Definasi Akidah
Dari segi bahasa akidah bermaksud simpulan iman / keyakinan
yang menjadi pegangan yang kuat. Dari segi istilah ia bermaksud
kepercayaan yang pasti dan keputusan yang muktamad (mutlak), tidak bercampur
dengan syak atau keraguan samada ianya benar atau salah.
Akidah Islam ialah kepercayaan dan keyakinan terhadap Allah sebagai
Rabb dan Ilah serta beriman dengan nama-namaNya dan segala sifat-sifatNya
juga beriman dengan adanya malaikat, kitab-kitab, para Rasul, Hari Akhirat
dan beriman dengan takdir Allah samada baik atau buruk termasuk juga segala
apa yang datang dari Allah, seterusnya patuh dan taat pada segala ajaran
dan petunjuknya. Oleh itu, akidah Islam ialah keimanan dan keyakinan terhadap
Allah dan RasulNya serta apa yang dibawa oleh Rasul dan dilaksanakan
dalam kehidupan
Asas Akidah:
Asas akidah ialah keyakinan terhadap keesaan Allah dan Dia sahaja
yang berhak disembah. Percaya Dia sahaja yang berkuasa mengadakan sesuatu
dan meniadakannya.
Ilmu Tentang Akidah
Ilmu Tauhid: Ilmu yang menerangkan tentang sifat Allah swt yang
wajib diketahui dan dipercayai
Ilmu Usuluddin: Ilmu yang menerangkan kepercayaan Islam, iaitu
kepercayaan kepada Allah swt dan pesuruhNya
Ilmu Makrifat: Ilmu yang membahaskan perkara-perkara yang berhubung
dengan cara-cara mengenal Allah swt
Ilmu Kalam: Ilmu yang membahas tentang akidah dengan dalil-dalil
aqliah (ilmiah) sebagai hujah terhadap pendapat yang berlawanan.
Ilmu Akidah: Ilmu yang membahas tentang perkara-perkara yang berhubung
dengan keimanan kepada Allah swt
Tauhid
1: Tauhid Rububiyah bermaksud hanya Allah sahaja sebagai
Rabb (pencipta, pemilik, pemerintah, pengurus, penjaga, pemberi bakat
dan keupayaan kepada makhluk-Nya, menyusun undang-undang dan peraturan,
menyatakan hukum halal-haram dan sah-batal, memberi rezeki dan seumpamanya.
Tidak boleh dijadikan, dianggap atau dirasakan yang lain sebagai rabb
atau bersama-sama Allah menjadi Rabb.
2: Tauhid Uluhiyyah bermaksud orang yang beriman dengan keimanan
yang sebenar hanya mengambil Allah sebagai Ilah, tidak meletakkan Allah
bersama-sama yang lain sebagai Ilah. Maksud Ilah ialah yang dipuja, disembah,
dicintai, dipatuhi, ditujukan permohonan.
3: Maksud beriman kepada Allah juga ialah tuntutan mempelajari
dan memahami segala yang datang daripada Allah melalui RasulNya sama ada
dalam al-Quran atau al-Sunnah. Maksud beriman kepada Allah bukan sekadar
percaya tentang kewujudan Allah tetapi termasuk juga segala apa yang datang
daripada Allah swt
Peringkat-Peringkat Iman
1: Iman Taqlid – Iman ikut-ikutan, hanya semata-mata mengikut
pendapat orang lain
2: Iman Ilmu – Beriman semata-mata kerana berilmu dan berdasarkan
pada fikiran tidak terletak di hati
3: Iman A’yan – Iman yang terletak di dalam hati. Iman ini
dimiliki oleh orang-orang soleh
4: Iman Hak – Iman sebenar yang terlepas dari nafsu syaitan.
Iman ini dimiliki oleh golongan muqarabbin, iaitu orang yang hampir dengan
Allah
5: Iman Hakikat – Iman peringkat tertinggi yang boleh dicapai
oleh manusia. Iman ini hidup semata-mata untuk Allah dan Rasul serta hari
Akhirat seperti para sahabat nabi.
