah swt
memberikan jalan yang jelas kepada umat manusia. Allah swt melantik Nabi Muhammad
saw membina jalan tersebut. Apa juga perintah, larangan, berita gembira,
berita menakutkan dan segala informasi yang Allah swt hendak sampaikan Dia
sampaikan melalui RasulNya, Muhammad saw. Apa yang Rasulullah saw terima daripada
Allah swt, sebelum disebarkan kepada orang lain, baginda saw sendiri mengamalkannya
terlebih dahulu. Pengikut baginda saw hanya perlu mengikut apa yang baginda
saw buat, tidak perlu mereka-reka amalan. Sembahyanglah sebagaimana Rasulullah
saw bersembahyang. Tidak boleh mereka-cipta sembahyang sendiri. Al-Quran
menceritakan dengan indah keadaan Rasulullah saw dan orang yang beriman.
Surah al-Baqarah
2/285: Rasul telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Rabb
(Tuhan)nya, dan (demikian juga) orang beriman. Semuanya beriman kepada Allah,
Malaikat-Nya, Kitab-Nya dan Rasul-Nya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan
seseorang (dengan yang lain) daripada para Rasul-Nya.” Dan mereka mengatakan:
“Kami dengar dan kami taat, (justeru) ampunkanlah kami, Rabbana (wahai Tuhan
kami)! Dan kepada Engkau tempat kembali.”
Ikrar orang yang beriman adalah “Kami dengar dan kami taat!”
Surah an-Nisa’ 4/59: Wahai
orang yang beriman! Taatilah kamu kepada Allah dan taatilah kamu kepada Rasul
dan Ulul Amri (pentadbir) antara kamu. Sekiranya ada perselisihan mengenai
sesuatu, hendaklah kamu kembalikan kepada Allah dan Rasul, jika kamu benar-benar
beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Itulah yang paling elok dan (ianya)
kesudahan yang paling baik.
Institusi Islam dibina di atas dua prinsip:
1: Ketaatan kepada Allah swt.
2: Ketaatan kepada Rasul Allah dan Ulul Amri.
Ketaatan kepada Allah swt adalah mutlak. Tidak boleh mentaati makhluk sehingga
mencabar ketaatan kepada Alalh swt. Jika makhluk ditaati itu adalah kerana
mentaati Allah swt. Agar ketaatan kepada Allah swt tidak terpesung, ia mestilah
melalui ketaatan kepada Rasul Allah kerana Rasul Allah yang menerima perutusan
dari Allah swt. Pengikut Nabi Muhammad saw wajib mentaati baginda saw dalam
mentaati Allah swt. Ketaatan kepada Rasul Allah diperturunkan pula kepada
ketaatan kepada Ulul Amri, iaitu orang yang mengurus-tadbir hal ehwal kaum
Muslimin. Ketaatan kepada Ulul Amri bersangkut dengan ketaatan kepada Rasul
Allah. Ulul Amri wajib mentaati Rasul Allah agar mereka tidak mengkhianati
ketaatan kaum Muslimin yang di bawah urus-tadbir mereka.
Ulum Amri berada dalam semua peringkat. Ketua keluarga adalah Ulul Amri
kepada keluarganya. Ketua kampung adalah Ulul Amri kepada qariah kampungnya.
Ketua syarikat adalah Ulul Amri kepada pekerja syarikatnya. Pemimpin negara
adalah Ulul Amri kepada rakyat negaranya. Setiap Ulul Amri kaum Muslimin
berkewajipan membawa ahli-ahlinya mencontohi baginda Rasulullah saw dan para
sahabat baginda.
Surah al-Fath 48/29: Muhammad
Rasul Allah! Dan orang yang bersamanya keras terhadap orang kafir, berkasih
sayang sesama mereka.
Dalam menghadapi kaum kafir perlu ada ketegasan. Lawan kafir adalah iman.
