Adam a.s ditempa daripada tanah. Bahagian Adam a.s yang ditempa daripada
tanah ini dinamakan jasad, tubuh badan atau diri yang zahir. Jasad yang dari
tanah itu walaupun sudah sempurna kejadiannya, cukup lengkap dengan sekalian
anggota namun, ia tetap kaku, tidak dapat bergerak, tidak merasakan apa-apa
dan tidak dapat berkata-kata. Ia sudah mempunyai otak tetapi otaknya tidak
dapat berfikir. Ia sudah mempunyai mata tetapi matanya tidak dapat melihat.
Ia sudah mempunyai telinga tetapi telinganya tidak dapat mendengar. Ia hanyalah
satu lembaga yang kaku. Tetapi sebaik sahaja ia menerima tiupan dari Roh
Allah s.w.t segala-galanya berubah dengan serta merta. Otaknya mula berfungsi.
Mata, telinga dan semua anggotanya juga mula berfungsi. Ia juga boleh merasa.
Ia bukan lagi satu lembaga yang kaku tetapi ia sudah menjadi insan yang hidup,
boleh berfikir, boleh berkata-kata, boleh bergerak dan boleh merasa. Keajaiban
itu berlaku semata-mata kerana tiupan dari Roh Allah s.w.t. Bahagian Adam
a.s yang menerima tiupan daripada Roh Allah s.w.t itu dinamakan Diri Batin
atau rohani.
Adam a.s dan keturunan beliau a.s yang dibangsakan sebagai manusia diciptakan
Allah s.w.t untuk dijadikan khalifah di bumi. Khalifah boleh diartikan menurut
beberapa pengertian. Pada pengertian pertama khalifah bermaksud pengganti
kepada makhluk yang telah pupus. Satu ketika dahulu bumi ini pernah didiami
oleh satu bangsa makhluk tetapi makhluk tersebut telah dibinasakan oleh Allah
s.w.t kerana mereka berbuat derhaka kepada Allah s.w.t. Sejak makhluk bangsa
tersebut pupus tidak ada lagi makhluk berakal yang mendiami bumi. Adam a.s
diciptakan untuk menggantikan bangsa yang telah pupus itu. Khalifah pada
makna yang kedua bermaksud pengganti Rasulullah s.a.w, yang menjadi pemimpin
umat Islam setelah baginda s.a.w wafat. Khalifah dalam segi ini ada dua kategori
iaitu khalifah rasyidin (yang dipimpin) dan khalifah umum. Saidina-saidina
Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali termasuk dalam golongan khalifah rasyidin
yang mendapat pimpinan Allah s.w.t dan dijamin kebenaran mereka. Pimpinan
mereka mendapat keredaan Allah s.w.t. Perbuatan dan perkataan khalifah rasyidin
boleh dijadikan rujukan dalam pembentukan hukum-hukum agama, selepas al-Quran
dan as-Sunah. Khalifah yang selain mereka tidak memiliki darjat yang demikian.
Pada makna yang ke tiga pula khalifah bermaksud makhluk atau golongan yang
memiliki ciri-ciri khusus mengatasi semua makhluk atau golongan lain. Ia
bermaksud bangsa manusia yang memiliki bakat-bakat serta keupayaan melebihi
makhluk lain dalam menguruskan hal-ehwal di bumi yang meliputi kehidupan
manusia sendiri dan juga makhluk yang lain.
Allah s.w.t mengurniakan fitrah sejagat kepada manusia kerana mereka memikul
amanah serta beban tugas yang suci lagi mulia:
(Allah bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku Tuhan kamu?” Mereka
semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. ( Ayat
172 : Surah al-A’raf )
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk
mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. ( Ayat 56 : Surah al-Dhariyat )
Fitrah manusia bukan sekadar berperanan dalam mentadbir penghidupan menurut
tabiat semula jadi kemanusiaan malah lebih penting lagi ia adalah persediaan
buat manusia melakukan kehambaan (ubudiah) terhadap Allah s.w.t.