Kedudukan Akidah yang Benar
Akidah yang benar merupakan landasan tegaknya agama dan kunci diterimanya
amalan. Allah Ta’ala berfirman:
Al-Kahf 18-110:
Katakan: "Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang
diwahyukan kepadaku sesungguhnya Ilah (Tuhan) kamu itu adalah Ilah (Tuhan)
Ahad (Maha Esa)." Sesiapa mengharapkan perjumpaan dengan Rabb (Tuhan)nya
hendaklah dia mengerjakan amal yang salih, dan janganlah ia mempersekutukan
seorangpun dalam beribadat kepada Rabb (Tuhan)nya".
Zumar 39-65:
Bahkan telah diwahyukan kepada engkau dan kepada orang
yang sebelum engkau: "Jika kamu mempersekutukan, nescaya akan hapuslah
amalmu, dan tentulah kamu termasuk orang yang rugi.
Ayat-ayat yang mulia ini menunjukkan bahwa amalan tidak akan diterima
apabila dicampur dengan kesyirikan. Oleh sebab itulah para Rasul sangat
memperhatikan urusan memelihara akidah sebagai induk dakwah mereka. Inilah
dakwah pertama yang diserukan oleh para Rasul kepada kaum mereka; menyembah
kepada Allah semata-mata dan meninggalkan penyembahan kepada selain-Nya.
Allah ber firman:
An-Nahl 16-36:
Dan sesungguhnya Kami telah utuskan dalam kalangan tiap-tiap umat seorang
Rasul (yang menyeru mereka): "Hendaklah kamu mengabdikan dirimu dan
beribadat kepada Allah dan jauhilah Taghut.” Maka antara mereka ada
yang diberi petunjuk oleh Allah, dan ada pula yang tetap dalam kesesatan.
Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana
kesudahan orang yang mendustakan.
Bahkan setiap Rasul mengajak kepada kaumnya dengan seruan yang
serupa. Nabi Nuh as menyeru:
Al-A’raf
7-59: Sesungguhnya Kami telah utuskan Nuh kepada kaumnya, lalu dia (Nuh)
berkata: “Wahai kaumku! Abdikan dirimu dan beribadat kepada Allah; tidak
ada Ilah (Tuhan) bagi kamu selain Dia. Sesungguhnya aku bimbang
kamu akan ditimpa azab Hari yang besar.”
Nabi Hud as menyeru:
Al-A’raf 7-65:
Dan kepada (kaum) ‘Ad (Kami utuskan) saudara mereka Hud. Dia (Hud) berkata:
“Wahai kaumku! Abdikan dirimu dan beribadatlah kepada Allah; tidak ada
Ilah (Tuhan) bagi kamu selain Dia. Mengapakah kamu tidak mahu bertakwa?”
Nabi Salih as menyeru:
Al-A’raf 7-73:
Dan kepada (kaum) Samud (Allah utuskan) saudara mereka Salih. Dia (Salih)
berkata: “Wahai kaumku! Abdikan dirimu dan beribadatlah kepada Allah
semata-mata; tidak ada Ilah (Tuhan) bagi kamu selain Dia. Sesungguhnya
telah datang keterangan daripada Rabb (Tuhan) kamu. Ini adalah unta Allah
sebagai satu ayat (tanda), maka biarkanlah ia memakan di bumi Allah, jangan
kamu mengganggunya dengan apa juga kejahatan kerana (jika demikian) kamu
akan ditimpa azab yang pedih.”
Nabi Syuaib as menyeru:
Al-A’raf 7-85:
Dan kepada (penduduk) Madyan (Allah utuskan) saudara mereka Syuaib.
Dia (Syuaib) berkata: “Wahai kaumku! Abdikan dirimu dan beribadatlah
kepada Allah yang sekali-kali tidak ada Ilah (Tuhan) bagi kamu selain
Dia. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan daripada Rabb (Tuhan)
kamu. Maka sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu
mengurangi hak manusia, dan janganlah kamu melakukan kerosakan di bumi
sesudah diperbaikinya. Demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu benar-benar
beriman.”
Begitulah yang diucapkan oleh sekalian nabi-nabi.
Pentingnya soal akidah dititiberatkan
Tauhid adalah satu-satunya jalan keselamatan di akhirat, tidak ada
jalan lain. sementara syirik pula adalah jalan kepada kebinasaan. Ayat
65 surah az-Zumar telah menyatakan dengan tegas bahawa : "Jika kamu mempersekutukan, nescaya
akan hapuslah amalmu, dan tentulah kamu termasuk orang yang rugi." Ayat
48 surah an-Nisa' lebih tegas lagi mengistiharkan tidak ada pengampunan
bagi orang yang berbuat syirik.
