Nabi Nuh as mengajak kaumnya kembali kepada tauhid
Surah Maryam 19/59-60:
Maka datanglah sesudah mereka, pengganti yang mempersiakan solat dan memperturutkan
hawa nafsunya, maka mereka akan menemui kesesatan. Kecuali orang yang bertaubat,
beriman dan beramal salih, mereka itu akan masuk Taman (Syurga) dan tidak
dianiaya sedikitpun.
Nabi-nabi datang membimbing umat manusia kepada akidah yang benar dan mengamalkan
amal salih. Sebahagian daripada umat manusia menerima ajakan Nabi-nabi, menjadi
orang beriman yang beramal salih. Sebahagian yang lain menolak ajakan para
Nabi, menjadi golongan kafir dan bermaksiat. Ketika Nabi dan golongan beriman
masih hidup berlakulah bertembungan hebat di antara mereka dengan golongan
kafir. Apabila Nabi dan orang beriman sudah meninggal dunia, golongan kafir
dan bermaksiat menjadi lebih berpengaruh terhadap generasi yang datang kemudian.
Golongan yang beriman dan beramal salih sangat sedikit. Keadaan umat manusia
adalah umpama sebuah ladang yang dipenuhi oleh pokok-pokok. Ladang yang tidak
terjaga akan mengeluarkan pokok-pokok liar dan beracun dengan banyaknya. Pokok-pokok
yang baik yang memberi manfaat sangat sedikit sekali. Pada ketika itu pokok-pokok
yang baik-baik perlu diasingkan dan simpan di tempat yang selamat. Seluruh
ladang itu perlu dibakar. Pokok-pokok yang sudah terbakar menjadi abu dan
masuk ke dalam tanah menjadi baja. Ladang yang tinggal menjadi tanah yang
subur. Pokok-pokok yang baik-baik yang telah diselamatkan sebelum pembakaran
itu ditanam semula pada tanah yang subur itu. Muncullah ladang baharu yang
mengeluarkan hasil yang baik. Umat manusia menjalani proses yang demikian
dengan kedatangan Nabi Nuh as.
Ada riwayat mengatakan Nabi Nuh as adalah nabi keempat sesudah Adam as,
Syith as dan Idris as. Nabi Nuh As adalah keturunan kesembilan dari Nabi
Adam as. Sebelum lahir Nabi Nuh as, telah hidup lima orang saleh dari keturunan
Nabi Adam as. Mereka hidup selama beberapa zaman kemudian mereka mati. Nama-nama
mereka adalah Wadd, Suwa’, Yaghuts, Ya’uq dan Nasr. Generasi selepas mereka
telah membina patung-patung mereka. Mula-mula mereka menziarahi patung-patung
tersebut untuk mengingati nenek moyang mereka yang salih. Kemudian mereka
memuliakan dan bertawassul kepada patung-patung tersebut. Akhirnya mereka
menyembah patung-patung itu.
Surah Nuh 71/23: “Dan mereka
berkata: Jangan sekali-kali kamu meninggalkan ilah (tuhan) kamu dan jangan
kamu meninggalkan (berhala) Waddan, dan jangan (berhala) Suwa’an, dan jangan
(berhala) Yaghus, dan jangan (berhala) Ya'uq dan jangan (berhala) Nasran.”
Allah swt mengutuskan Nabi Nuh as kepada kaumnya.
Surah al-‘Ankabut 29/14-15:
Dan sesungguhnya Kami utuskan Nuh kepada kaumnya; dia tinggal di kalangan
mereka seribu tahun kurang lima puluh tahun. Mereka ditimpa banjir besar,
dan mereka adalah orang yang zalim. Kami selamatkan dia (Nuh) dan penumpang
bahtera itu, dan Kami jadikan peristiwa itu tanda bagi umat manusia.
Surah Nuh 71/1: Sesungguhnya
Kami utuskan Nuh kepada kaumnya. Berilah peringatan kepada kaum engkau sebelum
datang kepada mereka azab yang pedih.