Manusia yang bergerak dalam sekop fitrahnya mampu memperolehi maklumat melalui
akal fikiran, ilham dan kasyaf. Pancaindera dan fikiran bergabung di dalam
mendapatkan maklumat mengenai perkara yang zahir. Maklumat yang diperolehi
dengan cara ini boleh dikembangkan oleh akal fikiran dengan menggunakan hukum
logik dan formula-formula yang dapat disusun oleh akal fikiran. Kebolehan
berfikir yang dihasilkan oleh fitrah manusia mampu membawa manusia meneroka
segala bidang lahiriah seperti sains, teknologi maklumat, matematik, astronomi,
kedoktoran, pentadbiran negara dan lain-lain. Sempadan bagi akal fikiran
adalah logik. Ia tidak mampu mengolah sesuatu yang telah keluar daripada
daerah logik.
Bakat-bakat fitrah merupakan kenyataan kepada firman Tuhan yang bermaksud:
“Dan telah diajarkan kepada Adam nama-nama semuanya”. Segala maklumat yang
perlu bagi manusia menjalankan tugasnya sebagai khalifah di bumi sudahpun
ada pada fitrahnya. Proses pembelajaran, pengalaman, penyelidikan dan sebagainya
merupakan cara mencungkil maklumat yang tersimpan di dalam khazanah fitrah,
bukan membawa masuk maklumat yang baharu. Pada satu tahap, maklumat di dalam
khazanah fitrah dicungkil melalui cara berfikir. Kebolehan berfikir ini dikuasai
oleh semua manusia kecuali orang gila.
Kemampuan akal fikiran manusia sangat mengagumkan. Manusia mampu membentuk
sistem politik, sosial dan ekonomi mereka dengan bakat yang ada pada akal
fikiran mereka. Dalam hal ini nilai-nilai asas yang ada pada manusia menjadi
dasar kepada pembentukan sistem tersebut. Nilai-nilai asas dikongsikan oleh
semua mansuia tidak kira apa bangsa, keturunan dan agama. Sesuatu sistem
politik, sosial atau ekonomi yang diperkenalkan oleh seseorang mampu diterima
oleh orang ramai walaupun berlainan bangsa dan agama. Oleh kerana akal fikiran
mampu mencipta sistem yang sangat rapi, maka manusia merasakan mereka tidak
perlu kepada sumber lain untuk berbuat demikian. Mereka merasakan mereka
tidak memerlukan sistem yang bersumberkan Tuhan seperti yang dikatakan oleh
ahli agama, lebih-lebih lagi masyarakat yang dibayangi oleh doktrin agama
yang terkeluar jauh daripada nilai asas kemanusiaan. Apabila doktrin agama
tidak mampu menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh akal yang kritis, mudahlah
manusia meninggalkan agama dan berpegang kepada akal fikirannya.
‘Pertuhanan’ kepada akal fikiran menajdi asas kepada ideologi liberalisma.
Liberalisma ialah pegangan yang meletakkan kebebasan individu sebagai nilai
politik tertinggi. Secara umum, liberalisma mencita-citakan suatu masyarakat
yang bebas, dicirikan oleh kebebasan berpikir bagi para individu. Fahaman
liberalisma menolak adanya kongkongan atau pembatasan, khususnya dari pemerintah
dan agama. Dalam masyarakat modern, liberalisma dapat tumbuh dengan subur
dalam sistem demokrasi, hal ini dikarenakan keduanya sama-sama mendasarkan
kebebasan majoriti. Liberalisma menekankan hak-hak peribadi yang berkaitan
dengan cara hidup dan perasaan hati termasuk kebebasan seksual, kebebasan
beragama, kebebasan pemahaman dan pelindungan dari campur tangan kerajaan
di dalam kehidupan peribadi. Liberalisma secara umumnya menentang peraturan-peraturan
kerajaan di dalam kesusasteraan, seni, akademik, perjudian, seks, pelacuran,
penguguran kandungan, arak, ganja dan dan lain-lain yang dianggap sebagai
hak individu. Kebanyakan ahli-ahli liberal menentang separuh atau semua peraturan-peraturan
kerajaan yang mencampuri hal-hal ini. Ahli liberal ekonomi mahu hanya sedikit
atau tiada langsung peraturan-peraturan kerajaan di pasaran. Ada ahli liberal
ekonomi yang berpendapat bahawa kerajaan tidak mempunyai fungsi langsung
dalam hal pegurusan ekonomi ada juga yang hendak mengecilkan peranan kerajaan
kepada perundangan, keselamatan dan pertahanan sahaja.
