Di dalam al-Quran, ujian dan dugaan disebut oleh Allah sebagai البلاء
(bala’) serta الفتنة (fitnah), kedua-duanya membawa maksud yang sama.
Ujian boleh datang dalam bentuk yang baik dan boleh juga dalam bentuk
yang buruk. Seperti mana yang diberitakan pada surah al-Anbiyaa’ iaitu;
Al-Anbiya’ 21-35:
Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu
dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian. Dan kepada Kami kamu
dikembalikan.
Allah menguji hamba-Nya dengan musibah pada satu waktu, dan dengan
nikmat pada waktu yang lain, untuk memperlihatkan siapa yang bersyukur
dan siapa yang kufur, siapa pula yang sabar, dan siapa yang putus harap.
Allah menguji hamba-Nya dengan kecelakaan dan kesenangan, dengan kesihatan
dan kesakitan, dengan kemewahan serta kemiskinan, dengan perkara yang
halal dan apa yang haram, dengan ketaatan dan kemaksiatan, serta dengan
hidayah dan kesesatan.
Bentuk ujian
Al-Baqarah 2- 155-157:
Dan sesungguhnya Kami (Allah) akan kenakan kepada kamu ujian (yang berupa)
sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan.
Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar. (Iaitu) orang yang
apabila ditimpa musibah (kesusahan) mereka mengatakan: “Inna lillahi wa
inna ilaihi raji’un (sesungguhnya kami daripada Allah dan kepada-Nya {Allah}
jualah kami kembali).” Mereka akan dikurniakan selawat (kehormatan) daripada
Rab (Tuhan) mereka dan rahmat-Nya (rahmat Allah) dan mereka itulah orang
yang mendapat petunjuk.
Al-Anfal 8-27&28:
Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan rasul,
dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepada
kamu, padahal kamu mengetahui. Dan ketahuilah bahawa harta kamu serta
anak-anak kamu adalah ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jua pahala
yang besar.
Allah datangkan kepada manusia perkara-perkara yang mencemaskan dan menakutkan
mereka samada melalui anasir alam seperti ribut, gempa bumi, tsunami dan
sebaginya atau dijadikan manusia lain sebagi agen menyampaikan kecemasan
dan ketakutan seperti peperangan, perompakan dan sebagainya. Kadang-kadang
didatangkan ujian dalam bentuk kelaparan. Bukan orang miskin yang tidak mempunyai
harta sahaja yang diuji dengan kelaparan malah, orang kaya juga boleh menerima
ujian sedemikian. Biasa berlaku orang kaya terkurung dalam sesuatu situasi
yang menghalangnya daripada mendapat makanan walaupun dia mempunyai wang
untuk membelinya. Ujian yang sering dihadapi oleh manusia ialah kekurangan
harta. Ada ahli perniagaan yang mengalami kerugian. Ada orang yang hartanya
kecurian, kebakaran atau kehilangan. Ujian yang lebih berat ialah kehilangan
jiwa, seperti kematian orang yang disayangi atau orang yang menjadi tempat
berteduh. Selain itu ujian berkurangan hasil tanaman juga boleh berlaku.
Anak-anak dan ahli keluarga sekaliannya juga menjadi jalan untuk menyampaikan
ujian. Semua ujian yang Allah hantarkan menjadi asbab untuk seseorang bertindak
sesuai dengan kehendak dan peraturan Allah yang membuatnya mendapat ganjaran
yang Allah sediakan disisiNya. Orang yang menghadapi ujian dengan berkata
"Inna lillahi wa inna
ilaihi raji’un (sesungguhnya kami daripada Allah dan kepada-Nya {Allah}
jualah kami kembali) mendapat selawat dan rahmat dari Allah.
Nabi Muhammad saw mendapat selawat yang sempurna dari Allah swt dan baginda
saw dikurniakan kedudukan sebagai "Rahmat ke seluruh alam." Orang yang mendapat
selawat dari Allah mendapat tempat yang mulia pada sisi Allah. Mereka seolah-olah
menerima kunjungan Allah. Allah memandangnya dengan pandangan rahmat. Belas
kasihan dan kasih sayang Allah tercurah pada mereka.
