Nabi Nuh as: Sains genetik dan Tannur (tempat pembakaran)
Kaum Nabi Nuh as pula bukan setakat mereka sudah hilang bakat menerima kebenaran
malah mereka juga kehilangan keupayaan melahirkan zuriat yang berpotensi menerima
iman.
Surah Nuh
71/26-27: Nuh berkata: "Rabbi (wahai Tuhanku)! Janganlah Engkau biarkan di
atas bumi ini, seorangpun antara orang kafir itu tinggal.” “Sesungguhnya Engkau,
jika Engkau biarkan mereka tinggal, nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hamba
Engkau, dan mereka tidak akan melahirkan kecuali yang fajir (derhaka) lagi
kafir.
Nabi Nuh as adalah seorang yang pakar dalam sains genetik. Gene kaumnya
telah rosak ke tahap tidak boleh diubati. Mereka bukan sekadar mengalami
kesesatan akidah malah kesesatan akidah itu sudah menjadi penyakit yang menyerap
pada gene mereka seumpama pesakit kanser yang memindahkan gene kansernya
kepada keturunannya. Unsur genetik kanan mereka yang berupaya menerima Cahaya
Ilahi dan menghasilkan tenaga amal salih sudah tidak berfungsi langsung.
Unsur genetik kiri mereka yang menerima tenaga kegelapan Taghut sangat aktif.
Jika mereka melahirkan zuriat, hanya unsur genetik kiri yang aktif pada bayi
mereka. Amat sukar bagi unsur genetik kanan mahu bangkit semula. Inilah sebabnya
bayi yang dilahirkan oleh ibu bapa Muslim diterima sebagai Muslim sejak lahirnya
kerana unsur genetik kanan pada bayi tersebut sangat aktif dan mudah menerima
pendidikan kepaada jalan Muslim yang sebenar. Sangat sukar untuk menukar seorang
Muslim menjadi kafir. Bayi orang kafir pula dikuasai oleh unsur genetik kiri,
maka mudahlah ibu bapa yang kafir mendidik anak mereka untuk terus menjadi
kafir. Sangat sukar mahu menukar orang kafir menjadi Muslim.
Sains genetik dan ilmu perkapalan dan pelayaran merupakan mukjizat Nabi
Nuh as. Baginda as diberikan tugas yang besar iaitu memilih baka terbaik
dari kalangan manusia dan haiwan. Baka-baka yang dipilih oleh Nabi
Nuh as mestilah berpotensi mengeluarkan jenis masing-masing terus menerus
sehingga hari kiamat. Jika Nabi Nuh as salah membuat pilihan nescaya ada
jenis yang pupus dalam masa yang singkat.
Allah swt membenarkan pengetahuan tentang sains genetik yang ada dengan
Nabi Nuh as.
Surah Hud 11/36: Diwahyukan
kepada Nuh: “Bahawa tidak ada lagi yang akan beriman daripada kaum engkau,
kecuali orang yang sudah beriman, maka janganlah engkau berdukacita terhadap
apa yang mereka kerjakan.”
Allah swt memutuskan bahawa tidak ada lagi yang akan beriman kepada Nabi
Nuh as kecuali mereka yang sudah beriman, maka datanglah perintah sebagaimana
ayat di bawah:
Surah al-Mukminun 23/27:
Lalu Kami wahyukan kepadanya (Nuh): "Buatlah bahtera dengan mata-mata (pengawasan)
Kami dan wahyu Kami.
Surah Hud 11/37-39: “Dan
buatlah sebuah kapal dengan mata-mata (pengawasan) Kami dan wahyu Kami, dan
janganlah engkau perkatakan kepada-Ku tentang orang yang zalim itu, kerana
sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan.” Dan dia (Nuh) membuat kapal itu.
Dan setiap kali lalu kumpulan daripada kaumnya di hadapannya, mereka mengejeknya.
