Nabi Nuh as (Perpindahan Dimensi)
Surah
az-Zariat 51/7: Demi langit yang mempunyai jalan-jalan.
Allah swt bukakan pintu-pintu langit. Apabila terbuka pintu langit muncullah
laluan pintas dari langit ke bumi. Perumpamaan laluan pintas itu seumpama
dua buah corong: corong kemasukan dan corong keluaran. Dua corong tersebut
bercantum di bahagian paling kecil. Perpindahan dimensi dilakukan dengan memasukkan
bahan yang hendak dipindahkan melalui lubang corong yang besar pada corong
kemasukan. Bahan tersebut bergerak dari ruang yang luas ke ruang yang kecil
sehingga ke ruang yang paling kecil. Pergerakan jirim dari ruang yang besar
kepada ruang yang kecil menyebabkan berlaku tindak balas kimia: penguraian
jirim kepada jauhar yang kecil sehinggalah menjadi jauhar yang paling kecil,
yang pada kajian sains tidak mungkin terurai lagi. Teori dan formula sains
tertumpu kepada jauhar, atom, jirim, jisim dan tindak balas fizikal. Teori
dan formula sains tidak mampu memasukkan satu faktor iaitu malaikat. Dalam
teori sains tidak ada peranan malaikat. Dalam melaksanakan perintah Allah
swt, seperti membuka laluan pintas untuk perpindahan dimensi, malaikat memainkan
peranan yang sangat penting.
Surah al-Ma’arij
70/4: Malaikat dan Roh naik kepada-Nya dalam satu Hari yang kadarnya lima
puluh ribu tahun.
Kelajuan pergerakan malaikat dalam satu hari malaikat bersamaan lima puluh
ribu tahun bumi. Boleh dibuat perbandingan kelajuan malaikat dengan kelajuan
cahaya. Bintang yang paling jauh dengan bumi adalah galaksi yang paling jauh
(yang dapat dikesan oleh peralatan manusia). Jaraknya 12.9 billion tahun cahaya
daripada bumi. Ini bermakna cahaya bintang tersebut mengambil masa 12.9 billion
tahun untuk sampai ke bumi. Dianggarkan terdapat sebanyak 170 billion galaksi
di dalam alam maya yang mampu diperhatikan dari bumi sekarang, kerana cahaya
(atau lain-lain isyarat) dari objek-objek berkenaan sempat sampai ke bumi
sejak permulaan pembentukannya. Kesemua galaksi berada dalam gugusan galaksi,
seumpama udara-udara yang berada dalam sebiji bola, tidak ada udara langsung
di luar kulit bola. Kesemua jauhar, atom, jirim dan jisim yang terbentuk
melalui apa yang dipanggil ‘Big Bang’ berada dalam ruang satu kerangka. Di
luar dari kerangka tersebut ujud kejadian yang bukan atomik, iaitu kejadian
rohani. Peringkat alam selepas kerangka tadi sehingga ke peringkat yang lebih
tinggi itulah tempat malaikat.
Cahaya mengambil masa 12.9 billion tahun untuk bergerak dari galaksi
yang paling jauh ke bumi. Malaikat bergerak dari tempat yang terlalu jauh
untuk dibandingkan dengan galaksi yang paling jauh itu dalam masa yang terlalu
singkat. Malaikat yang begitu kuat dan pantas itulah yang membentuk corong
dimensi iaitu corong cahaya malaikat.
