Nabi Syith as
Adam as dibekalkan dengan pengetahuan yang cukup untuk menjalankan tugas
sebagai Khalifah Allah swt di bumi. Adam as memperturunkan pengetahuannya
kepada keturunannya secara langsung atau tidak langsung. Adam as mengajar
secara langsung kepada anak-anaknya ilmu penternakan (Habil mengambil bidang
penternakan), ilmu pertanian (Qabil mengambil bidang pertanian) dan ilmu
pembinaan (pembinaan Rumah Ibadat). Sejak generasi manusia yang pertama Adam
as sudahpun mengajarkan asas kesinambungan kehidupan iaitu penyediaan tempat
tinggal dan sumber makanan.
Tidak semua ilmu sempat diajarkan oleh Adam as secara langsung kepada anak-anaknya.
Kebanyakan dari ilmu berpindah melalui benih atau gene. Semua bakat kemanusiaan
terkumpul pada benih manusia, seperti juga benih pokok tersimpan dalam satu
biji. Pada biji yang satu itu tersimpan bakat dan keupayaan untuk melahirkan
akar, batang, ranting, daun, bunga, buah sehingga muncul satu batang pokok
yang lengkap. Lebih kompleks lagi pada benih asal yang satu itu ada keupayaan
untuk membiak menjadi pokok-pokok yang lain yang sama jenis yang tidak terhingga
banyaknya. Pada benih Adam as dan keturunannya tersimpan bakat dan keupayaan
untuk melahirkan ilmu yang bersumberkan apa yang Allah swt ajarkan sebagaimana
firmanNya:
Surah al-Baqarah 2/31-33:
Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (pengenalan yang lengkap) sekaliannya;
“Dia mengajarkan” merupakan jaminan Allah swt bahawa Tenaga Ilahiah sentiasa
memelihara dan mengawal apa yang Dia kurniakan kepada Adam as yang akan diwarisi
kepada Bani Adam sekaliannya. Tenaga Ilahiah memelihara dan mengawal benih
manusia, gene atau DNA atau hormon atau jenis darah atau apa sahaja yang
manusia sudah tahu, yang belum tahu dan yang tidak akan tahu selama-lamanya.
Tenaga Ilahiah mempastikan evolusi manusia berjalan dengan sempurna, meletakkan
bakat pengetahuan pada benih, mengembangkannya pada akal sehingga muncullah
inovasi dalam kemahiran manusia.
Iblis telah berjaya memperdayakan Adam as sehingga Adam as dikeluarkan dari
Taman (Syurga). Di bumi pula iblis berjaya memperolehi wadah pertamanya pada
Qabil sehingga Qabil membunuh saudaranya Habil. Tidak diketahui dengan jelas
kisah Qabil sesudah melakukan pembunuhan itu. Ada yang meriwayatkan Qabil
membawa Ikrima lari meninggalkan penempatan bapa mereka. Qabil mengambil
penempatan di Irak dan disanalah keturunannyaa membiak (riwayat ini tidak
dapat disahihkan).
Selepas kematian Habil, pasangan Adam as dan Hawa dikurniakan seorang anak
lelaki yang diberi nama Syith. Syith adalah satu-satunya anak kelahiran Hawa
yang tidak ada kembarnya. Ada riwayat mengatakan Syith as hidup sekitar 3630-2718
SM, meninggal pada usia 1042 tahun. Menurut keterangan Ibnu ‘Abbas, ketika
Syith as dilahirkan, Nabi Adam as sudah berusia 930 tahun. Ketika masih sakit,
Nabi Adam as berwasiat kepada Syith as untuk menggantikan tempatnya sebagai
pemimpin Bani Adam. Syith as juga dikatakan menjadi guru Nabi Idris as yang
pertama kali mengajarkan baca dan tulis, ilmu falak, menjinakkan kuda dan
lain-lain.