An-Nisa’ 4-48:
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan orang yang mensyirikkan-Nya,
dan Dia bersedia mengampunkan selain yang demikian terhadap sesiapa yang
Dia kehendaki. Dan sesiapa mensyirikkan Allah, sungguh dia melakukan dosa
yang besar.
Al-An’am 6-82:
Orang beriman yang tidak mencampurkan iman mereka dengan kezaliman (syirik),
bagi mereka adalah keamanan dan mereka itulah yang mendapat petunjuk.
Al-Maidah 5-72:
Sesungguhnya kafirlah orang yang mengatakan: “Allah itu Almasih ‘ibn
Maryam,” sedangkan Almasih telah berkata: “Wahai Bani Israil! Abdikan
dirimu dan beribadat kepada Allah, Rabb (Tuhan) aku dan Rabb (Tuhan) kamu.”
Sesungguhnya sesiapa mensyirikkan Allah, maka sungguh Allah mengharamkan
baginya Taman (Syurga) dan tempatnya ialah Api (Neraka). Dan tidak ada
untuk orang yang zalim itu seorang penolong.
Al-Hajj 22-31:
Dengan ikhlas kepada Allah, tidak mempersekutukan sesuatu
dengan Dia. Sesiapa mempersekutukan sesuatu dengan Allah, dia seolah-olah
jatuh dari langit, lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan angin
ke tempat yang jauh.
Dari
Anas Radhiallahuanhu dia berkata: Saya mendengar Rasulullah saw bersabda:
Allah ta’ala berfirman: Wahai anak Adam, sesungguhnya Engkau berdoa kepada-Ku
dan memohon kepada-Ku, maka akan aku ampuni engkau, Aku tidak peduli (berapapun
banyaknya dan besarnya dosamu). Wahai anak Adam seandainya dosa-dosamu
sampai ke awan di langit kemudian engkau minta ampun kepada-Ku nescaya
akan Aku ampuni engkau. Wahai anak Adam sesungguhnya jika engkau datang
kepadaku dengan kesalahan sepenuh bumi kemudian engkau menemuiku dengan
tidak menyekutukan Aku sedikitpun maka akan Aku temui engkau dengan sepenuh
itu pula ampunan “
(Riwayat Turmuzi dan dia berkata : Hadithnya hasan shahih).
Di dalam sohih Muslim tercatat : Firman Allah Ta'ala (
maksud ) : Sesiapa yang mendekatiKu sejengkal maka Aku akan mendekatinya
sehasta. Dan sesiapa yang menghampiriKu sehasta maka aku akan menghampirinya
sepemeluk dan sesiapa yang datang kepadaKu dalam keadaan berjalan maka
Aku akan kepada dalam keadaan bersegera. Dan sesiapa menemuiKu (selepas
mati) dengan dosanya sebesar bumi tetapi tidak syirik padaKu dengan sesuatu
nescaya Aku akan menemuinya dalam keadaan mengampuni dosa sebesar bumi
itu.
Perkara
yang merosakkan akidah:
1: Hati: percaya dan yakin bahawa-
Alam ini
tiada pencipataanya.
Kerasulan
Nabi Muhammad saw adalah palsu.
Semua agama
di dunia adalah sama.
Konsep dosa,
pahala, syurga dan neraka adalah palsu belaka.
Percaya ada
kuasa lain selain Allah boleh memberikan kesan dan pertolongan.
2: Lidah:
Mengingkari
dan mempersendakan hukum Allah., misalnya mengatakan zina, arak dan judi
sebagai halal.
Menghina
perkara berkaitan rukun Iman dan Islam.
Mengatakan
syaraiat Islam tidak sesuai dengan peredafran zaman.
Mempersendakan
ayat-ayat suci al-Quran dan Hadis Rasulullah saw.
3: Perbuatan:
Melakukan upacara
ibadat sama seperti yang dilakukan oleh orang yangbukan Islam.
Meletakkan
ayat suci al-Quran di tempat najis dengan tujuan menghina agama.
Guna ayat suci
al-Quran dengan tujuan menyeleweng ajaran Islam.
