Apa yang Tuhan ajarkan kepada Adam a.s (dan manusia sekaliannya)
bukan sekadar penggunaan akal fikiran. Apabila sampai kepada kemuncak kekuatan
berfikir iaitu apabila hukum logik gagal memberi huraian maka manusia beralih
kepada bakat keduanya iaitu ilham. Bidang ilham sesuai untuk diterokai oleh
mereka yang bebas daripada hukum logik, iaitu tarikan anasir alam, pengaruh
kebendaan dan hawa nafsu. Kebanyakan yang termasuk di dalam golongan ini adalah
ahli falsafah yang telah membebaskan hati mereka daripada sempadan kebendaan.
Bila hati sudah berjaya melepaskan diri daripada kongkongan kebendaan dapatlah
ia masuk ke dalam bidang ilham yang berada di sebalik alam kebendaan. Ilham
membuka kefahaman tentang unsur ghaib yang mempengaruhi perjalanan kehidupan
yang zahir.
Ilham boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu ilham ahli falsafah dan ilham
ahli sufi (ahli kerohanian). Ahli falsafah menggunakan kekuatan dirinya untuk
berjuang menentang hawa nafsu dan membebaskannya daripada tarikan anasir-anasir
alam. Bila telah berjaya berbuat demikian rohaninya mampu memandang kepada
keghaiban yang menyelimuti alam zahir. Dia dapat menyaksikan tenaga ghaib
yang membentuk sistem dan mempengaruhi perjalanan segala yang zahir. Di sebalik
semua itu dia dapat melihat kesempurnaan: kesempurnaan peraturan dan perjalanan
alam maya dan kesempurnaan Pencipta segala kesempurnaan itu. Renungan ahli
falsafah berakhir dengan pengakuan tentang wujudnya kekuasaan Mutlak yang
mencipta dan mengatur perjalanan alam ini. Kelarutan (kefanaan) di dalam kesempurnaan
itu menjadikan ahli falsafah mencintai yang sempurna dan bergerak membentuk
kesempurnaan di dalam kehidupan ini.
Ahli sufi pula di samping berjuang menentang hawa nafsu dan tuntutan badaniah
dia juga membenamkan dirinya ke dalam zikir atau ingatan kepada Allah s.w.t
secara terus menerus. Pergantungannya tidak terlepas daripada Tuhan. Apabila
dia berjaya di dalam perjalanannya dia berjaya di dalam keadaan ingat dan
bergantung kepada Allah s.w.t. Oleh itu ilham yang terbuka kepadanya lebih
berkaitan dengan Tuhan daripada makhluk Tuhan. Perhatiannya terhadap makhluk,
termasuklah dirinya sendiri, mengecil dan perhatiannya kepada Tuhan membesar.
Jika ilham ahli falsafah lebih tertumpu kepada kesempurnaan dan kerapian
penciptaan iaitu perbuatan Tuhan, ilham ahli sufi pula tertumpu kepada keelokan
dan kesempurnaan sifat Tuhan yang menciptakan segala kesempurnaan dan keelokan
itu. Ilham ahli falsafah melahirkan rasa kekaguman terhadap Pencipta sementara
ilham ahli sufi pula melahirkan rasa kehampiran dan keasyikan terhadap Pencipta
Yang Maha Indah lagi Maha Sempurna. Ilham sufi bukan sekadar melahirkan pengakuan
dan keasyikan terhadap Yang Maha Mencipta dan Maha Mengatur, malah ahli sufi
juga memperolehi keyakinan tentang kedudukannya pada taraf kehambaan yang
perlu membuktikan kehambaan itu.