Liberalisma menghidangkan perkara yang paling digemari iaitu kebebasan: kebebasan
berfikir (free thinking), kebebasan seksual, kebebasan bersuara, kebebasan
dari kongkongan agama dan apa juga kebebasan yang manusia inginkan. Liberalisma
menghalalkan zina asalkan dilakukan secara suka sama suka. Hubungan sejenis
juga halal asalkan syarat utama diikuti iaitu suka sama suka. Dibolehkan
berkahwin sesama jenis malah ada yang berkahwin dengan orang mati dan lebih
dahsyat lagi berkahwin dengan binatang. Semuanya dibolehkan atas alasan hak
asasi. Hak asasi dan demokrasi menjadi landasan bagi puak liberalisma mengembangkan
ideologi mereka.
Liberalisma membawa kepada sekularisma. Sekularisma adalah konsep bahawa
kerajaan atau entiti lain harus wujud secara terasing dari agama dan/atau
kepercayaan agama. Dalam istilah politik, sekularisma adalah suatu gerakan
terhadap pengasingan agama dan kerajaan (di Barat diistilahkan pemisahan
geraja dan negara). Ini adalah dirujukkan pada mengurangkan ikatan di antara
kerajaan dan agama negara, menggantikan undang-undang berasaskan agama (Kitab
Suci dan hukum Syariat) dengan undang-unudang sivil, dan menghapuskan perselisihan
pada asas agama. Alasannya ialah untuk menambahkan demokrasi dengan melindungi
hak asasi agama minoriti. Fahaman sekular memisahkan urusan kehidupan dunia
daripada agama, ia tidak ada hubungan dengan Tuhan dan tidak ada hubungkait
dengan akhirat. Perpisahan ini berlaku dalam semua bidang, tidak kira sama
ada di bidang ekonomi, politik, pendidikan, pentadbiran, kebudayaan, perhubungan
dan lain-lain lagi. Ia adalah fahaman keduniaan semata-mata. la tidak ada
sangkut paut dengan akhirat. Bagi orang yang berfahaman sekular, hidup di
dunia ini hanya habis di dunia. Untung rugi hanya berlaku di dunia. Susah
atau senang hanya di dunia. Tidak ada balasan di akhirat. Dosa dan pahala
tidak masuk kira kerana kehidupan hanya di dunia semata-mata. Di dalam fahaman
sekular, syariat tidak dipedulikan. Syariat tidak ada tempat dalam kehidupan.
Tuhan tidak campur tangan dalam kehidupan manusia. Oleh yang demikian manusia
boleh buat apa sahaja. Yang penting mendapat untung. Yang diperlukan adalah
pembangunan dan kemajuan. Yang mustahak mendapat kemenangan dan kejayaan
walau apa cara sekalipun. Walau terpaksa menghalalkan cara. Halal dan haram
jangan difikirkan. Pantang larang jangan diambil kira.
Golongan sekular yang tulin adalah mereka yang tidak percaya langsung adanya
Tuhan dan kehidupan Hari Akhirat. Agama dianggap candu kepada manusia. Agama
direka oleh manusia sendiri. Alam wujud secara semulajadi. Apa yang berlaku
dalam alam ini tidak ada kena mengena langsung dengan Tuhan kerana Tuhan
tidak wujud. Golongan yang berpegang dengan fahaman ini adalah orang yang
berfahaman komunis, atheis atau free thinker.