Dia (Nuh) berkata: “Jika kamu mengejek kami, maka kami juga mengejek kamu
sebagaimana kamu mengejek.” “Kelak kamu akan ketahui siapakah yang akan ditimpa
azab yang menghinakan dan ditimpa azab yang berkekalan.”
Allah swt memerintahkan Nabi Nuh as membina kapal. Teknologi pembuatan kapal
adalah perkara baru terutamanya bagi Nuh as yang tinggal di tempat yang tandus.
Allah swt mengilhamkan ilmu dan menghantar wahyu tentang teknologi pembuatan
kapal itu. Segala daya dan upaya adalah hak Allah swt. Dia mengurniakan daya
dan upaya kepada hamba-hambaNya sehingga mereka mampu melaksanakan apa yang
Allah swt perintahkan.
Sepanjang pekerjaan membina kapal itu Nuh as tidak perlu lagi menghiraukan
urusan kaumnya. Allah swt sudah menetapkan mereka akan ditenggelamkan. Oleh
itu biarkan sahaja apa juga gangguan daripada mereka. Mereka mengejek Nuh
as kerana membina kapal di bumi gersang atau padang pasir. Bagi mereka pekerjaan
yang demikian tidak masuk akal. Bertambah-tambahlah kekufuran mereka.
Surah Hud 11/40: Sehingga
apabila perintah Kami datang, tannur (tempat bakaran) mengeluarkan air, Kami
berfirman: “Muatkanlah ke dalamnya (kapal itu) sepasang daripada setiap jenis,
dan keluarga engkau, kecuali orang yang telah didahului oleh ketetapan atasnya
(bahawa mereka ditinggalkan), dan (muatkanlah pula) orang yang beriman.” Dan
tidak ada yang beriman bersamanya (Nuh) kecuali sedikit (jumlahnya).
Tanda sudah dekat masa akan berlakunya perintah Allah swt, iaitu kebinasaan
bagi kaum Nabi Nuh as, ialah tannur mengeluarkan air. Apabila Nabi Nuh as
melihat tannur mengeluarkan air, mulalah baginda as memasukkan jenis-jenis
haiwan yang dipilihnya ke dalam kapalnya. Tidak ada nas yang sahih tentang
berapa banyak yang dimuatkan ke dalam kapal tersebut, tetapi ianya satu jumlah
yang sangat besar. Pekerjaan tersebut sangat rumit dan memakan masa yang lama.
Tannur
11-40: Sehingga apabila
perintah Kami datang, tannur (tempat bakaran) mengeluarkan air,
Tannur adalah tempat pembakaran, seperti dapur, oven, kilang pembakar roti
dan lain-lain. Apabila perintah Allah swt datang berlakulah keadaan yang luar
biasa. Kimia organik benda-benda di bumi berubah sehinggakan api mengeluarkan
air dengan jelas.
Api adalah hasil daripada tindak-balas kimia yang dipanggil pembakaran.
Pada satu tahap tindak-balas pembakaran itu, dipanggil titik penyalaan, api
terhasil. Kandunagn utama api adalah karbon dioksida, wap air, oksigen dan
nitrogen. Agar pembakaran dan api terjadi, tiga perkara diperlukan: bahan
bakar, oksigen dan tenaga (biasanya dalam bentuk haba).
Karbon dioksida biasanya dikeluarkan dalam api. Banyak benda yang boleh
terbakar mengandungi karbon. Semua benda hidup mengandungi karbon. Benda
yang dimaksudkan ialah organik. Benda-benda seperti kayu, kertas, gasolin,
kerosen dan banyak daripada pakaian adalah dijadikan daripada bahan organik.
Bila berlaku kebakaran karbon dalam bahan-bahan organik bergabung dengan
oksigen dalam udara untuk menghasilkan haba. Dalam pembakaran yang lengkap,
bahan bakaran akan mengeluarkan air dan karbon dioksida sahaja (tidak ada
asap dan lain-lain produk). Apinya berwarna biru. Ia memerlukan oksigen yang
mencukupi untuk menggabungkan sepenuhnya dengan bahan bakaran. Jika oksigen
tidak mencukupi pembakaran menjadi tidak lengkap. Produk yang terhasil adalah
karbon, karbon monoksida, air dan karbon dioksida. Apinya berwarna kuning
atau oren dan kedapatan asap.