Ahli falsafah ‘berjalan’ mencari kebenaran tanpa membawa sesuatu kepercayaan
awal. Di akhir perjalanannya dia menemui kebenaran bersifat universal: Wujud
kekuasaan Mutlak yang mencipta dan mengatur perjalanan alam ini. Yang Memiliki
kekuasaan mutlak itu mencipta dan mengatur dengan sempurna. Segala-galanya
yang ada dalam alam ini berada dalam keseimbangan. Planet-planet berinteraksi
sesama sendiri sehingga terbentuk jaringan tenaga yang menstabilkan seluruh
zarah alam. Setiap makhluk berfungsi dengan sempurna dalam sekop penciptaan
masing-masing. Wujud Mutlak yang mencipta dan mengatur segala-galanya itu
tidak memerlukan balasan dari makhluk ciptaanNya. Cukuplah sekadar makhluk
itu sendiri memelihara kesempurnaan, kestabilan dan keseimbangan yang sudah
diciptakan oleh Maha Pencipta. Jika mahu juga menunjukkan terima kasih kepada
Maha Pencipta lakukanlah apa yang difikirkan wajar sekadar kemampuan makhluk
itu sendiri, asalkan ianya ikhlas. Kebenaran universal yang ditemui oleh ahli
falsafah inilah asas kepada fahaman pluralisma.
Pluralism berarti beragam pemahaman, atau bermacam-macam fahaman. Pluralisma
agama merupakan konsep yang luas tentang penerimaan agama-agama yang pelbagai.
Di antara fahaman pluralisma agama adalah Tuhan mencipta banyak agama menurut
kesesuaian umat manusia yang terdiri dari berbagai bangsa di pelbagai masa
dan tempat. Semua ajaran agama-agama adalah benar dan semua orang boleh sampai
kepada Tuhan dengan mengikut jalan manapun. Semua agama di dunia ini menyeru
pada Tuhan dan semuanya adalah benar. Sesiapapun tidak boleh mendakwa agama
mereka sahaja yang benar dan betul sementara agama lain salah dan sesat! Kerjasama
dan dialog antara agama-agama yang berbeza perlu digalakkan bagi meningkatkan
persefahaman dan mengujudkan suasana harmoni di antara masyarakat yang berbilang
agama.
Falsafah pluralisma mudah diterima oleh pengamal liberalisma malah golongan
liberalisma merupakan penyebar fahaman pluralisma yang aktif. Mereka terdiri
daripada penganut berbagai-bagai agama. Mereka juga mempunyai kedudukan yang
tinggi dan penting dalam masyarakat antarabangsa. Mereka memiliki sumber kewangan
yang banyak. Lebih utama mereka mempunyai pengaruh dalam politik negara-negara
di seluruh dunia. Senjata mereka adalah hak asasi, demokrasi dan kesamarataan
agama.
Pluralisma agama bukanlah perkara baharu. Jalaluddin Muhammad Akbar, juga
dikenali sebagai Akbar Agung (15 Oktober, 1542 – 15 Oktober, 1605), anak kepada
Humayun yang menjadi pemerintah Empayar Mughal daripada 1556 hingga 1605,
telahpun memperkenalkan kesatuan agama yang dipanggil Din-i-Ilahi (Agama Tuhan).
Beliau berhasrat mendamaikan rakyatnya yang menganut berbagai-bagai agama
dengan cara mengambil unsur terbaik daripada semua agama, terutamanya Islam,
Hindu, Kristian, Jainism dan Zoroaster. Beliau menggalakkan toleransi beragama
dan diadakan debat agama dimana ulama memperdebatkan masalah keagamaan dengan
mubaligh agama-agama yang lain. Orang Islam, Hindu, Katholik malah Ateis
juga diajak menyertai perdebatan demikian. Beliau membina sebuah bangunan
yang dipanggil Ibadat Khana atau Rumah Ibadat sebagai tempat pertemuan dan
perdebatan ahli-ahli agama. Beliau juga mempunyai hubungan yang baik dengan
Gereja Katolik, yang sentiasa menghantar para paderi Jesuit untuk berdebat,
dan sekurang-kurangnya tiga daripada cucunya telah dibaptis sebagai Katolik
(walaupun mereka menjadi Muslim pada kehidupan mereka). Hasil daripada perdebatan
ahli-ahli agama, Akbar merumuskan tidak ada satu agamapun yang berhak mendakwa
sebagai satu-satunya agama yang benar.