Ia bermakna dalam mempertahankan apa yang diimani mestilah ada ketegasan,
tidak boleh bertoleransi. Surah al-Baqarah 2/285 menceritakan tentang iman:
“Rasul telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Rabb (Tuhan)nya,
dan (demikian juga) orang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, Malaikat-Nya,
Kitab-Nya dan Rasul-Nya.” Induk kepada iman adalah:
Tuhan
melainkan Allah
Kesucian akidah tauhid wajib
dijaga. Kesucian Zat Allah, Sifat Allah dan Nama Allah dalam iktikad hendaklah
dipelihara tanpa toleransi.
Surah al-Maaidah 5/72-73:
Sesungguhnya kafirlah orang yang mengatakan: “Allah itu Almasih ‘ibn Maryam,”
sedangkan Almasih telah berkata: “Wahai Bani Israil! Abdikan dirimu dan beribadatlah
kepada Allah, Rabb (Tuhan) aku dan Rabb (Tuhan) kamu.” Sesungguhnya sesiapa
mensyirikkan Allah, maka sungguh Allah mengharamkan baginya Taman (Syurga)
dan tempatnya ialah Api (Neraka). Dan tidak ada untuk orang yang zalim itu
seorang penolong. Sesungguhnya telah kafirlah orang yang mengatakan: “Allah
itu salah satu daripada tiga,” padahal tidak ada Ilah (Tuhan) melainkan Ilah
(Tuhan), Wahid (Maha Esa). Jika mereka tidak hentikan perkataan mereka itu,
nescaya orang yang kafir di kalangan mereka itu akan ditimpa azab yang pedih.
Sesiapa mensyirikkan Allah haram baginya Syurga: mensyirikkan Zat Allah
swt dengan mengatakan ada Ilah lain selain Allah swt; mensyirikkan Sifat
Allah swt dengan mengatakan ada yang lain selain Allah swt mempunyai kuasa
sebagaimana kuasa Alalh swt; mensyirikkan Nama Allah swt dengan mengatakan
ada entiti lain bernama Allah selain Allah swt yang diimani oleh Nabi Muhammad
saw. Orang Islam yang merelakan perlakuan syirik tersebut boleh menyebabkan
menjadi syirik!
Sesiapa mengatakan Allah swt itu salah satu dari tiga adalah kafir: mengatakan
Allah swt adalah salah satu daripada tiga Tuhan, iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Anak
dan Roh Suci adalah kafir. Orang Islam yang merelakan perlakuan menjadikan
Allah swt sebagai salah satu Tuhan yang tiga boleh menyebabkan menjadi kafir!
Allah swt memberikan penjelasan:
Surah al-Maaidah 5/75: Almasih
‘ibn Maryam itu tidak lain melainkan seorang Rasul yang telahpun didahului
oleh beberapa orang Rasul, dan ibunya adalah seorang perempuan yang sangat
benar; kedua-duanya (Almasih dan ibunya) memakan makanan (sama seperti manusia
lain). Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan kepada mereka dan perhatikanlah
ke mana mereka berpaling.
Allah swt tidak bertoleransi terhadap perkataan dan perbuatan mensyirikkan
ZatNya atau SifatNya atau NamaNya. Allah swt tidak bertoleransi terhadap perkataan
dan perbuatan menjadikanNya satu daripada tiga Tuhan. Jika Allah swt tidak
bertoleransi, Rasul Allah juga tidak bertoleransi, Ulul Amri kaum Muslimin
juga tidak bertoleransi dan orang yang beriman juga tidak bertoleransi. Allah
swt meemrintahkan supaya mengatakan:
Surah al-Maaidah 5/77: Katakan:
“Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau-lampau pada al-din (agama) kamu
yang bukan kebenaran. Dan janganlah kamu menuruti hawa nafsu orang yang telah
sesat dahulunya dan mereka (pula) menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka
telah tersesat jauh daripada jalan yang lurus.
Ulul Amri kaum Muslimin dan orang yang beriman hendaklah mengatakan kepada
Ahli Kitab: “Janganlah kamu melampau-lampau pada agama kamu yang bukan kebenaran.”
“Cukuplah kamu melontarkan keraguan dan kekeliruan kepada umat Islam.” Ahli
Kitab hari ini telah disesatkan oleh orang terdahulu yang menurut hawa nafsu.