Nabi Nuh as sangat bersungguh-sungguh mengajak kaumnya kepada jalan yang
lurus.
Surah Nuh 71/5-7: (Nuh)
berkata: "Rabbi! Sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang.”
“Tidak menambahkan kepada mereka seruanku itu melainkan (mereka) lari.” “Dan
sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka agar Engkau ampunkan mereka,
mereka masukkan jari ke dalam telinga mereka dan mereka menutup (muka) dengan
baju, dan mereka berterusan dan takbur sebenar takbur”
Nabi Nuh as menyeru kaumnya siang dan malam tetapi seruannya tidak mendapat
sambutan.
Surah Nuh 71/8-9: “Kemudian
sesungguhnya aku berdakwah kepada mereka secara terang-terangan.” “Kemudian
sesungguhnya aku telah jelaskan kepada mereka secara terang dan secara rahsia
sebenar-benar rahsia.”
Kemudian Nabi Nuh as mempelbagaikan cara dakwahnya. Ada masanya Nabi Nuh
as berdakwah secara terang-terangan. Didatanginya kaumnya yang sedang berkumpul
dan disampaikan dakwahnya. Bila cara demikian tidak berkesan diubahnya berdakwah
secara rahsia sebenar-benar rahsia. Dijumpainya individu kaumnya secara berseorangan
dan di tempat yang sunyi. Mungkin ada sebahagian daripada kaumnya mahu beriman
tetapi takutkan tindakan daripada orang ramai. Andaian Nabi Nuh as itu tidak
tepat. Walaupun didakwah secara benar-benar rahsia namun kaumnya masih juga
menolak dakwahnya.
Surah Nuh
71/10-12: “Maka aku katakan kepada mereka: Mohonlah keampunan kepada Rabb
(Tuhan)mu, sesungguhnya Dia adalah Ghaffar (Maha Pengampun).” “Nescaya Dia
akan mengirimkan hujan kepada kamu dengan lebat.” “Dan membanyakkan harta
dan anak-anak kamu, dan mengadakan untuk kamu kebun-kebun dan mengadakan untuk
kamu sungai-sungai.”
Nuh as mengajak kaumnya kembali ke jalan Allah swt, bertaubat dan memohon
keampunanNya. Mereka diperingatkan bahawa jika mereka kembali kepada jalan
Allah swt nescaya Allah swt mendatangkan kepada mereka hujan yang lebat dan
mengadakan untuk mereka sungai-sungai. Ini menunjukkan tempat tinggal kaum
Nabi Nuh as adalah tempat yang tandus atau gersang, jarang didatangi hujan
dan tidak ada sumber air yang mencukupi. Ditawarkan kepada mereka hujan yang
lebat dan sungai-sungai agar dengan itu memakmurkan hidup mereka. Mereka dapat
mengusahakan pertanian dan lain-lain perusahaan yang memudahkan mereka memperbanyakkan
harta dan anak-anak. Tawaran yang sangat berharga untuk kehidupan mereka
itupun ditolak lantaran kasihnya mereka kepada berhala-berhala mereka.
Surah Nuh 71/13-14: Mengapa
kamu tidak mengharapkan kebesaran Allah? Padahal Dia sesungguhnya menciptakan
kamu dalam beberapa tingkatan?
Nabi Nuh as mengajak kaumnya memperhatikan kebesaran Allah swt yang mudah
disaksikan pada kejadian manusia sendiri. Hasil perhubungan lelaki dan perempuan
bercantumlah benih lelaki dengan benih perempuan di dalam rahim perempuan.
Kemudian berlakulah berbagai-bagai proses yang kompleks di dalam rahim tersebut.
Orang yang tidak ada pengetahuan sains pun dapat melihat perubahan yang berlaku
pada kandungan perempuan, setingkat demi setingkat sehingga keluarlah bayi
yang sempurna. Tidak ada jalan langsung untuk mengaitkan peranan berhala pada
mana-mana tingkat perkembangan manusia dalam rahim itu.