Din-i-Ilahi ciptaan Akbar itu dilihat hanya untuk memuja dan mengagungkan
dirinya sendiri dan agama itu tidak mendapat sambutan dan lenyap dengan singkat
selepas kematiannya. Di antara ulama yang kuat menentang Din-i-Ilahi ialah
Ahmad Sirhindi (digelar sebagai mujaddid atau pembaharu Islam) yang menghukumkan
ianya adalah kekufiran.
Gerakan penentangan terhadap agama di Barat yang dilakukan oleh golongan
liberal dan sekular berlaku akibat kecelaruan doktrin agama Kristian yang
dianuti oleh sebahagian besar penduduknya. Kitab Injil yang asal sudah banyak
diubah sehingga muncul berbagai-bagai versi Kitab Injil. Ia mendapat kritikan
yang hebat. Kandungannya tidak lagi relevan. Golongan liberal dan sekular
berpendapat kebenaran boleh didapati dari manusia sendiri berasaskan
akal rasional atau pengalaman dan bukan kitab-kitab agama. Muncullah
tiga jenis pegangan berhubung dengan keagamaan. Pegangan pertama, Tuhan tidak
wujud atau diragui kewujudannya. Kedua, alam ini wujud dengan sendiri, iaitu
menurut hukum alam bukan hukum Tuhan. Ketiga, akal manusia mampu memahami
semua masalah manusia, fenomena alam dan lain-lain. Pendapat agama ditolak.
Gerakan liberalisma dan sekularisma masuk juga ke dunia Islam. Oleh kerana
umat Islam rata-rata berpegang teguh dengan tradisi Islam, mereka susah terpedaya
dengan propaganda liberalisma dan sekularisma. Serangan terhadap umat Islam
diperkuatkan dengan menggabungkan pemikiran liberalisma, sekularisma dan pluralisma.
Gabungan tiga isma tersebut mendapat sokongan daripada penganut agama-agama
minoriti di negara-negara yang majoriti penduduknya adalah Muslim. Golongan
ini menjadi kuat apabila ada pemimpin-pemimpin Islam menyokong mereka. Liberalisma,
sekularisma dan pluralisma menjadi agenda politik yang disembunyikan di sebalik
isu kebebasan berfikir, kebebasan bersuara, hak asasi menentukan amalan kehidupan,
demokrasi yang menjamin kebebasan dan hak-hak tersebut dan juga jaminan kesamarataan
agama. Mereka mahu kerajaan dan institusi keagamaan tidak mencampuri urusan
yang mereka anggap sebagai hak peribadi. Mereka mahu mengamalkan dengan bebas
aktiviti seks bebas, ekonomi bebas, bebas bersuara, bebas berkumpul, bebas
mengkeritik termasuklah mengkeritik doktrin agama Islam, Kitab Suci Quran
dan Nabi Muhammad saw. Perkara pertama yang dilakukan oleh Muslim dan juga
bukan Muslim yang mengamalkan liberalisma, sekularisma dan pluralisma ialah
meletakkan Nabi Muhammad saw sebagai manusia biasa yang sama kedudukan dengan
manusia-manusia lain. Gerakan seperti ini sudahpun berlaku di zaman umat-umat
terdahulu.
Surah al-Mukminun 23/33-34:
Dan berkatalah pemuka kaumnya, orang yang kafir dan mendustakan pertemuan
akhirat (kelak), dan yang Kami mewahkan mereka dalam kehidupan dunia: "Tidak
lain dia (Nuh) ini, melainkan manusia seperti kamu, memakan apa yang kamu
makan, dan meminum apa yang kamu minum.” “Dan sesungguhnya jika kamu mentaati
manusia yang seperti kamu, nescaya kamu (menjadi) orang yang rugi.”
Mereka mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Mereka memiliki
kemewahan. Mereka melihat Nabi-nabi hanyalah manusia biasa yang makan dan
minum seperti manusia yang lain. Apa yang dibawa oleh Nabi-nabi tidak mendatangkan
keuntungan kepada mereka, malah mentaati ajaran Nabi-nabi boleh menyebabkan
mereka kerugian seperti kewajipan mengeluarkan zakat.