Menafikan
kewajipan solat atau mengubahsuai solat.
Contoh syirik yang diceritakan oleh al-Quran
Taubah 9-31:
Mereka menjadikan guru-guru mereka dan rahib mereka sebagai arbab (tuhan-tuhan)
selain Allah, dan Almasih ‘ibn Maryam (juga mereka jadikan sekutu Allah),
padahal mereka tidak diperintahkan melainkan hanya menyembah Ilah (Tuhan),
Wahid (Maha Esa), tidak ada Ilah (Tuhan) melainkan Dia, Subhanahu (Maha
suci Dia), daripada apa yang mereka persekutukan.
Ketika Rasulullah saw membaca ayat di atas, 'Adi bin Hatim, seorang
Masehi ada di dalam majlis baginda saw. 'Adi berkata: "Tidaklah mereka
(orang Masehi) menyembah mereka (guru-guru dan rahib-rahib)." Rasulullah
saw menjawab: "Bahkan! Kerana sesungguhnya pendeta (rahib) mengharamkan
yang halal dan menghalalkan yang haram, lalu mereka turuti sahaja. Itulah
yang dipanggil mereka beribadat (memuja) kepada pendeta (rahib) itu."
Al-Furqan 25-43:
Tidakkah engkau perhatikan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai
ilah (tuhan)? Apakah kamu dapat menjadi wakil (pemelihara) atasnya?
Berhala paling besar dalam diri seseorang ialah hawa nafsunya. Orang
yang terkurung dalam kepompong hawa nafsu tidak dapat menerima nilai-nilai
murni kemanusiaan dan tidak dapat menerima kebenaran. Nabi-nabi datang
membawa mukjizat yang jelas, tetapi ditolak oleh mereka yang dikuasai oleh
hawa nafsu, sekalipun pandangan akalnya mengakui kebenaran yang dibawa oleh
para Nabi tersebut.
Yaa Sin 36-60:
“Bukankah Aku telah ingatkan kamu, Bani Adam, supaya
tidak mempertuhankan syaitan? Sesungguhnya syaitan itu bagi kamu musuh
yang nyata.”
Pertuhanan hawa nafsu disokong oleh pertuhanan kepada syaitan. Nafsu
dan syaitan menjadi gabungan yang mantap. Nafsu cenderung kepada hiburan
dan perkara yang melalaikan. Syaitan cenderung menderhakai perintah dan
hukum Allah.
Al-An’am 6-100:
Dan mereka menjadikan jin sebagai sekutu Allah, padahal Dia yang menciptakan
mereka (jin-jin). Dan mereka mengadakan bagi Allah anak-anak lelaki dan
perempuan, (mereka berbuat demikian) tanpa pengetahuan. Subhanahu (Maha
Suci Dia), dan Ta’ala (Maha Tinggi) daripada apa yang mereka sifatkan.
Saba’ 34-41:
Mereka (malaikat) menjawab: "Subhanaka (Maha Suci Engkau)! Engkau adalah
Wali (Pelindung) kami, bukan mereka. Bahkan mereka mempertuhankan jin,
kebanyakan mereka (manusia) beriman kepada mereka (jin) itu."
Kegelapan
nafsu yang dimanipulasi oleh syaitan melahirkan pertuhanan kepada jin.
Pemujaan terhadap batu, kayu, bintang, kuburan dan lain-lain anasir alam
sebenarnya pertuhanan terhadap jin. Bila anasir alam dipuja, maka datanglah
jin mengajak kepada cara peribadatan syirik. Berbagai-bagai amalan syirik
dikerjakan dengan anggapan itulah yang benar.
Sebab-Sebab
Penyimpangan dari Akidah yang Benar
Banyak sebab-sebab berlakunya penyimpangan dari akidah
yang benar. Di antara penyebab itu adalah:
1.Jahil terhadap prinsip-prinsip akidah yang benar. Orang jahil
tidak mau belajar, orang alim tidak mau mengajar. Orang ramai tidak memahami
akidah yang benar dan tidak mengerti akidah yang sesat, sehingga yang benar
dianggap batil dan yang batil dianggap benar. Umar bin Khaththab radhiyallahu
‘anhu pernah berkata, “Jalinan agama Islam akan terurai satu persatu,
apabila di kalangan umat Islam tumbuh generasi yang tidak mengerti
hakikat jahiliyah.”