Surah Nuh 71/15-16: Tidakkah
kamu perhatikan bagaimana Allah ciptakan tujuh langit bertingkat-tingkat?
Dan Dia ciptakan padanya bulan sebagai cahaya dan jadikan matahari sebagai
pelita?
Kemudian manusia diajak menyaksikan kejadian alam. Allah swt menciptakan
tujuh langit bertingkat-tingkat. Dia menciptakan bulan sebagai cahaya dan
matahari sebagai pelita. Matahari umpama pelita yang mengeluarkan cahaya dan
bulan meenrima cahaya tersebut seumpama cermin yang membalikkan cahaya yang
mengenainya. Tidak ada jalan juga yang boleh mengaitkan peranan berhala dalam
penciptaan alam yang begitu sempurna.
Surah Nuh
71/17-18: Dan Allah menumbuhkan kamu dari tanah dengan sebenar-benar tumbuh.
Kemudian Dia mengembalikan kamu ke dalamnya dan mengeluarkan kamu dengan sebenar-benar
keluar.
Manusia diperingatkan tentang asal kejadian mereka. Moyang mereka, Adam
as diciptakan daripada tanah. Keturunan Adam as pula berasal dari air mani
yang merupakan saringan dari darah. Darah pula adalah saringan dari makanan
dan makanan adalah hasil daripada unsur tanah. Manusia yang berasal dari
tanah hidup di atas muka bumi, kemudian mati dan ditanamkan di dalam tanah.
Kemudian manusia dibangkitkan semula dari perut bumi. Dalam hal ini juga
tidak ada jalan yang boleh dikaitkan peranan berhala dalam mana-mana proses
tersebut.
Surah Nuh
71/19-20: Dan Allah menjadikan bumi untuk kamu sebagai hamparan. Supaya kamu
menjalani jalan-jalan yang luas padanya.
Bumi ini walaupun berbentuk bulat tetapi manusia yang tinggal di atasnya
seumpama tinggal di atas hamparan. Tidak ada sedikitpun kesukaran bagi manusia
menjalani kehidupan mereka dengan berbagai-bagai aktiviti. Manusia boleh berjalan
ke mana-mana sahaja di atas muka bumi dengan mudah sekalipun ke tempat yang
jauh. Dalam hal inipun tidak ada sedikitpun peranan berhala yang mereka sembah.
Kaum Nabi Nuh as tetap menolak ajakan Nabi mereka walau apa juga keterangan
dan pembuktian yang dibawa. Hati mereka jauh lebih keras dari hati orang kafir
di zaman Nabi Muhammad saw. Quran menceritakan tentang kaum kafir yang menentang
Nabi Muhammad saw.
Surah al-Baqarah 2/6-7:
Sesungguhnya orang kafir itu, sama sahaja, sama ada engkau beri peringatan
kepada mereka atau engkau tidak beri peringatan, mereka tetap tidak akan percaya.
Telah dimetrai (dikunci rapat) oleh Allah atas hati mereka serta pendengaran
mereka, dan atas penglihatan mereka ada tutupan. Dan bagi mereka azab yang
besar.
Walaupun hati mereka dimetrai, pendengaran dan penglihatan mereka tertutup
rapat naum, masih ada sinar harapan pada mereka iaitu mereka masih mampu melahirkan
zuriat yang berpotensi menerima iman. Tatkala menerima penentangan hebat
dari penduduk Taif dan malaikat sudah menawarkan khidmat untuk menghancurkan
kaum yang biadab dengan Nabi Muhammad saw itu, baginda saw mengucapkan: "Walaupun
orang-orang ini tidak menerima Islam, saya harap dengan kehendak Allah swt
yang anak-anak mereka, pada satu masa nanti, akan menyembah Allah swt dan
berbakti kepadaNya."
|