Corong dimensi berbeza dari black hole. Black hole adalah satu ruang di
dalam ruang angkasa yang gravitinya sangat kuat hinggakan cahaya yang masuk
ke dalamnya tidak terlepas dari sedutananya. Oleh kerana cahaya tidak terlepas
dari black hole maka ia kelihatan hitam. Dan jika cahaya tidak dapat melepaskan
diri dari black hole maka tidak ada bahan lain yang mampu melepaskan diri
darinya. Black holeh bukanlah satu lubang dalam erti kata sebenarnya dan ia
bukanlah kosong. Ia dipenuhi oleh berbagai-bagai bahan, dimampatkan dalam
ruang yang sangat sempit. Ini menjadikan black hole mempunyai tarikan graviti
yang terlalu kuat. Apa sahaja yang menghampirinya akan ditelannya. Apabila
bahan yang ditelan itu berlaga dengan pusat black hole bahan tersebut akan
hilang selama-lamanya. Bila sampai satu masa black hole akan musnah. Black
hole mengeluarkan radiasi bahan hitam. Radiasi ini sebenarnya kehilangan jisim.
Apabila kehilangan jisim berlaku dengan pantas akan sampai peringkat tiba-tiba
black hole tidak ada lagi.
Corong dimensi dibentuk oleh malaikat. Malaikat adalah cahaya yang sangat
murni dan seni, tidak ada satu cahaya dalam dunia sepertinya. Corong cahaya
tersebut sangat terang, terlampau terang sehinggakan ia tidak mampu dipandang
oleh mata dan apa juga peralatan. Cahaya yang lain apabila masuk ke dalam
corong cahaya ini akan menjadi malap berbanding cahaya malaikat, seumpama
cahaya pelita di dalam cahaya matahari. Cahaya malaikat membungkus cahaya
anasir dunia sehingga anasir dunia itu menjadi tidak kelihatan. Kelajuan
malaikat bertambah dengan bertambah kurangnya saiz bulatan corong menuju kepada
bahagian yang paling kecil. Kekuatan dan kepantasan malaikat mengurai segala
jirim yang masuk ke dalam corong dimensi tersebut. Apabila sampai ke titik
terakhir corong kemasukan semuanya terurai sehingga tidak ada lagi atom atau
jauhar yang bagaimana kecil sekalipun. Pada peringkat ini semuanya hilang
buat selama-lamanya. Setelah peringkat ini akan muncullah cahaya seni lagi
murni dipermulaan corong keluaran.
Cahaya seni lagi murni ini adalah bakat kejadian awal atau zat kewujudan
bagi sesuatu jenis kejadian itu. Ia adalah anasir ghaib, bukan jauhar, atom,
jirim atau jisim. Ia adalah latifah rabbaniyah atau urusan ketuhanan yang
manusia tidak mempunyai pengetahuan tentangnya kecuali sangat sedikit. Apabila
datang perintah Allah swt dengan firmanNya “Kun!”, berlakulah apa yang dipanggil
“Big Bang”. “Kun” meletuskan bakat-bakat kejadian awal, mengeluarkan potensi
dan maklumat yang tersimpan padanya. Sudah ada ketentuan berapa banyak jauhar
yang akan tercipta dan berapa banyak atom yang terhasil. Sudah ada ketentuan
berapa banyak jirim dan jisim yang akan muncul dari atom yang terhasil. Semuanya
berlaku dengan sukatan. Penyimpan semua maklumat adalah kejadian awal dan
penyimpan maklumat untuk satu individu kewujudan ialah cahaya seni lagi murni.
Pada cahaya seni lagi murni ini terkumpul segala data mengenai jauhar, atom,
jirim dan jisim dirinya sebelum memasuki corong kemasukan. Dalam proses kemasukan
semuanya terurai sehingga apabila sampai kepada titik akhir corong kemasukan
semuanya hilang, yang tinggal hanyalah penyimpan maklumat iaitu cahaya seni
lagi murni itu. Perumpamaannya adalah seperti orang yang sudah mati, sudah
hancur luluh, tidak ada satu kesanpun tentang kewujudannya. Walaupun semuanya
hancur luluh namun maklumat individu itu tidak hilang. Apabila diperintahkan
untuk bangkit semula penyimpan maklumat individu itu akan melahirkan semula
individu yang sama dan serupa.