Kaum Muslimin janganlah terikut-ikut disesatkan oleh mereka. Allah swt menceritakan
motif mereka:
Surah at-Taubah
9/32: Mereka mahu memadamkan cahaya Allah dengan mulut mereka sedangkan Allah
tidak berkehendak melainkan menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang kafir
tidak menyenanginya.
Allah swt telah memberikan cahaya yang terang benderang kepada kaum Muslimin.
Musuh-musuh Islam cuba memadamkan cahaya tersebut dengan keraguan dan kekeliruan
mengenai Allah swt, Nabi Muhammad saw, Kitab Suci al-Quran dan malaikat. Orang
yang beriman wajib mempertahankan iman mereka walaupun tidak disukai oleh
orang kafir. Orang beriman juga wajib mempertahankan ibadat mereka seperti
sembahyang, puasa, zakat dan haji. Tidak ada toleransi dalam soal akidah dan
upacara keagamaan.
Dalam perkara-perkara yang tidak boleh ditoleransikan itu pegangan kaum
Muslimin ialah:
Surah al-Baqarah 2/256:
Tidak ada paksaan pada al-din (beragama). Sesungguhnya telah nyata kebenaran
dan kesesatan. Sesiapa menolak Taghut (tuhan selain Allah) dan beriman kepada
Allah, sesungguhnya dia telah berpegang dengan tali yang teguh, yang tidak
akan putus selamanya. Dan Allah adalah Sami’ (Maha Mendengar), lagi ‘Alim
(Maha Mengetahui).
Tidak ada paksaan bagi seseorang untuk memilih agama. Sesiapa inginkan agama
yang benar boleh pilih yang benar. Sesiapa inginkan agama yang sesat boleh
pilih yang sesat.
Surah al-Kafirun 109/1-6:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Yang Maha Mengasihani.
Katakanlah: “Wahai orang kafir.” Aku tidak menyembah kepada apa yang kamu
sembah. Dan bukanlah kamu menyembah kepada apa yang aku sembah. Dan aku bukanlah
menyembah sebagaimana kamu menyembah. Dan kamu bukanlah penyembah sebagaimana
aku menyembah. Bagi kamu al-din (agama) kamu dan bagiku al-din (agama)ku.
Dalam soal memilih agama tidak ada paksaan. Bila masing-masing sudah buat
keputusan agama apa yang dipilih, tidak ada toleransi lagi dalam soal akidah
dan ibadat. “Bagi kamu agama kamu, bagi kami agama kami. Upacara agama kamu
untuk kamu, upacara agama kami untuk kami.” Orang Islam tidak boleh menyertai
upacara keagamaan penganut agama lain. Penganut sesuatu agama membuat upacara
kerana Tuhan yang mereka sembah. Menyertai upacara tersebut bermakna reda
dengan Tuhan yang selain Allah seperti dianuti oleh mereka. Mengaminkan doa
orang kafir juga tidak boleh. Mengaminkannya bermakna bersetuju permohonan
dibuat kepada Tuhan yang selain Allah seperti dipertuhankan oleh orang kafir
itu.
Ketika mula-mula membina kerajaan Madinah, Rasulullah saw memperkenalkan
Piagam Madinah. Ia digubal pada tahun 622M bersamaan tahun pertama Hijrah
dan merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia. Ia mengandungi 47 fasal.
23 fasal menyentuh hubungan sesama umat Islam, iaitu Ansar dan Muhajirin.
24 fasal menyentuh hubungan umat Islam dengan yang bukan Islam, terutamanya
Yahudi. Piagam atau Perlembagaan Madinah digubal berasaskan Syariat Islam.
Ia menajdi contoh terbaik dalam membina negara yang penduduknya berbilang
kaum. Perkara utama yang terkandung dalam Perlembagaan Madinah ialah:
1. Nabi Muhammad saw adalah Ketua Negara bagi kesemua penduduk Madinah.
Baginda saw juga adalah Hakim.