Ada pula mereka yang masih percaya kepada Tuhan tetapi mereka mengikuti fahaman
sekularisma. Ini disebabkan kepercayaan yang mereka pegang lebih berbentuk
khayali, tidak mampu menjawab persoalan logik yang dikemukakan oleh akal
fikiran. Agama menjadi tradisi atau adat dan upacara yang dilakukan dalam
hal-hal tertentu, tidak dibawa masuk ke dalam kehidupan harian. Kehidupan
harian diuruskan berpandukan fahaman sekularisma yang tidak mengambil kira
doktrin agama mereka. Inilah golongan kafir yang masih percaya kepada Tuhan
tetapi tidak faham apa yang dimaksudkan sebagai Tuhan.
Di kalangan umat Islam juga muncul puak yang mengambil fahaman sekular. Mereka
ini terdiri daripada orang-orang yang berpendidikan tinggi dan merasakan
mereka adalah golongan intelek. Mereka, sebagaimana ahli liberalisma yang
lain, meletakkan bakat akal fikiran sebagai sumber tertinggi dalam menentukan
benar atau salah. Tuhan dan peraturan Tuhan dibawa kepada analisa akal fikiran.
Oleh kerana akal fikiran mereka tidak mampu menghuraikan tentang Tuhan, maka
Tuhan diletakkan dalam perkara yang misteri. Akal fikiran mereka melihat
segala yang berlaku dalam alam ini adalah berdasarkan humum logik dan sebab
musabab, tidak kelihatan kepada mereka peranan Tuhan dalam urusan kehidupan
ini. Oleh kerana mereka masih percaya kepada Tuhan, maka mereka masih melakukan
upacara agama dalam hal-hal tertentu tetapi dalam urusan kehidupan, politik,
sosial dan ekonomi, mereka beralih kepada fahaman liberalisma yang mengagungkan
bakat akal fikiran.
Golongan liberal dan sekular hanya menumpukan perhatian mereka kepada dunia
dan yang nyata. Jika mereka masih percaya kepada akhirat tetapi mereka tidak
mengambil berat tentangnya. Bila perhatian kepada akhirat tidak ada syurga
dan neraka tidak lagi memberi kesan. Dosa dan pahala tidak lagi diendahkan.
Syariat tidak lagi menjadi amalan. Apa yang dicari hanyalah keuntungan dunia.
Terkenallah kaedah matlamat menghalalkan cara.
Ada juga di kalangan orang Islam yang yakin kepada kebenaran Islam tetapi
mereka berasa rendah diri apabila berhadapan dengan puak liberal yang lebih
maju daripada mereka. Mereka menerima ideologi liberalisma dan sekularisma
agar mereka diterima oleh golongan tersebut, atau demi menjaga sesuatu kepentingan
mereka yang dikuasai oleh puak liberal dan sekular itu.
Orang Islam liberal dan sekular meminggirkan nilai ketuhanan dan menggantikannya
dengan sesuatu bentuk pergantungan mutlak kepada rasional, sama seperti orang
kafir yang liberal dan sekular. Fahaman demikian mudah diterima oleh orang
yang lemah imannya kerana ia sangat bersesuaian dengan keinginan nafsu.
Orang yang mencampakkan syariat Allah swt ke belakang itu dipanggil fasik
sebagaimana dinyatakan oleh Quran.
Surah al-Baqarah 2/26:
Dan tidaklah Dia sesatkan dengan sebabnya melainkan orang yang fasik.
Surah al-Baqarah 2/27: (Iaitu)
orang yang merombak perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan mereka
memutuskan apa yang Allah perintahkan supaya diperhubungkan, dan mereka melakukan
kerosakan di bumi. Mereka itulah orang yang rugi.
Orang fasik adalah orang yang merombak perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya.