Dalam proses keluaran pula cahaya seni sebagai permulaan kejadian, membina
semula dirinya sehingga terbinalah diri yang cukup lengkap sebagaimana keadaannya
sebelum memasuki corong dimensi. Diri atau jisim yang lengkap itulah keluar
dari lubang corong keluaran. Jika asalnya wap air maka yang keluar adalah
wap air. Jika corong keluaran menala ke langit bumi maka wap air akan membentuk
gumpalan awan pada langit bumi dan kemudiannya memeluwap menjadi titik-titik
hujan yang turun ke bumi. Proses kemasukan dan keluaran, iaitu perpindahan
dimensi ini kelihatan rumit tetapi ia adalah pekerjaan malaikat yang sangat
pantas. Jadi, kemasukan dan keluaran itu berlaku seolah-olah pada masa yang
sama. Ia merupakan proses mukjizat yang Allah swt adakan bagi melaksanakan
sesuatu urusan yang Dia tetapkan.
Surah Qamar 54/11-12: Maka
Kami bukakan pintu-pintu langit dengan air yang tercurah. Dan Kami pancarkan
daripada bumi mata air, maka bertemulah air itu untuk satu urusan yang sungguh
telah ditetapkan.
Semuanya berlaku menurut ketentuan Allah swt. Langit mencurahkan air. Bumi
mengeluarkan air. Air langit dan air bumi adalah tentera Allah swt yang diutuskan
untuk melaksanakan perintah Allah swt.
Pelayaran kapal Nabi Nuh as
Kapal Nabi Nuh as dibina dengan kekuatan mukjizat.
Surah al-Mukminun 23/27:
Lalu Kami wahyukan kepadanya (Nuh): "Buatlah bahtera dengan mata-mata (pengawasan)
Kami dan wahyu Kami.
Kapal Nabi Nuh as dibina dengan pengawasan Allah swt, iaitu malaikat-malaikat
mengawasi pekerjaan tersebut, berpandukan wahyu Allah swt. Di zaman Nabi Muhammad
saw malaikat juga turun ikut serta berperang menentang kaum kafir dalam peperangan
Badar dan peperangan yang lain. Wahyu yang disampaikan oleh Allah swt berbeza
dengan maklumat yang disampaikan oleh manusia. Jika manusia menceritakan
sesuatu maklumat, yang diperolehi hanyalah sekadar apa yang diceritakan atau
lebih sedikit kefahaman yang didapati. Apabila Allah swt menceritakan sesuatu
perkara, misalnya ilmu, maka maklumat terperinci yang terdapat dalam ilmu
tersebut difahami oleh orang yang menerima wahyu tersebut. Wahyu Allah swt
tentang teknologi pembinaan kapal hanyalah ringkas tetapi ia menggerakkan
minda untuk mengembangkan maklumat yang diperolehi itu sehingga ilmu yang
lengkap tentang pembinaan kapal difahami dengan jelas.
Surah al-Qamar 54/13: Dan
Kami angkut dia (Nuh) di atas (bahtera) yang daripada papan dan paku.
Bahan utama pembinaan kapal Nabi Nuh as ialah kayu dan paku. Pada zaman
itu sudah ada ilmu pembuatan alat-alat pertukangan. Ilmu meleburkan logam
untuk dijadikan alat pertukangan dan juga pembuatan paku juga sudah ada.
Di bawah pengawasan malaikat, Nabi Nuh as dan orang-orang yang beriman bekerja
membentuk kayu kepada papan, menyusun papan-papan dan memakunya sehingga
terbinalah kapal yang lengkap. Nabi Nuh as mempunyai pengetahuan tentang
kayu yang sesuai untuk digunakan, cara membentuk kayu dan tahu membuat paku
yang mampu memegang papan menahan beban muatan, tekanan dan kuasa ombak yang
sebesar gunung. Itulah kapal yang dibina dengan kekuatan mukjizat.
Surah Hud 11/41: Dan dia
(Nuh) berkata: “Naiklah kamu sekalian ke dalamnya dengan nama Allah sewaktu
berlayar dan berlabuhnya. Sesungguhnya Rabb (Tuhan)ku adalah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.”