Ujian memilih
ahli syurga
Al-Baqarah 2-214:
Adakah kamu menyangka kamu akan masuk jannah (syurga), sedangkan
belum datang kepada kamu (ujian) sebagaimana dialami oleh orang sebelum
kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda), kecelakaan
dan digoncangkan mereka sehingga rasul dan orang yang beriman besertanya
(rasul itu) berkata: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ketahuilah,
sesungguhnya pertolongan Allah itu sangat dekat.
Iman tidak ketara sehinggalah seseorang itu diuji. Berbagai-bagai ujian
yang datang sebenarnya menguji iman bukan sekadar menguji kesabaran. Orang
kafir juga boleh bersabar menerima ujian tetapi mereka tidak beriman. Orang
yang lulus ujian iman itulah yang layak menghuni syurga.
Allah memberi peluang kpd orang beriman mencari kemaafan-Nya
Aali-Imran 3-152:
Dan sesungguhnya Allah telah memenuhi janji-Nya (janji Allah) kepada kamu,
ketika kamu hancurkan mereka dengan izin-Nya (izin Allah), sehinggalah
hati (semangat) kamu menjadi lemah dan berbantahan (sesama sendiri) dalam
urusan (perang Uhud) itu dan kamu derhakai (perintah rasul) sesudah Dia
(Allah) perlihatkan kepada kamu apa yang kamu gemari (harta rampasan). Ada
antara kamu yang mahukan dunia, dan ada yang mahukan akhirat. Kemudian Dia
(Allah) memalingkan kamu daripada mereka (menewaskan kamu), sebagai ujian
bagi kamu. Dan sesungguhnya Dia (Allah) sudah memaafkan kamu. Dan Allah
memberikan kurnia kepada orang yang beriman.
Manusia boleh menerima ujian dalam bentuk kegagalan agar mereka menginsafi
kesilapan mereka dan bertaubat serta memperbaiki diri. Kemudian diuji pula
dengan kejayaan, apakah kejayaan itu akan mengekalkan iman mereka atau mereka
kembali lupa seperti mulanya. Orang yang mampu bertahan dengan iman itulah
yang sebenarnya mendapat kemaafan dari Allah swt.
Ujian boleh menjadi petunjuk dan boleh menyesatkan.
Al-A’raf 7-155:
…… Ini tidak lain melainkan ujian daripada Engkau (Allah). Engkau
(Allah) menyesatkan dengannya (ujian itu) sesiapa yang Engkau (Allah) kehendaki
dan Engkau (Allah) berikan petunjuk kepada sesiapa yang Engkau (Allah) kehendaki.
Engkau (Allah) jualah Al-Wali (Pelindung) kami, maka ampuni kami dan rahmati
kami, Engkau (Allah) adalah sebaik-baik Pemberi ampun.”
Ujian pergi kepada semua orang tetapi meninggalkan kesan yang berbeza.
Ada orang yang memperolehi manfaat dari ujian dan ada pula yang binasa kerananya.
Orang yang berjaya ialah yang bertambah imannya melalui ujian yang sampai
kepadanya. Orang yang demikian berada di bawah pemeliharaan Al-Wali dan
merekalah yang layak digelar wali Allah.
Ujian juga boleh jadi dalam perkara kebaikan atau pertolongan
Allah.
Al-Anfal 8-17: Maka
(hakikatnya) bukanlah kamu yang membunuh mereka tetapi Allah jua yang
membunuh mereka. Dan bukan kamu (hakikatnya) yang melempar ketika kamu
melempar tetapi Allah jua yang melempar. Dan Dia (Allah) hendak menguji
orang yang beriman dengan ujian yang baik daripada-Nya (daripada Allah).
Sesungguhnya Allah adalah As-Sami’ (Maha Mendengar), lagi Al-’Alim (Maha
Mengetahui).
Orang beriman teguh dengan pandangan "Tidak ada daya dan upaya melainkan
dengan Allah." Setiap kejayaan yang mereka perolehi menambahkan iman mereka
kerana mereka tahu Allah yang memberi mereka kekuatan, keupayaan, kebijaksanaan
dan Allah yang mengizinkan berlaku seperti apa yang berlaku.