2. Semua penduduk Madinah hendaklah menerima identiti mereka dan bersatu
sebagai bangsa atau kaum Madinah. Tidak boleh bermusuhan sesama mereka.
3. Semua penduduk Madinah bebas mengamalkan upacara keagamaan masing-masing.
4. Semua penduduk Madinah hendaklah bekerjasama dalam bidang ekonomi
dan pertahanan.
5. Orang Yahudi dijamin keselamatan mereka selagi mereka akur dengan
Perlembagaan Madinah itu.
Orang Islam diperingatkan:
Surah al-An’am 6/108: Dan
janganlah kamu memaki-maki apa yang mereka pertuhankan selain Allah, kerana
(natijahnya) mereka akan memaki-maki Allah dengan keterlaluan tanpa pengetahuan.
Demikianlah Kami hiaskan bagi tiap-tiap umat amalan mereka. Kemudian mereka
akan dikembalikan kepada Rabb (Tuhan) mereka, lalu Dia menerangkan kepada
mereka tentang amalan mereka dahulu.
Apabila seseorang sudah membuat pilihan mengenai agama yang mahu dianutinya,
pilihannya itu mesti dihormati. Tetapi menghormati agama lain bukan bermakna
mengassimilasikan atau meleburkan kepercayaan Islam ke dalam kepercayaan agama
lain. Semua agama dituntut bertoleransi dalam hal-hal interaksi sosial atau
mu’amalat bagi menjaga hak individu, keselamatan dan kebajikannya agak terpelihara.
Toleransi demikian menjadi ruang bagi setiap individu menguruskan kehidupannya
tanpa berasa terancam. Pada masa yang sama mereka bebas mengamalkan kepercayaan
agama mereka.
Dalam konteks toleransi beragama Islam menegaskan “Tiada paksaan dalam beragama.
Bagi kamu agama kamu, bagi kami agama kami!” Dalam perkara yang tidak melibatkan
upacara keagamaan Islam menggalakkan toleransi. Toleransi berjiran tanpa mengira
agama. Toleransi bekerjasama membangun negara. Toleransi dalam bidang ekonomi.
Di antara dasar toleransi yang penting dalam masyarakat majmuk ialah:
1. Ada titik pertemuan pada persamaan yang dikongsi bersama. Dalam
hal ini ia adalah Piagam atau Perlembagaan.
2. Ulul Amri melaksanakan kehendak Piagam atau Perlembagaan secara
adil dan saksama.
3. Mentaati Ulul Amri.
4. Aset paling penting bagi setiap individu adalah tanah airnya.
5. Bersatu dalam mengadakan aset pertahanan negara.
6. Tidak mengkhianati negara dengan menyebelahi musuh baik dari luar
atau dari dalam.
7. Tidak melindungi, apalagi membantu musuh yang mahu menjahanamkan
negara.
8. Pembahagian harta negara secara adil.
9. Hak asasi individu hendaklah tunduk kepada hak asasi orang ramai.
10. Memelihara nyawa lebih utama dari memelihara harta.
11. Dan lain-lain.
Toleransi dalam bidang hubungan sosial adalah sikap saling menghormati dan
saling bekerjasama di antara puak masyarakat yang berbeza baik secara etnik,
bahasa, budaya, politik, maupun agama. Menurut ajaran Islam toleransi bukan
sahaja sesama manusia, malah mencakupi alam semesta, binatang, makhluk seluruhnya.
Umat Islam diperingatkan:
Surah al-Mumtahanah 60/8-9:
Allah tiada melarang kamu terhadap orang yang tidak memerangi kamu kerana
al-din (agama) dan tidak mengusir kamu dari kampung halaman kamu, bahawa kamu
berbuat baik dengan mereka dan berlaku adil dengan mereka. Sesungguhnya Allah
menyukai orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu
terhadap orang yang memerangi kamu kerana al-din (agama) dan mengusir kamu
dari kampung halaman kamu dan mereka membantu untuk mengusir kamu, bahawa
kamu menjadikan mereka kawan. Dan sesiapa menjadikan mereka kawan, maka
mereka itulah orang yang zalim.
|