Bahan bakar yang aktif biasanya mengandungi sebatian organik, terutamanya
hidrokarbon, pada tahap gas, cecair atau pepejal. Contoh pembakaran yang mudah
ialah pembakaran hidrogen dan oksigen yang biasa digunakan pada tindak balas
dalam enjin roket: 2 H2 + O2 → 2 H2O(g) + haba. Hasilnya ialah wap air.
Bila hidrokarbon (sebatian organik yang mengandungi hanya hidrogen dan karbon)
terbakar dalam oksigen tindak balas tersebut akan hanya menghasilkan karbon
dioksida dan air. Kebanyakan hidrokarbon ditemui di bumi secara semulajadinya
berlaku dalam minyak mentah, dimana bahan organik yang yang reput dan terurai
menyediakan dengan banyaknya karbon dan hidrogen.
Wap air merupakan bahan yang biasa ujud dalam gas gunung berapi, berjumlah
60% daripada jumlah pelepasan tatkala berlaku letusan permukaan. Tetapi wap
air yang mengwap dari permukaan laut merupakan wap air terbanyak dalam atmosfera
bumi.
Adalah benar api menghasilkan air. Jika sudu dihangatkan di atas api lilin
wap air akan kelihatan di atas sudu itu. Air juga keluar dari paip ekzos kereta.
Air dari langit dan air dari bumi
11-40: Sehingga
apabila perintah Kami datang, tannur (tempat bakaran) mengeluarkan air,
Apabila perintah Allah swt datang, maka datanglah kekuatan yang menguatkuasakan
perintah tersebut. Allah swt memerintahkan api mengeluarkan air. Unsur-unsur
alam tunduk kepada perintah tersebut. Berlakulah tindak-balas kimia yang mengubah
bahan bakar menjadi organik hidrokarbon, menyimpan potensi yang tinggi untuk
menghasilkan air. Dalam keadaan biasa api menukar air kepada wap dan air
membungkus api daripada mendapat oksigen yang mencukupi. Kekuatan mukjizat
datang merombak formula alam. Api mengeluarkan wap dan dengan serta merta
menukar wap air itu kepada cecair air. Cecair air bertemu dengan api tetapi
tidak mengganggu sifat api. Kekuatan mukjizat membentuk ‘dinding’ di antara
air dengan api sehingga kedua-duanya boleh muncul bersama dengan sejahtera.
Di bawah kawalan kekuatan mukjizat tannur atau apa jua yang membakar akan
mengeluarkan air. Api dan air yang bersifat berlawanan bersatu untuk melaksanakan
perintah Allah swt.
Surah Qamar 54/11-12: Maka
Kami bukakan pintu-pintu langit dengan air yang tercurah. Dan Kami pancarkan
daripada bumi mata air, maka bertemulah air itu untuk satu urusan yang sungguh
telah ditetapkan.
Terdapat tannur yang besar di bumi, iaitulah gunung-gunung berapi. Tannur
yang paling besar ialah teras bumi. Di bawah lapisan bumi terdapat tannur
yang bersedia mengeluarkan isinya. Kekuatan mukjizat menolak keluar bahan
panas dari dalam bumi. Air yang dihasilkan mengeluarkan tenaga sejuk, bergabung
dengan tenaga panas api, meretakkan bumi, lalu memancarlah air dari gunung-gunung
berapi dan dari bumi melalui rekahannya. Keadaan bumi ketika itu benar-benar
huru-hara. Semua yang berpotensi mengeluarkan haba mahu keluar ke permukaan
bumi, menyumbang khidmat dalam menghasilkan air yang akan melaksanakan perintah
Allah swt.