Surah Hud 11/27: Maka berkatalah
pembesar-pembesar kafir daripada kaumnya itu: “Kami tidak melihat engkau (Nuh)
melainkan manusia (biasa) seperti kami. Dan kami tidak melihat orang yang
mengikuti engkau melainkan orang yang rendah (kedudukannya) antara kami, (iaitu
yang mengikuti engkau) dengan tidak berfikir. Dan kami tidak melihat engkau
memiliki suatu kelebihan (yang melebihi) daripada kami, bahkan kami beranggapan
engkau adalah seorang yang berdusta.”
Setelah meletakkan Nabi-nabi pada kedudukan manusia biasa, mereka menjadikan
pengikut Nabi-nabi yang kebanyakannya terdiri daripada golongan yang rendah
kedudukannya, sebagai alasan bagi mengatakan ajaran Nabi-nabi hanya diikuti
oleh orang-orang yang tidak berpelajaran, yang jahil, yang tidak berfikiran
bebas. Jika hanya orang-orang dungu mengikuti Nabi-nabi sudah tentu ajaran
Nabi-nabi itu boleh dipertikaikan.
Surah al-Mukminun
23/35-37: “Apakah dia (Rasul itu) menjanjikan kepada kamu, bahawa setelah
kamu mati dan menjadi tanah dan tulang, kamu akan dikeluarkan (daripada kubur)?”
“Jauh, jauh sekali (daripada kebenaran) apa yang diancamkan kepada kamu itu.”
“Ia tidak lain hanyalah kehidupan kita di dunia ini; kita mati dan kita hidup,
dan sekali-kali tidak akan dibangkitkan lagi.”
Perkara
yang paling tidak dapat diterima oleh pemikiran bebas ialah ada kehidupan
sesudah mati, iaitu kehidupan akhirat. Golongan liberal melihat dunia inilah
permulaan dan kesudahan kehidupan. Muslim yang liberal masih mempercayai akhirat
tetapi ia tidak memberi kesan kepada hati untuk mencegahnya dari melakukan
keburukan dan maksiat.
Surah Luqman 31/6: Dan antara
manusia ada orang yang membeli (mempergunakan) cerita yang sia-sia untuk menyesatkan
(manusia) daripada jalan Allah tanpa pengetahuan, dan menjadikannya olok-olok.
Ideologi liberalisma, sekularisma dan pluralisma yang menyesatkan itulah
yang lebih mempengaruhi jiwa mereka. Muslim liberal dan plural bekerjasama
dengan kafir yang berfahaman yang sama untuk menghancurkan Institusi Islam.
Kedudukan ulama diperlekehkan. Perjuangan menjatuhkan pemimpin-pemimpin Islam
dianggap sebagai perjuangan suci menegakkan keadilan dan memelihara hak asasi
manusia. Mereka lebih bertolak ansur dengan orang kafir daripada sesama Islam.
Kecemburuan beragama tidak ada pada mereka, maka mereka tidak peduli jika
ada orang Islam menjadi murtad (malah mereka sanggup membantu orang yang murtad
demi menjaga hati sekutu mereka), Kitab Suci al-Quran dipijak atau dibakar,
Nabi Muhammad saw dihina malah mereka sanggup menjual nama Allah demi mendapat
habuan dunia yang sedikit.
Surah Luqman 31/7: Dan apabila
dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, dia berpaling dengan menyombongkan diri,
seolah-olah dia tidak mendengarnya, seakan-akan ada penyumbat pada kedua-dua
telinganya; gembirakanlah dia dengan azab yang pedih.
Mereka tidak takut walaupun diperingatkan dengan ayat-ayat Allah, hukumanNya
atau kehinaan dan azab yang akan menimpa mereka di akhirat kelak. Golongan
seperti ini muncul dalam semua zaman. Mereka menerima tajalli syaitan untuk
merosakkan akidah tauhid, mengubah Kitab-kitab Suci dan mengada-adakan cerita
tentang Nabi-nabi bagi merendah-rendahkan martabat Nabi-nabi, bahkan di kalangan
mereka ada yang membunuh Nabi-nabi.