Apabila banjir datang berlayarlah kapal Nabi Nuh as. Kapal tersebut bergerak
tanpa menggunakan enjin dan layar. Kuasa menggerakkan kapal itu ialah kuasa
mukjizat:
“dengan
nama Allah sewaktu berlayar dan berlabuhnya”
Nabi Nuh as dikurniakan mukjizat berpengetahuan tentang fenomena alam seperti
udara, angin, air dan ombak. Nabi Nuh as tahu menggunakan anasir alam tersebut
untuk memperjalankan kapalnya, sebagaimana Nabi Sulaiman as dikurniakan mukjizat
mengawal angin.
Surah al-Anbiya’ 21/81:
Dan bagi Sulaiman angin yang bertiup kencang, yang bertiup dengan perintahnya
ke bumi yang Kami berkatinya. Dan Kami mengetahui segala sesuatu.
Angin adalah udara yang bergerak disebabkan matahari memanaskan semua benda
di satu bahagian bumi (bahagian siang), termasuklah udara. Di bahagian satu
lagi (bahagian malam) benda-benda menyejuk. Bumi berputar masuk kepada cahaya
matahari dan keluar daripadanya setiap 24 jam. Jadi semua benda di bumi mengalami
pemanasan dan penyejukan, termasuklah atmosfera. Bila udara dihangatkan ia
mengembang dan naik ke atas. Udara sejuk di sekitar kawasan itu akan bersegera
memasuki ruang yang ditinggalkan oleh udara panas, dan inilah yang dinamakan
angin. Udara sejuk juga kadang-kadang boleh melunsur di atas udara panas menyebabkan
muncul suasana yang tidak stabil dinamakan ribut.
Angin yang bertiup terus menerus beberapa hari akan menghasilkan banyak
ombak yang akan berlaga sama sendiri. Jika terjana tenaga yang mencukupi
ombak-ombak itu akan menghasilkan gelombang yang besar dan bergerak meninggalkan
tempat ribut dan meneruskan perjalanannya ke pantai. Jika ombak yang berpadu
itu mencukupi, tenaga yang terhasil akan mengujudkan gelombang ombak yang
mampu bergerak dengan pantas dan jauh sehingga beribu-ribu batu sebelum sampai
ke pantai.
Nabi Nuh as bukan sekadar mengetahui ramalan cuaca malah maklumat sebenar
tentang pembentukan ribut di permukaan laut yang luas, arah dan halaju angin,
pembentukan dan saiz ombak dan gelombang serta arahnya menurut tiupan angin,
semuanya ada dalam pengetahuan Nabi Nuh as. Arah kapalnya dibina sudah mengambil
kira faktor-faktor pelayaran yang akan dihadapi kelak. Pembinaan kapalnya
berdasarkan konsep pengapungan. Prinsip pengapungan ialah badan yang keseluruhannya
atau sebahagiannya terbenam dalam air akan diapungkan oleh daya yang sama
dengan berat air yang digantikan. Daya apungan yang mengimbangkan berat kapal
menahannya dari tenggelam. Berat kapal dan muatannya menghasilkan daya
yang bertindak ke bawah. Daya pengapungan menghasilkan daya yang bertindak
ke atas kepada kapal yang di atas ombak: ke atas dan pada sudut yang sama
dengan kecondongan. Daya ini dan gandingan dengan lain-lain daya hidrodinamik
menolak kapal ke hadapan. Gabungan daya tersebut (graviti, pengapungan dan
hidrodinamik) menggerakkan kapal menurut arah ombak. Prinsip ini yang digunakan
oleh orang yang menggunakan papan luncur dalam sukan luncur ombak.
Kapal Nabi Nuh as yang akan meluncur di atas ombak direka-bentuk agar mempunyai
kesimbangan yang sempurna. Bahan atau kayu yang digunakan sesuai untuk diapungkan.