Meskipun Nabi Syith as tidak termasuk dalam senarai 25 Rasul yang wajib diketahui,
namun Nabi Syith as memberi makna yang besar kepada Bani Adam selepas peristiwa
pembunuhan Habil. Kesalihan Nabi Syith as mengimbangi semula kekacauan yang
berlaku berpunca dari Qabil. Nabi Syith as menyambung tugas bapanya Adam
as dalam membimbing Bani Adam kepada jalan yang lurus. Nabi Syith as merupakan
anak Adam as yang paling teratas dalam segi keilmuan, kecerdasan, ketakwaan
dan kepatuhan dibandingkan dengan semua anak Adam as yang lain. Nabi Syith
as merupakan anak yang paling banyak menimba ilmu dari telaga ilmu bapanya.
Di samping pengetahuan yang diperolehi dari bapanya Nabi Syith as juga menerima
sebanyak 50 syahifah daripada Allah swt, sebagaimana hadis yang diriwayatkan
dari Abu Dzar, Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya Allah menurunkan 104
shahifah (lembaran suci, yakni selain empat Kitab Suci pada empat Rasul).
Sebanyak 50 shahifah diberikan kepada Syith”.
Bani Adam berkembang biak. Selepas 40 tahun Adam as membina Masjidil Haram,
Adam as membina Masjidil Aqsa. Ini bermakna dalam tempoh tersebut keturunan
Adam as sudahpun berkembang hingga ke Palestin. Melalui keturunan Syith as
sendiri lahirnya Nabi Idris as, Nabi Nuh as, Nabi Ibraham as dan keturunananya.
Nabi Idris as
Menurut satu riwayat Nabi Idris as adalah keturunan keenam dari Nabi Adam
as melalui nasab Nabi Syith as. Ada riwayat yang mengatakan Nabi Idris as
lahir di Irak dan ada pula yang mengatakan lahir di Mesir. Ada yang mengatakan
Nabi Idris as lahir sesudah 1,000 tahun kewafatan Nabi Adam as dan ada yang
mengatakan beliau as hidup bersama Adam as selama 308 tahun. Ada yang mengatakan
Nabi Idris as wafat di langit keempat. Beliau as hidup selama 82 tahun. Ada
pula yang mengtakan Nabi Idris as itu adalah Nabi Ilyas as.
Kesemua riwayat tersebut tidak ada dalil dari Quran atau Hadis. Apa yang
sahih ialah Nabi Idris as merupakan salah seorang daripada 25 orang Rasul
yang wajib diketahui oleh umat Islam.
Surah al-Anbiya’ 21/85-86:
Dan Ismail, Idris dan Zulkifli. Semua mereka termasuk orang yang sabar. Dan
Kami masukkan mereka ke dalam rahmat Kami. Sesungguhnya mereka termasuk orang
yang salih.
Allah swt menceritakan Nabi-nabi tersebut adalah orang yang sabar dan mereka
dimasukkan ke dalam rahmat Alalh swt. Mereka termasuk orang yang salih. Orang
salih ialah orang yang melakukan amal salih dan amal salih mesti disertai
iman. Jika tidak ada iman tidak ada salih.
Surah Sad 38/28: Atau apakah
Kami jadikan orang yang beriman dan beramal salih sama dengan orang yang
berbuat kerosakan di bumi? Atau apakah Kami jadikan orang yang bertakwa
sama dengan orang yang derhaka?
Lawan kepada amal salih ialah amal yang menyebabkan berlaku kerosakan di
bumi. Orang yang beramal salih adalah orang yang bertakwa sementara orang
yang melakukan kerosakan di bumi adalah orang yang derhaka.
Surah al-Baqarah 2/30:
Dan (ingatlah) ketika Rabb (Tuhan) engkau berfirman kepada para malaikat:
“Sesungguhnya Aku hendak jadikan seorang khalifah (wakil) di bumi.”
Surah al-An’am 6/165: Dan
Dia menjadikan kamu Khalifah Bumi, dan Dia tinggikan sebahagian kamu melebihi
yang lain beberapa darjat, untuk menguji kamu dengan apa yang Dia berikan
kepada kamu. Sesungguhnya Rabb (Tuhan) kamu itu sangat cepat seksaan-Nya
dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun), Maha Mengasihani.