Ada penyelidik mendakwa telah menemui kapal Nabi Nuh as di atas sebuah gunung
di Turki. Tinggi gunung tersebut 14,000 kaki. Jika ini diandaikan benar, bermakna
paras air banjir zaman Nabi Nuh as itu melebihi 14,00 kaki dari paras laut
sekarang.
Surah Hud 11/42-43: Dan
ia (kapal) berlayar membawa mereka dalam ombak seperti gunung. Dan Nuh memanggil
anak-nya yang berada di tempat yang jauh: “Wahai anakku, naiklah bersama kami
dan janganlah kamu menyertai orang yang kafir itu.” Dia (anak Nuh) menjawab:
“Aku akan mencari perlindungan di gunung yang akan menyelamatkan aku daripada
air.” Nuh berkata: “Tidak ada yang dapat diselamatkan daripada ketentuan Allah
pada hari ini, kecuali orang yang dikasihani-Nya.” Dan gelombang memisahkan
keduanya, maka dia (anak Nuh) termasuk dalam golongan orang yang ditenggelamkan.
Ombak banjir tersebut setinggi gunung. Tinggi gunung yang biasa ialah 12,000
kaki. Anak Nabi Nuh as yang enggan naik kapal bapanya mahu mencari perlindungan
di gunung tetapi Nabi Nuh as memberitahu anaknya tidak ada gunung yang cukup
tinggi yang dapat menyelamatkan anaknya itu.
Jumlah air yang sangat banyak diperlukan untuk menjadikan banjir sebesar
banjir zaman nabi Nuh as. Air laut dan air dari perut bumi tidak mencukupi.
Sumber air yang sangat banyak ada di langit.
Surah Qamar 54/11: Maka
Kami bukakan pintu langit dengan air yang tercurah.
Surah al-Anbiya’
21/30: Dan apakah orang kafir tidak perhatikan langit dan bumi itu kedua-duanya
(dahulu) adalah sekepal, kemudian Kami pisahkan antara kedua-duanya. Dan daripada
air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka apakah mereka tidak juga
beriman?
Surah an-Nur 24/45: Dan
Allah ciptakan semua jenis haiwan daripada air. Sebahagiannya ada yang berjalan
di atas perutnya, dan sebahagian (yang lain) berjalan dengan dua kaki, dan
sebahagian (yang lain lagi) berjalan dengan empat kaki. Allah ciptakan apa
yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah terhadap segala sesuatu adalah Maha
Kuasa.
Air merupakan asas penciptaan kehidupan. Pada suhu biasa air ujud dalam
bentuk cecair. Air juga boleh ujud dalam bentuk ais dan wap. Air meliputi
71% daripada permukaan bumi. Di atas bumi 96.5% air adalah laut dan sungai,
1.7% adalah air dalam tanah dan 1.7% lagi adalah glasier dan selebihnya adalah
jumlah kecil di dalam udara sebagai wap.
Air di dalam alam semesta (universe) terjadi akibat pembentukan bintang.
Bila bintang-bintang terbentuk keluarlah angin yang kuat mengandungi gas dan
debu. Bila bahan-bahan yang muncul itu bergeser dengan gas di sekelilingnya,
gelombang kejutan yang berlaku akan memampat dan memanaskan gas. Air dihasilkan
daripada gas tebal yang hangat itu. Para penyelidik menemui awan yang sangat
besar mengandungi wap air yang jumlahnya 140 trillion kali lebih banyak daripada
air yang ada di bumi keseluruhannya. Ia berada di ruang angkasa raya yang
dinamakan quasar terletak 12 billion tahun cahaya dari bumi. Air juga dikesan
di dalam awan-awan antara bintang (interstellar clouds) di dalam galaksi yang
ada bumi padanya, iaitu Bima Sakti (Milky Way).
Surah Qamar 54/11: Maka
Kami bukakan pintu langit dengan air yang tercurah.
|