Kesalahan berat boleh dibersihkan dengan ujian
Ta Ha 20-40: “(Iaitu)
ketika saudaramu yang perempuan berjalan, lalu dia berkata kepada (keluarga
Firaun): 'Bolehkah aku tunjukkan kepadamu orang yang akan mengasuhnya?’
Maka Kami (Allah) mengembalikanmu kepada ibumu, agar senang hatinya dan
tidaklah dia berdukacita. Dan engkau pernah membunuh seorang manusia,
tetapi Kami (Allah) selamatkan engkau daripada kesusahan, dan Kami (Allah)
telah mengujimu dengan beberapa ujian; maka engkau tinggal beberapa
tahun di kalangan penduduk Madyan. Kemudian engkau pun datang menurut
waktu yang ditetapkan, wahai Musa.”
Kesalahan, walau bagaimana besar sekalipun yang dilakukan bukanlah kehancuran
sepenuhnya. Sebahagian daripada kesalahan menjadi asbab untuk seseorang
menjadi lebih baik. Dalam proses pembaikan itu didatangkan ujian yang menjadikan
seseorang itu bertaubat, sabar dan redha. Setelah tamat tempoh ujian dan
dia lulus dengan cemerlang, maka diserahkan kepadanya apa yang Allah telah
sediakan untuknya.
Tidak mentaati Rasul boleh mengundang ujian yg berat
An-Nur 24-63: Janganlah
kamu jadikan panggilan rasul antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu
kepada sebahagian (yang lain). Sesungguhnya Allah mengetahui orang yang beransur-ansur
pergi antara kamu dengan sembunyi-sembunyi. Maka hendaklah orang yang
menyalahi ketentuan rasul itu takut akan ditimpakan kepada
mereka ujian atau ditimpakan azab yang pedih.
Allah swt melantik Rasul dari kalangan manusia sendiri. Allah swt menyampaikan
kepada umat manusia apa yang Dia hendak sampaikan melalui RasulNya. Seorang
Rasul walaupun seorang manusia biasa tetapi baginda merupakan wakil Allah
yang dilantik sendiri oleh Allah. Oleh kerana itu Rasul menjadi manusia universal
yang mempunyai kedudukan yang tersendiri. Allah menceritakan:
Surah al-Ahzab 33-6: Nabi itu lebih utama bagi orang Mukmin
daripada diri mereka sendiri, dan isteri-isterinya (isteri-isteri Nabi) adalah
ibu-ibu mereka.
Tidak kira apa bangsa seseorang
umat Nabi itu dan tidak kira apa bangsa isteri-isteri Nabi itu, isteri-isteri
Nabi itu adalah ibu-ibu bagi orang yang beriman. Jika isteri Nabi adalah ibu,
maka Nabi pula berkedudukan sebagai bapa yang lebih utama daripada bapa kandung
sendiri. Kedudukan Nabi-nabi yang demikianlah menyebabkan orang beriman tidak
prejudis terhadap mana-mana Nabi sekalipun Nabi dari keturunan Bani Israel,
satu puak yang sangat memusuhi orang Islam.
Apabila Allah swt melantik seorang manusia menjadi RSUL, maka ada tuntutan
adab kesopan yang perlu dipelihara oleh umat terhadap Rasul mereka. Rasul
tidak mengatakan sesuatu melainkan apa yang diwahyukan oleh Allah. Rasul tidak
melakukan atau menetapkan sestau melainkan apa yang diperintahkan oleh Allah.
Oleh itu menyalahi ketentuan Rasul bermakna menyalahi ketentuan Allah dan
ia boleh mengundang kedatangan ujian yangberat atau azab yang pedih.
Pertolongan
Allah menjadi ujian.
Az-Zumar 39-49:
Maka apabila manusia ditimpa bahaya dia menyeru Kami (Allah), kemudian
apabila Kami (Allah) berikan kepadanya nikmat daripada Kami (Allah)
dia berkata: "Sesungguhnya aku diberi nikmat itu hanyalah kerana kepintaranku.”
Bahkan ia adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka itu tidak mengetahui.