Pusat gravitinya lebih ke bahagian ekornya. Susunan muatan tidak menyebabkan
pusat graviti berubah ke hadapan. Jika pusat graviti berada jauh ke hadapan
kapal itu akan terjunam ke dalam laut. Bagi memastikan kapal memperolehi tenaga
ombak yang diperlukan momentum kapal mestilah bersamaan dengan momentum ombak.
Dengan cara ini kapal dibawa oleh ombak, bergerak ke satu arah. Nabi Nuh
as, di bawah pengawasan Allah swt dan dibimbing oleh wahyu, membina sistem
pengemudian dan pengimbangan yang sempurna. Kapalnya mampu bertindak balas
kepada daya angin dan gelombang sehingga kapal tersebut meluncur dengan baik
walaupun di dalam ombak yang sebesar gunung, seolah-olah sekeping papan gelunsur
membawa penggelunsur bergerak dengan daya ombak.
Surah al-Qamar 54/14-15:
Berlayar dengan pemeliharaan Kami sebagai balasan orang yang diingkari. Dan
Kami tinggalkannya sebagai tanda, adakah orang yang memikirkan?
Pelayaran Nabi Nuh as adalah pelayaran yang membawa keselamatan bukan pelayaran
yang membawa azab kepada orang yang derhaka. Oleh itu pelayaran Nabi Nuh as
berada di bawah pemeliharaan Allah swt. Angin dan ombak melaksanakan perintah
Allah swt membawa Nabi Nuh as dan muatan kapalnya ke satu destinasi dengan
selamat.
Surah Yunus 10/73: Maka
mereka mendustakan Nuh, lalu Kami selamatkannya dan orang yang besertanya
di dalam bahtera itu, dan Kami jadikan mereka khalifah, dan Kami tenggelamkan
orang yang mendustakan ayat-ayat Kami itu. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan
orang yang diberi ancaman itu.
Surah al-Mukminun 23/28-31:
Apabila engkau dan orang bersama engkau berada atas bahtera itu, ucapkan:
“Alhamdulillah (segala puji bagi Allah) yang menyelamatkan kami daripada kaum
yang zalim." Dan berdoalah: "Rabbi (wahai Tuhanku)! Turunkanlah aku pada
tempat yang diberkati, dan Engkau adalah sebaik-baik yang memberi tempat."
Sesungguhnya pada (kejadian) itu terdapat tanda-tanda, dan sesungguhnya Kami
menimpakan bala bencana. Kemudian, Kami jadikan sesudah mereka generasi yang
lain.
Sejarah manusia sentiasa berulang. Nabi Adam as berhadapan dengan anaknya,
Qabil, yang derhaka. Nabi Nuh as juga menghadapi anaknya yang derhaka.
Surah Hud 11/42-43: Dan
ia (kapal) berlayar membawa mereka dalam ombak seperti gunung. Dan Nuh memanggil
anak-nya yang berada di tempat yang jauh: “Wahai anakku, naiklah bersama kami
dan janganlah kamu menyertai orang yang kafir itu.” Dia (anak Nuh) menjawab:
“Aku akan mencari perlindungan di gunung yang akan menyelamatkan aku daripada
air.” Nuh berkata: “Tidak ada yang dapat diselamatkan daripada ketentuan Allah
pada hari ini, kecuali orang yang dikasihani-Nya.” Dan gelombang memisahkan
keduanya, maka dia (anak Nuh) termasuk dalam golongan orang yang ditenggelamkan.