Mereka mengistiharkan diri mereka sebagai penganut agama Islam. Mereka mengucapkan
kalimah iman dan tauhid. Mereka telah mengadakan janji yang teguh dengan
Allah. Tetapi mereka memecahkan janji itu. Rupanya mereka laksana lalang
yang hanya mengikut tiupan angin. Bila orang ramai berduyun-duyun memasuki
Islam mereka pun ikut sama. Oleh kerana ibu bapa mereka Islam mereka juga
menjadi Islam tetapi tidak ada ilmu dan penghayatan Islam. Mereka menjadi
orang Islam yang tidak berpegang dengan Islam. Tiada iman dalam hati mereka.
Jika adapun ianya sangat tipis dan mudah sahaja koyak. Oleh itu dengan mudah
sahaja mereka melupakan ikrar mereka.
Orang fasik tidak berpegang dengan hukum dan peraturan Allah. Tidak ada istilah
dosa dan pahala bagi mereka. Mereka boleh melakukan perkara keji tanpa berasa
bersalah. Oleh kerana mereka berada dalam kelompok Islam mereka juga kadang-kadang
mengerjakan amalan Islam seperti orang Islam yang lain. Mereka bersolat dan
berpuasa tetapi mereka juga berzina, berjudi, meminum arak, menipu dan sebagainya.
Perbuatan golongan fasik inilah yang sering dijadikan hujah dengan mengatakan
amalan Islam tidak membendung kejahatan atau langsung sahaja dikatakan bahawa
orang Islam dengan orang kafir sama sahaja. Mereka melakukan kerosakan di
bumi. Mereka merosakkan imej Islam. Mereka bersekongkol dengan musuh-musuh
Islam. Mereka memperlekehkan hukum dan peraturan Islam. Mereka melakukan
perbuatan maksiat dan keji. Bila mereka mudah melakukan kerosakan dalam agama
maka lebih mudah lagi mereka melakukan kerosakan pada kehidupan dunia. Mereka
telah berada di dalam kelompok yang benar tetapi mereka tidak memperolehi
manfaat daripadanya. Bila orang kafir dan munafik mencemuh Islam mereka mengikuti
perbuatan jahat itu.
Quran telah menceritakan empat jenis manusia, satu berada di luar daripada
Islam dan tiga di dalam golongan Islam. Orang kafir yang berada di luar Islam
mudah dikenali. Mereka memusuhi Islam secara terang-terangan. Di dalam golongan
Islam hanya satu golongan sahaja yang benar, iaitu orang yang beriman dan
bertakwa. Puak yang paling bahaya ialah puak munafik. Munafik sebenarnya
kafir, sama seperti orang kafir yang di luar Islam. Bezanya munafik berada
di dalam kalangan umat Islam dan menunjukkan sikap beriman secara berpura-pura.
Kafir dan munafik sama-sama inginkan kejatuhan Islam. Menangani puak kafir
lebih mudah daripada menangani puak munafik. Kafir yang mengistiharkan permusuhan
dengan Islam mudah dihadapi dengan terang dan berhadapan. Munafik pula bersembunyi
di sebalik pengakuan keislaman mereka. Secara zahirnya mereka mempunyai hak
yang sama dengan orang Islam. Jika silap mengambil tindakan ke atas mereka
maka akan dikatakan bahawa orang Islam menganiayai orang Islam yang lain.
Ini yang berlaku dalam dunia Islam. Apabila satu puak sudah mengistiharkan
puak lain sebagai munafik, halallah harta, darah, dan nyawa puak yang dianggap
munafik itu. Berlakulah pembunuhan di kalangan umat Islam. Apa yang ketara
ialah orang Islam membunuh orang Islam. Begitulah sukarnya menangani isu
munafik itu. Oleh sebab itu banyak daripada kejahatan mereka terlepas. Keadaan
ini juga menjadikan mereka musuh dalam selimut yang sangat merbahaya. Perlu
diingatkan bahawa puak munafik di dalam Islam bukan hanya wujud pada zaman
Rasulullah saw, malah pada zaman ini juga ada puak munafik, bahkan tidak
hairan jika bilangan mereka jauh lebih ramai dan mereka lebih berkuasa. Quran
telah memberi gambaran tentang orang munafik. Rasulullah saw tidak mengambil
langkah membunuh golongan munafik. Tetapi baginda saw mengambil tindakaan
tegas membendung pergerakan munafik. Masjid yang didirikan oleh puak munafik
dan dijadikan markas penyebaran fitnah telah diperintahkan oleh Rasulullah
saw agar dirobohkan. Tindakan baginda itu mestilah dijadikan contoh. Ulul
‘Amri (pemerintah umat Islam) perlu mengawasi dan mengenalpasti golongan
munafik dan tidak membiarkan pertubuhan mereka bergerak bebas menyebarkan
fitnah dan menyebabkan orang ramai menjadi keliru oleh fitnah mereka.