Menafikan pertolongan Allah setelah terlepas dari musibah menunjukkan kebiadaban
seorang hamba terhadap Tuhannya. Pertolongan Allah yang datang kepadanya menjadi
ujian yang membawanya kepada kesesatan, sedangkan orang yang beriman menjadi
bertambah bersyukur dengan ujian yang sedemikian.
Ujian sebagai kecelakaan dari Allah
Al-Maidah 5-41:
….. Dan sesiapa yang Allah berkehendak mengujinya, engkau sekali-kali
tidak berdaya menolak sesuatu apa jua (yang datangnya) daripada Allah. Itulah
orang yang Allah tidak berkehendak membersihkan hati mereka.
Bagi mereka di dunia ini ialah kehinaan dan di akhirat kelak azab yang besar.
Orang yang melupai pertolongan Allah, orang yang lali dari mengingati Allah
dan orang yang menyombong diri akan dihantar ujian yang menambahkan kesesatan
pada dirinya.
Perlbagai peraturan Allah sebagai ujian
Al-Maidah 5-48:
….. Bagi tiap-tiap umat itu Kami (Allah) telah adakan syariat
(peraturan) dan jalan yang terang. Dan jika Allah kehendaki nescaya Dia
(Allah) menjadikan kamu sebagai satu umat sahaja, tetapi Dia (Allah) hendak
menguji kamu dengan apa yang diberikan-Nya (diberikan Allah) kepada
kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu dalam mengerjakan kebaikan. Hanya
kepada Allah tempat kembali kamu sekaliannya, lalu Dia (Allah) menjelaskan
kepada kamu tentang apa yang kamu perselisihkan.
Berlainan bangsa dan berlainan peraturan syariat yang Allah turunkan menjadi
ujian menentukan siapakah yang benar-benar mentaati Allah dan beramal mencari
keredhaan Allah.
Kelebihan dan kekurangan sebagai ujian
Al-An’am 6-165:
Dan Dia (Allah) yang menjadikan kamu Khalifah Bumi, dan Dia (Allah)
tinggikan sebahagian kamu melebihi sebahagian yang lain beberapa darjat,
untuk menguji kamu dengan apa yang Dia (Allah) telah berikan
kepada kamu. Sesungguhnya Rab (Tuhan) kamu itu sangat cepat seksaan-Nya
(seksaan Allah) dan sesungguhnya Dia (Allah) adalah Ar-Ghafur (Maha Pengampun),
lagi Ar-Rahim (Maha Mengasihani).
Allah kurniakan keupayaan dan bakat tertentu kepada setiap orang. Apa yang
Allah kurrniakan itu adalah alat dan yang menggunakan alat itu melalui ujian
adakah dia menggunakannya pada jalan Allah atau pada jalan kederhakaan kepada
Allah.
Apa yang ada di bumi ujian bagaimana hamba menggunakannya
Kahf 18-7: Sesungguhnya
Kami (Allah) telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan
baginya, agar Kami (Allah) menguji mereka, siapakah antara
mereka yang baik amalannya.
Apa yang ada di bumi ini menarik keinginan manusia kepadanya. Keinginan
kepada benda-benda di bumi menjadi ujian adakah manusia mendapatkannya dengan
cara yang halal dan menggunakannya dengan cara yang halal atau sebaliknya.
Nikmat ujian paling hebat sehingga Nabi Sulaiman as minta
tidak diberikan kapada orang lain, khuatir mereka tidak mampu menanggung
ujian tersebut.
Sad 38-34&35:
Dan sesungguhnya Kami (Allah) telah menguji Sulaiman dan Kami (Allah)
dudukkan di atas kursinya suatu tubuh, kemudian dia (Sulaiman) kembali.
Ia berkata: "Rabbi(wahai Tuhanku)! Ampunilah aku dan anugerahkanlah kepadaku
kerajaan yang tidak akan dimiliki oleh seorang jua pun sesudahku,
sesungguhnya Engkau (Allah) adalah Al-Wahhab (Maha Pemberi).”
Nabi Sulaiman as diuji dengan dikurniakan kerajaan yang besar, menguasai
manusia, jin, binatang dan angin. Baginda as mengalami dan tahu benar betapa
hebatnya ujian yang demikian. Lantaran kasihnya kepada umat manusia baginda
as mendokan agar Allah tidak mengurniakan kerajaan yang demikian kepada manusia
lain kerana baginda as percaya ujian yang demikian boleh menjerumuskan manusia
kepada kebinasaan.