Surah Hud 11/45-47: Dan
Nuh menyeru Rabb (Tuhan)nya dengan berkata: “Rabbi (wahai Tuhanku)! Sesungguhnya
anakku daripada keluargaku, dan janji-Mu adalah benar, dan Engkau adalah sebaik-baik
Hakim (Penghukum).” Dia (Allah) berfirman: “Wahai Nuh! Sesungguhnya dia (anakmu
itu) bukanlah daripada keluargamu, sesungguhnya dia melakukan yang tidak
salih. Maka janganlah engkau persoalkan kepada-Ku sesuatu yang engkau tidak
mengetahuinya. Aku mengajarkan kepada engkau agar engkau tidak termasuk golongan
orang yang jahil.” Dia (Nuh) berkata: “Rabbi (Tuhanku)! Aku berlindung kepada
Engkau daripada mempersoalkan kepada Engkau sesuatu yang aku tidak berpengetahuan
tentangnya, dan sekiranya Engkau tidak mengampunkan daku dan merahmati daku,
(nescaya) aku termasuk orang yang rugi.”
Allah swt memutuskan anak Nabi Nuh as bukan lagi daripada ahlinya kerana
anak itu menolak yang salih. Orang yang salih adalah orang yang beriman. Iman
bukan warisan, hatta seorang Nabi tidak boleh mewariskan iman kepada anaknya.
Iman adalah anugerah Allah swt kepada sesiapa yang Dia kehendaki tanpa dipaksa
oleh sesiapa.
Selepas banjir besar
Surah Hud 11/44: Dan difirmankan:
“Wahai bumi, telanlah airmu, dan wahai langit, berhentilah.” Dan air menjadi
surut, perintah telah terlaksana dan kapal berlabuh di atas bukit Judi, dan
difirmankan: “Kebinasaanlah bagi orang yang zalim.”
Kemudian Allah swt memerintahkan bumi menelan airnya dan langit menghentikan
curahan airnya. Berlakulah proses menyurutkan air, kebalikan daripada proses
pembanjiran. Tannur kembali normal. Pembakaran dan bahan panas sekadar mengeluarkan
wap air bukan lagi air yang banyak. Tekanan di dasar bumi juga kembali normal.
Pada permukaan bumi terdapat banyak rekahan akibat letusan tannur yang di
dalam bumi. Ada rekahan yang cetek dan ada yang dalam. Graviti menarik air
ke bawah melalui rekahan-rekahan bumi tersebut. Ada air yang sampai kepada
magma yang panas. Air menyejukkan magma, menjadikannya pepejal yang menahan
air dari terus turun ke bawah. Ada air yang sampai kepada batu hampar di dalam
perut bumi yang menghalang pergerakan air ke bawah. Air yang tidak boleh
turun ke bawah lagi akan berkumpul dan bergerak mendatar, membentuk sungai-sungai.
Sebahagian daripada air itu bertemu dengan bahan panas dalam bumi bertukar
menjadi wap dan gas. Sebahagian lagi menjadi wap dalam atmosfera.
Air di bawah permukaan bumi terdapat di mana-mana, di bawah bukit, gunung,
lembah dan padang pasir. Ada air yang sangat hampir dengan permukaan bumi
seperti paya. Air juga mungkin berada beratus kaki di bawah permukaan bumi
seperti di tanah gersang. Air di tempat yang cetek mungkin baharu beberapa
jam masuk ke bumi. Air yang lebih jauh di bawah permukaan bumi mungkin sudah
mengambil masa 100 tahun. Air yang jauh lebih dalam mungkin sudah mengambil
masa beberapa ribu tahun, selepas bergerak dari tempat masuk di permukaan
bumi hinggalah ke paras yang ia berada sekarang.
Nabi Nuh as, orang yang beriman dan haiwan yang berada di atas kapalnya
semuanya di selamatkan Allah swt, yang lain semuanya dihapuskan. Terlalu
banyak mayat manusia dan bangkai haiwan yang dihanyutkan oleh banjir besar
zaman Nabi Nuh as itu. Banyak juga pokok-pokok yang tumbang dan dihanyutkan.
Semua itu mesti disimpan di tempat yang sesuai agar tidak berlaku wabak penyakit
yang boleh menyebabkan terpupus generasi baharu manusia dan haiwan yang dibawa
oleh kapal Nabi Nuh as. Apabila air surut segala mayat, bangkai dan sampah
sarap dihanyutkan ke bahagian bumi yang rendah. Di antara bahagian bumi yang
rendah adalah Laut Mati di kawasan sempadan antara Jordan dengan Israel. Ia
terletak 1,312 kaki di bawah paras laut. Mungkin di sana dan disekitarnya
terkubur apa yang dibinasakan oleh banjit tersebut.