2 Ta’asub (fanatik) kepada nenek moyang dan mempertahankan
apa yang diterima daripada mereka meskipun ianya kebatilan, dan meninggalkan
ajaran yang bertentangan dengan ajaran nenek moyang walaupun hal ianya
kebenaran. Al-Quran menceritakan, “Dan apabila dikatakan kepada mereka:
‘Ikutilah wahyu yang diturunkan Tuhan kepada kalian!’ Mereka justru mengatakan,
‘Tidak, tetapi kami tetap akan mengikuti apa yang kami dapatkan dari nenek-nenek
moyang kami’ (Allah katakan) Apakah mereka akan tetap mengikutinya meskipun
nenek moyang mereka itu tidak memiliki pemahaman sedikit pun dan juga tidak
mendapatkan hidayah?” (QS. Al Baqarah: 170)
3.Taklid buta (mengikuti tanpa landasan dalil), iaitu mengambil
pendapat orang lain dalam soal akidah tanpa mengetahui landasan dalil
dan kebenarannya. Mereka mengikuti saja perkataan tokoh-tokoh tertentu
padahal mereka itu sesat. Orang yang diikut sesat dan yang mengikut juga
sesat.
4.Berlebih-lebihan dalam menghormati tokoh tertentu yang dianggap
sebagai orang saleh atau wali. Mereka mengangkatnya melebihi kedudukan
sebagai manusia. Mereka berkeyakinan bahwa wali yang sudah mati boleh
memberi manfaat, meluaskan rezeki dan mampu menolak bala dan musibah. Kubur
wali dikunjungi untuk meminta-minta berbagai hajat kepada orang yang sudah
mati itu. Mereka menjadikan wali yang telah mati itu sebagai perantara.
Padahal perbuatan semacam ini jelas-jelas dilarang oleh Rasulullah shallallahu
‘alaihi wa sallam. Beliau bersabda, “Allah melaknat kaum Yahudi dan
Nasrani karena mereka menjadikan kubur-kubur Nabi mereka sebagai tempat
ibadah.” (HR. Bukhari). Kalau kubur nabi-nabi saja tidak boleh lalu
bagaimana lagi dengan kubur orang selain Nabi ?
5.Jahil terhadap kekuasaan dan keluasan ilmu Allah. Mereka melihat
kepada kekuatan diri mereka dalam mendapatkan apa yang mereka ingini,
seperti Qarun yang menyombongkan dirinya di hadapan manusia, “Sesungguhnya
aku mendapatkan hartaku ini hanya karena pengetahuan yang kumiliki.” (QS.
Al Qashash: 78). Padahal apa yang bisa dicapai oleh manusia itu tidaklah
seberapa apabila dibandingkan kebesaran alam semesta yang diciptakan Allah
Ta’ala. Allah berfirman yang artinya, “Allah lah yang menciptakan kamu
dan perbuatanmu.” (QS. Ash Shaffaat: 96)
6.Institusi keluarga tidak dibina di atas asas agama yang benar,
padahal Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah bersabda, “Setiap
bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua orang tuanyalah yang akan
menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (HR. Bukhari). Anak-anak
lebih terpengaruh dengan didikan media massa, terutamanya tv. Idola atau
ikon mereka adalah orang-orang yang rosak akhaknya. Akhlak yang rosak
itulah menjadi model untuk mereka ikuti.
Sambutan upacara bukan Islam:
Redha kepada agama lain atau menganggap semua agama adalah
sama, boleh menyebabkan kufur. Kata Hukama; Redha dengan kekufuran adalah
kufur, redha dengan maksiat adalah juga maksiat. Tidak harus orang Islam
menghadiri upacara agama lain.
Furqan 25-72: Dan orang yang tidak memberikan persaksian
palsu, dan apabila mereka melalui perkara yang sia-sia, mereka lalui (sahaja)
dengan (sikap yang) mulia. Ibnu Kathir menjelaskan maksud ayat ini
adalah merujuk kepada perbuatan syirik seperti penyembahan berhala dan
perayaan orang kafir.
Cara menyuburkan iman dan akidah:
Ilmu
Amal soleh.
Zikrullah.