Manusia asalnya mati, diberi jasad utk hidup dan beramal.
Al-Mulk 67-2:
Yang menciptakan mati dan hidup, supaya Dia
(Allah) menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalannya.
Dan Dia (Allah) adalah Al-’Aziz (Maha Perkasa), lagi Ar-Ghafur (Maha Pengampun).
Al-Insan 76-2&3:
Sesungguhnya Kami (Allah) telah menciptakan manusia daripada setitik
mani yang bercampur, lalu Kami (Allah) mengujinya, maka Kami (Allah)
jadikan dia mendengar lagi melihat. Sesungguhnya Kami (Allah) telah
memberikan petunjuk kepadanya jalan, ada yang bersyukur dan ada pula yang
kafir.
Allah swt menciptakaan mati terlebih dahulu baharulah menciptakan hidup
untuk manusia. Allah swt menciptakan tanah, benda mati, baharulah menciptakan
Nabi Adam as yang hidup daripada tanah yang mati. Keturanan Nabi Adam as
diciptakan daripada air mani. Air mani dihasilkan melalui saringan intipati
tanah yang didapati daripada sumber pemakanan seperti buah-buahan, daging
dan sebagainya. Intipati tanah yang mati itu menjadi asas penciptaan mani
dan seterusnya penciptaan manusia yang hidup. Dijadikan manusia mendengar
dan melihat. Hidup membawa bakat-bakat kehidupan kepada benda yang asalnya
mati. Jadi, hidup ini keseluruhannya adalah ujian. Manusia diuji dengan penggunakan
bakat yang Allah kurniakan dan pengambilan serta penggunaan benda-benda alam
yang Allah sediakan.
Sebab ujian sempit rezeki
Al-Fajr 89- 15-20:
Maka perihal manusia itu apabila Rab (Tuhan)nya menguji dengan memuliakan
serta diberikan nikmat, maka dia akan berkata: “Rab (Tuhan)ku memuliakan
daku.” Tetapi apabila Dia (Allah) menguji dengan menyempitkan rezeki, maka
dia berkata: “Rab (Tuhan)ku menghinakan daku.” Sekali-kali bukan (demikian),
bahkan kamu tidak memuliakan anak-anak yatim. Dan kamu tidak
saling mengajak kepada memberi makan orang miskin. Dan kamu memakan harta
warisan orang dengan loba. Dan kamu terlalu mencintai harta secara melampau-lampau.
Tindak-tanduk manusia dalam melalui ujian mendatangkan natijah yang mesti
ditanggungnya. Natijah sempit rezeki berpunca daripada tidak memuliakan anaka
yatim, tidak mengajak kepada memberi makan orang miskin, tidak amanah dalam
mengurus haarta warisan dan loba kepada harta.
Nikmat kapada orang lain ujian untuk kita
Ta Ha 20-131: Dan
janganlah engkau tujukan (pandangan) kedua-dua mata engkau kepada
kesenangan yang Kami (Allah) berikan kepada beberapa golongan daripada
mereka; itu hanyalah perhiasan dunia, untuk Kami (Allah) uji
mereka dengannya. Dan kurnia Rab (Tuhan) engkau adalah lebih baik dan
lebih kekal.
Nikmat yang melimpah ruah yang Allah kurniakan kepada orang lain menjadi
ujian kepada orang yang ada keinginan memiliki yang serupa atau lebih lagi.
Ia menjadi ujian yang lebih besar kepada pemilik itu sendiri. Jika mahu selamat
dari ujian tersebut larilah kepada Allah dan carilah apa yang ada di sisi
Allah yang bersifat lebih baik dan kekal.
Nikmat datang berulang untuk mengajak manusia baiki kesilapan
Taubah 9-126:
Dan tidakkah mereka perhatikan bahawa mereka diuji sekali atau dua
kali pada setiap tahun, kemudian mereka tidak juga bertaubat dan mereka
tidak mengambil peringatan?