Allah swt mengikat penciptaanNya dengan Peraturan Keseimbangan.
Surah al-Mulk 67/3-4: Yang
Menciptakan tujuh langit berlapis-lapis, kamu tidak melihat pada ciptaan Al-Rahman
(Yang Maha Pemurah) itu sesuatu yang tidak seimbang. Kembalikan pandanganmu,
adakah kamu melihat sesuatu yang tidak seimbang? Kemudian pandang kedua kalinya,
nescaya penglihatanmu akan kembali kepadamu dengan membingungkan dan lemah.
Surah al-Infitar 82/7-8:
Yang telah menciptakan kamu, lalu menyempurnakan kejadian kamu, lalu Dia menjadikan
kamu seimbang. Dalam bentuk yang Dia kehendaki Dia menyusun kamu.
Peraturan Keseimbangan pada alam semesta menyebabkan setiap juzuk alam semesta
ini menyumbang kepada kestabilan alam. Tenaga dan daya pada planet-planet
membentuk jaringan yang rapi memegang setiap planet dengan teguh pada tempatnya.
Manusia diciptakan seimbang. Planet bumi juga diciptakan seimbang. Jisim dan
tenaga mengimbangi sesuatu kejadian. Jika terdapat lebihan air setelah banjir
zaman Nabi Nuh as itu surut, lebihan tersebut mestilah dikeluarkan dari lingkungan
bumi. Lebihan tersebut dibawa oleh malaikat, diurai kepada jauhar yang halus
dan disebarkan di ruang angkasaraya yang luas, yang tidak memberi kesan kepada
keseimbangan alam semesta.
Nabi Nuh As dan mereka yang besertanya menjadi kumpulan pertama yang akan
membina generasi baharu di atas muka bumi. Allah swt bekalkan kepada mereka
keselamatan dan keberkatan.
Surah Hud
11/48: Difirmankan: “Wahai Nuh! Turunlah beserta keselamatan daripada Kami,
dan keberkatan atas engkau dan atas umat-umat daripada orang yang beserta
engkau. Dan beberapa umat yang Kami berikan kesenangan kepada mereka, kemudian
mereka ditimpa azab yang pedih daripada Kami.”
Surah al-Isra’ 17/3: Anak
cucu daripada orang yang Kami bawa bersama-sama Nuh. Sesungguhnya dia (Nuh)
adalah hamba yang banyak bersyukur.
Banjir besar mengubah permukaan bumi. Banyak sungai muncul, mengalirkan
air ke tempat-tempat yang dahulunya gersang. Banyak gunung berapi menjadi
tidak aktif akibat terendam di dalam air. Ada bahagian bumi yang tenggelam
dan ada pulau-pulau yang baharu muncul akibat pergerakan plat bumi, gempa
bumi dan letupan gunung berapi. Fenomena yang berlaku pada bumi bertujuan
menyediakan bumi untuk dihuni generasi baharu khalifah bumi yang terdiri
daripada orang-orang yang beriman sahaja yang telah diselamatkan. Hanya manusia
yang baik-baik dan haiwan yang baik-baik dipilih untuk mengembangkan zuriat
mereka. Permukaan bumi sudah disediakan sebaik-baiknya untuk mereka bertebaran
meneruskan kehidupan. Allah swt bekalkan mereka dengan keselamatan. Mereka
akan menurunkan keturunan mereka dengan selamat sehingga ke hari kiamat.
Allah swt juga bekalkan mereka dengan keberkatan. Umat manusia dibekati dengan
kedatangan Nabi-nabi dan wahyu Allah swt dari masa ke masa, sehinggalah kepada
Nabi terakhir iaitu Nabi Muhammad saw.
|