Surah Aali-‘Imran 3/21-22:
Sesungguhnya orang yang kufur kepada ayat-ayat Allah dan membunuh Nabi-nabi
tanpa hak (kebenaran), dan membunuh orang yang mengajak manusia berlaku adil,
maka ancamkan mereka dengan azab yang pedih. Itulah orang yang amalan mereka
menjadi sia-sia di dunia dan di akhirat, dan mereka tidak mendapat penolong.
Surah an-Nisa’ 4/155: Maka
(Allah mengutuk mereka) kerana mereka memungkiri perjanjian mereka, dan mereka
kufur kepada ayat-ayat Allah, mereka membunuh Nabi-nabi tanpa hak (dengan
tidak benar) dan mereka katakan: “Hati kami tertutup,” bahkan (sebenarnya)
Allah telah memetraikannya (hati mereka) kerana kekufuran mereka, maka mereka
tidak akan beriman melainkan sedikit.
Surah al-Baqarah 2/102:
Dan mereka ikuti apa yang diceritakan oleh syaitan-syaitan mengenai kerajaan
Sulaiman, padahal Sulaiman tidak kafir, tetapi syaitan-syaitan itulah yang
kafir.
Quran memanggil golongan tersebut sebagai syaitan-syaitan. Syaitan tersebut
mengadakan cerita kononnya Nabi Sulaiman as menjadi kafir di penghujung usia
beliau as. Selain Nabi Sulaiman as bapa beliau Nabi Daud as juga disabotaj
oleh puak syaitan itu. Mereka membawa cerita yang sangat mengaibkan tentang
Nabi Daud as, kononnya Nabi Daud as melakukan maksiat terang-terangan. Apabila
Nabi-nabi dicemari dengan perlakuan maksiat, dosa dan kekufuran, mudahlah
mereka mengenakan tipu daya kepada orang yang mempercayainya agar membuang
ajaran Nabi-nabi.
Muslim yang menyokong liberalisma dan pluralisma membantu syaitan-syaitan
merosakkan agama. Mereka tergamak berbuat demikian kerana mereka beragama
bukan dengan sepenuh hati.
Surah al-Hajj 22/11-13:
Dan antara manusia ada yang mempertuhankan Allah secara
sampingan; jika dia memperolehi kebaikan, tenteramlah dia dengannya, dan
jika dia ditimpa bencana, berbaliklah dia atas mukanya (menjadi kufur). Rugilah
dia di dunia dan di akhirat. Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata.
Dia menyeru selain Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi mudarat dan tidak
memberi manfaat kepadanya. Demikian itu adalah kesesatan yang jauh. Dia menyeru
kepada sesuatu yang mudaratnya lebih dekat daripada manfaatnya. (Yang diserunya
itu) sejahat-jahat penolong dan sejahat-jahat kawan.
Sebelum menjadi plural ia bermula dengan liberal terlebih dahulu. Liberalisma
adalah pemikiran bebas, tidak terikat dengan Quran, Hadis dan Ijmak. Fahaman
liberalisma dan pluralisma mengancam semua agama sebab mereka yang liberal
tidak terikat dengan mana-mana ajaran dan hukum-hakam agama masing-masing.
Umat Islam perlulah memandang serius terhadap ancaman fahaman liberalisma
dan pluralisma itu. Fahaman demikian merosakkan asas agama iaitu: memelihara
kesucian agama, memelihara akal, memelihara keturunan, memelihara harta dan
memelihara jiwa. Memelihara kesucian agama adalah memelihara tauhid. Golongan
liberal dan plural tidak peduli samada orang bertauhid atau melakukan syirik.
Mereka juga memandang remeh perbuatan meminum arak atau mendapatkan makanan
dan minuman yang haram. Mereka juga menerima perbuatan zina dan meliwat sebagai
hak asasi seseorang yang tidak boleh disekat baik oleh kerajaan ataupun otoriti
agama. Sekiranya prinsip asas agama tidak dipelihara ia boleh mewujudkan hubungan
sejenis, melakukan sesuatu tanpa merujuk al-Quran, Hadis dan Ijmak serta
sanggup menggadaikan negara. Negara merupakan harta yang paling besar dimiliki
oleh seseorang dan wajib dipertahankan dari dimusnahkan oleh golongan yang
tidak ada kesetiaan kepada agama, bangsa dan negara.
|