Fikir
Fikir sesuatu kejadian dengan kekuasaan Allah,
akan mengingatkan dirinya kepada Allah.
Bencana alam satu bentuk peringatan.
Berfikir tentang kuasa Allah akan menjadikan
manusia lebih beriman.
Kesan kemantapan akidah:
1. Merasai kemanisan iman.
2: Hati sentiasa terdorong untuk beramal ibadah.
3. Takut kepada azab.
4: Mampu mengawal daripada kemaksiatan.
5: Berjaya membina kehidupan yang bahagia di dunia dan di
akhirat.
6. Sentiasa dalam keredhaan Allah.
7: Tekun dalam usaha dan agama.
8. Bertanggungjawab kepada manusia dan alam.
9. Menyumbang kepada kesejahteraan negara.
Kemanisan iman:
Rasulullah saw bersabda: Barangsiapa terdapat padanya tiga perkara
maka dia akan merasai kemanisan iman.
1. Mencintai Allah dan Rasul melebihi cinta kepada yang lain.
2. Mencintai manusia lantaran (berdasarkan) cinta kepada
Allah semata-mata.
3. Benci untuk kembali kepada kekufuran (engkar) laksana
orang yang benci kalau dilemparkan ke dalam api.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ciri-ciri orang beriman:
Firman Allah swt: Sesungguhnya orang beriman itu hati
mereka gementar apabila disebut nama Allah dan apabila dibacakan ayat-ayat
Allah semakin bertambah aman mereka. Mereka mengerjakan solat, dan menfkahkan
rezeki yang dikurniakan kepada mereka. Itulah sifat orang beriman. Mereka
mendapat kehormatan, keampunan dan rezeki yang berharga di sisi Allah. (Surah
al-Anfal: 2-4)
Akidah yang bersih dari segala bentuk syirik adalah asas
agama Islam. Seorang muslim sewajarnya sedar tentang kepentingan akidah
dan terus memperkasakannya dan memagarinya dengan ilmu, amal dan taqwa
agar ia tidak mudah dipengaruhi oleh apa jua perlakuan syirik.
Pelihara diri dari syirik
Jangan syirik dalam iktikad, seperti meyakini ada yang memiliki
sifat ketuhanan selain Allah swt. Jangan syirik dalam ketaatan, misalnya
mentaati manusia seumpama mentaati Allah swt. Sabda Rasulullah s.a.w:
"Tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Pencipta"
(Riwayat Bukhari). Jangan syirik dalam berkasih sayang, seperti
mengasihi sesama manusia atau harta benda melebihi kasih sayang terhadap
Allah swt. Jangan bertawakal atau berserah diri kepada sesama makhluk melebihi
berserah dari kepada Allah swt.. Jangan melakukan ibadat kepada selain
Allah swt..
Rasulullah saw memperjelaskan lagi tentang syirik:
Dari Ibn Umar, r.a., katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa bersumpah dengan sebarang sebutan
yang lain daripada nama atau sifat Allah maka sesungguhnya ia telah melakukan
syirik terhadap Allah. " (Tirmizi)
Dari Ibn Mas'ud
r.a katanya: Rasulullah s.a.w., bersabda: "Sesungguhnya tawar jampi,
tangkal azimat, ilmu guna-guna (ilmu pengasih untuk menambatkan hati suami
kepada isterinya atau hati isteri kepada suaminya) adalah syirik". (
Abu Daud dan Imam Ahmad)
Hadis di atas menunjukkan bahawa tiga perkara yang tersebut adalah
dari perkara-perkara syirik kecil atau syirik yang tersembunyi yang wajib
dijauhi oleh tiap-tiap seorang. Tetapi bukanlah semua itu dikira syirik.
Apa yang ditakuti terjadi syirik adalah perkataan yang tidak difaham, kerana
boleh jadi termasuk perkara sihir, syirik atau lain-lainnya yang
dilarang oleh hukum syarak sebagaimana yang dilakukan oleh kaum jahiliah.
Adapun yang mengandungi ayat-ayat al-Qur'an atau zikrullah, maka yang
demikian tidak dilarang.