Puak munafik ini diperkuatkan lagi dengan kewujudan puak fasik di dalam Islam.
Orang fasik boleh dikatakan Islam tidak dan kafir pun tidak. Oleh kerana
tidak ada ketaatan dan kecintaan terhadap agama maka mereka boleh menjadi
orang yang menjual agama atau bersatu dengan musuh Islam bagi menghancurkan
Islam. Orang fasiklah yang banyak mencemarkan imej umat Islam kerana mereka
mencampurkan amalan Islam dengan amalan yang dibenci oleh Islam.
Perlu diingatkan orang munafik dan orang fasik tidak mengaku mereka munafik
dan fasik. Bahkan mereka berani mengaku mereka lebih arif tentang Islam.
Mereka dengan mudah sahaja menolak pendapat ulama yang muktabar. Golongan
inilah yang menyebabkan berlaku perpecahan di kalangan umat Islam.
Surah al-Baqarah 2/99: Dan
sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada engkau ayat-ayat yang jelas, dan
tidak ada yang mengingkarinya melainkan orang yang fasik.
Wahyu Allah adalah jelas, tulen, benar dan tahan diuji. Orang yang tidak
dapat melihat kebenaran wahyu Allah adalah orang yang fasik. Orang yang secara
sengaja dan berpengetahuan mengingkari wahyu Allah adalah juga orang yang
fasik.
Kemunafikan dan kefasikan bukanlah halangan untuk mereka memperolehi ilmu
pengetahuan, membina kemajuan dan mengumpul kekayaan. Ramai di antara orang
Islam yang bersifat munafik dan fasik itu berada dalam kedudukan yang tinggi
dalam masyarakat Islam. Ada yang menjadi pemimpin, pendidik, pedagang dan
lain-lain. Mereka mempunyai pengaruh yang besar dalam pentadbiran dan
pengurusan kaum Muslimin. Oleh kerana keimanan mereka tidak ada atau sangat
lemah dan kecintaan mereka kepada Islam tidak lahir, maka perhatian mereka
bukan kepada Islam. Tindak tanduk mereka bukan berdasarkan mencari keredaan
Allah dan menegakkan takwa. Oleh itu mereka dengan rela dan bangga menyebarkan
perkara-perkara yang bertentangan dengan tatasusila, budaya dan peraturan
Islam. Malah ada di kalangan mereka yang berani menanggung dosa orang lain
demi menjalankan aktiviti yang bertentangan dengan hukum dan peraturan Islam.
Orang yang beriman berkewajipan menyelamatkan diri mereka daripada fitnah
dan menjadikan al-din hanya untuk Allah semata-mata. Mereka hendaklah benar-benar
ikhlas dalam memegang dan melaksanakan al-din. Kumpulan orang beriman yang
ikhlas ini akan menjadi besi berani menarik orang lain untuk kembali kepada
ajaran Islam yang sebenarnya. Kekuatan semangat perjuangan kumpulan beriman
ini akan melemahkan kegiatan munafik dan fasik. Apabila fitnah kemunafikan
dan kefasikan sudah dihentikan, maka tidak ada lagi permusuhan. Sesiapa yang
masih juga meneruskan penyebaran fitnah, maka mereka terpaksa berhadapan
dengan penentangan daripada kesatuan kaum Muslimin yang beriman dan bertakwa.
|