Manusia cenderung melakukan kesalahan tetapi Allah terus memberinya
peluang. Orang yang telah gagal menguruskan satu projek diberiNya projek yang
lain agar orang itu memperbaiki pengurusannya, tidak mengulangi lagi kesalahan
yang pernah dilakukannya. Tetapi kebanyakan manusia tidak mengambil pengajaran
dari keslahan yang lalu. Kesilapan yang sama diulangi dan kegagalan juga
natijahnya.
Secara umumnya, Allah s.w.t. menimpakan bala dan musibah kepada
seseorang kerana tiga sebab:
1: Musibah dan bala kepada musuh Allah s.w.t., dan golongan yang
bersikap sombong dengan Allah s.w.t., orang-orang kafir dan fasiq, maka
ia merupakan suatu bentuk azab dan siksaan dari Allah s.w.t. yang dikenakan
kepada mereka di dunia lagi. Bala azab ini memberi tekanan pada jiwa yang
boleh menyebabkan orang membunuh diri.
2: Orang-orang mu'min yang kurang beradab di hadapan Allah s.w.t.,
melakukan pelbagai maksiat, maka ia merupakan peringatan supaya mereka kembali
kepada Allah s.w.t., dan kembali beradab di Hadrat Ilahi s.w.t. dengan
mengamalkan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Ia merupakan
suatu kenikmatan dalam kesulitan. Bala yang memperadabkan ini melahirkan
kesabaran. Kadang-kadang masih terasa tekanan pada jiwa tetapi dia boleh
bertahan sehingga tekanan itu menajdi reda. Senjatanya ialah doa dan menambahkan
ibadat kepada Allah.
3: Golongan khawas (orang-orang soleh) atau golongan khawasul-khawas
di kalangan hamba-Nya, yang sentiasa menjaga adab dengan Allah s.w.t., maka
musibah tersebut merupakan pintu-pintu untuk meningkatkan darjat mereka
di sisi Allah s.w.t., dengan kesabaran mereka. Bala bagi golongan ini tidak
memberi tekanan sedikitpun pada jiwa. Redha dengan lakuan Allah membuat jiwa
menjadi tenang tanpa tergugat dengan gelombang bala.
Bala dalam pandangan orang sufi:
1: Ujian berbentuk Musibah.
Ujiandalam bentuk kesusahan seperti kematian, kehilangan, kemiskinan,
kesakitan dan sebagianya. Melalui ujian ini, Allah s.w.t. memperkenalkan diri-Nya
dengan sifat-sifat Jalal-Nya (sifat-sifat keagungan-Nya). Hamba-Nya mendapat
penghayatan bahawa Allah s.w.t. Maha Berkuasa dan hanya kepada Allah jualah
tempat mengadu segala masalah. Hanya Dia yang sebenarnya membantu dan
Dia adalah sebaik-baik Penolong. Hamba ayang mendapat kesedaran yang demikian
akan berhadapan dengan Allah s.w.t. sebagai seorang hamba yang sabar, bertawakal,
percaya bahawa apa yang Allah lakukan ada hikmahnya dan redha dengan takdir
Allah swt. Ujian meningkatkan darjatnya di sisi Allah s.w.t. Saba, tawakal
dan redha mengangkat darjatnya setingkat demi setingkat, menambahkan kehampirannya
dengan Allah. dengan izin-Nya. Hamba yangredha dengan Allah swt itulah yang
meendapat keredhaan Allah, dengan izinNya jua.
2: Ujian berbentuk Kesenangan.
Allah s.w.t. juga menguji para hamba-Nya dengan nikmat kesenangan,
seperti kekayaan, banyak zuriat, kedudukan, dan sebagainya. Ujian
kesenangan memperkenalkan Allah s.w.t. kepada hamba-Nya dengan sifat-sifat
Jamal-Nya (sifat-sifat kecantikkan dan keindahan-Nya). Hamba-Nya yang mengalami
suasana tersebut mendapat penghayatan bahawai Tuhannya Maha Pemurah lagi Maha
Mulia. Hamba yang berhadapan dengan Jamal Allah berhadap dengan Allah sebagai
hamba yang bersyukur. Syukur mendapat nikmat Allah menjadi pintu untuk meningkatkan
darjatnya di sisi Allah s.w.t..
|
|
|