Dari Abdullah
bin Mas'ud r.a., katanya: Aku telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.,:
"Apakah satu-satunya dosa yang terbesar di sisi Allah.?" Baginda
s.a.w., menjawab: "(Dosa yang terbesar di sisi Allah itu) ialah:
Engkau mengada-adakan bagi Allah sesuatu yang menyamaiNya pada hal Dia
menciptakanmu..." (Bukhari dan Muslim)
Dari Zaid bin Kholid
Al-Juhni r.a : Beliau telah berkata, Rasulullah saw telah bersolat subuh
dengan kami di Hudaibiyyah di penghujung malam. Apabila selesai bersolat,
baginda berpaling menghadap ke arah orang ramai (para sahabatnya) seraya
bersabda, “Adakah kamu sekalian mengetahui apakah yang difirmankan
oleh Tuhan kamu?” Mereka menjawab ‘Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.’
Rasulullah saw pun bersabda, “Allah berfirman, ‘Berpagi-pagi hamba-hamba-Ku
beriman dengan-Ku. Maka adapun orang-orang yang berkata, ‘Kami diberi
hujan justeru dengan kurniaan Allah SWT dan rahmat-Nya’, orang yang berkata
sedemikian itu adalah orang yang beriman dengan-Ku dan kufur dengan bintang-bintang.
Dan adapun orang yang berkata, ‘Kami diberi hujan disebabkan bintang
yang condong ke arah barat ini dan itu’, maka orang yang berkata sedemikian
adalah orang yang kufur dengan-Ku dan beriman dengan bintang.” (Sahih.
Dikeluarkan oleh Imam Malik, Imam Syafi’e dalam musnadnya, Imam Al-Bukhari
dan Muslim, Abi ‘Awanah dan Al-Baihaqi)
Beriman dengan ketentuan Allah
Dari Abdullah bin Mas’ud : Rasulullah saw bersabda, “Penciptaan
salah seorang kamu disempurnakan dalam rahim ibunya sepanjang tempoh beberapa
kali (dalam) empat puluh hari. Empat puluh hari yang kedua dalam bentuk
segumpal darah kemudian dalam empat puluh hari yang ketiga dalam bentuk
segumpal daging. Kemudian Allah mengutuskan malaikat kepadanya lalu
diperintahkan agar menulis untuknya empat kalimah dengan firman-Nya : ‘Tulislah
baginya amalannya, ajalnya, rezekinya dan samada celaka atau bahagia.’ Maka
demi Dia yang memegang jiwa ku di dalam genggaman-Nya, sesungguhnya (jika)
seseorang dari kalangan kamu beramal dengan amalan ahli syurga hinggalah
jarak beliau dengan syurga itu hanyalah satu hasta, maka sebagaimana telah
dituliskan ketentuannya (sebagai ahli neraka) lalu beramallah beliau dengan
amalan ahli neraka, justeru itu beliaupun masuk neraka. Dan sesungguhnya
(jika) seseorang dari kamu beramal dengan amalan ahli neraka hinggalah jarak
beliau dengan neraka itu hanyalah sehasta, namun telah ditetapkan ketentuan
(takdir) untuknya (sebagai ahli syurga) lalu beliaupun beramal dengan amalan
ahli syurga, justeru itu beliaupun masuk syurga.” (Sahih. Dikeluarkan
oleh Ibnu Majah, Imam Ahmad dan hampir seumpama lafaznya juga yang telah
dikeluarkan oleh Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, dan At-Tirmidzi)
Pelihara solat
Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya
amalan pertama akan dihisab pada seseorang hamba ialah solatnya. Jika
solatnya baik maka sesungguhnya beliau telah berjaya dan selamat dan sekiranya
solatnya rosak maka sesungguhnya rugi dan binasalah ia. Sekiranya berlaku
sesuatu kekurangan pada solat fardhunya, maka Tuhan Pemelihara Azza wa Jalla
akan berfirman (kepada para malaikat-Nya) : Lihatlah oleh kamu adakah hamba-Ku
mempunyai ibadat tathowwu’? Lalu solat fardhunya itu disempurnakan dengan
solat tathowwu’-nya itu. Kemudian seluruh amalan dihisab sedemikian juga.”(Sahih.
Dikeluarkan oleh At-Tirmidzi dan An-Nasa’i. Juga dikeluarkan oleh Ahmad,
Abu Daud, Ibnu Majah, Al-Hakim dll dengan lafaz sedikit berbeza)
|
|
|