Allah swt melantik bangsa manusia menjadi Khalifah di bumi, diberi amanah
untuk memakmurkan bumi dan memelihara kesejahteraan serta mengelakkan daripada
perkara yang boleh merosakkannya. Melaksanakan amanah tersebut bermakna melakukan
amal salih. Mengkhianati amanah tersebut bermakna melakukan kederhakaan kepada
Allah swt. Pelaksanaan secara benar tugas sebagai Khalifah merupakan pekerjaan
yang salih.
Surah al-Baqarah 2/277: Sesungguhnya
orang beriman dan beramal salih, dan mereka mendirikan solat dan menunaikan
zakat, bagi mereka pahala di sisi Rabb (Tuhan) mereka, dan tidak ada ketakutan
pada mereka dan mereka tidak berdukacita.
Amal salih boleh dibahagikan kepada dua jenis. Pertama amal salih dalam pengibatan
kepada Allah swt. Dalam hal ini manusia tidak ada jalan kecuali berpandukan
wahyu dari Allah swt. Hanya wahyu yang boleh menceritakaan bahawa Dia adalah
“Allah”. Jika Dia tidak memberitahu Dia adalah Allah nescaya tidak ada yang
tahu Dia adalah Allah. Hanya wahyu yang boleh mengajarkaan cara beribadat
kepadaNya. Jika tidak ada bimbingan wahyu nescaya manusia merekacipta berbagai-bagai
cara ibadat. Manusia yang menolak bimbingan wahyu beribadat dengan berbagai-bagai
cara. Ada yang menyembah patung. Ada yang menyembah anasir alam. Ada yang
menyembah manusia. Tanpa bimbingan wahyu manusia mengadakan ibadat yang berunsurkan
syirik.
Amal salih jenis kedua ialah yang berhubung dengan kehidupan seharian manusia.
Piawaian dalam hal ini ialah nilai-nilai murni kemanusiaan. Pada fitrah manusia
sudah ada bakat mengenal yang benar dan yang salah. Apabila wahyu datang
menceritakan mana yang benar dan mana yang salah fitrah manusia dapat menerimanya
dengan mudah. Nilai-nilai murni kemanusiaan diperakui juga oleh golongan
falsafah sekalipun mereka menolak wahyu. Secara umumnya manusia mengakui
mencuri dan membunuh adalah salah. Secara umumnya juga fitrah manusia mampu
menyusun dan mengurus-tadbir urusan sosial dan politik. Bakat fitrah juga
membolehkan manusia meneroka bidang sains, astronomi, IT dan sebagainya.
Wahyu datang membenarkan apa yanag sudah ada dengan fitrah manusia dan wahyu
mengajarkan agar disertai dengan iman pada melaksanakan bakat fitrah tersebut.
Apabila ada penyertaan iman maka pelaksanaannya menjadi amal salih.
Memelihara kesejahteraan bumi dan penduduknya adalah amal salih. Ahli kaji-cuaca
yang beriman yang membantu umat manusia menyelamatkan diri sebelum ribut
melanda adalah melakukan amal salih. Ahli sains yang beriman yang melakukan
kajian tentang penyakit dan ubat-ubatan adalah mengerjakan amal salih. Pakar
perikanan yang beriman yang mengkaji tentang pembiakan ikan adalah melakukan
amal salih. Pakar pertanian yang mengkaji kaedah penanaman padi dua atau
tiga musim adalah melakukan amal salih.
Menyekat perkara-perkara yang merosakkan bumi dan penduduknya juga amal salih.
Orang beriman yang mengkaji cara membenteras penyalah-gunaan dadah dan jenayah
adalah melakukan amal salih. Jurutera dan arkitek yang beriman yang membangun
bangunan yang tidak runtuh, boleh didiami dengan selamat, adalah melakukan
amal salih. Pakar ketenteraan yang beriman yang menyelidik kaedah menumpaskan
musuh adalah melakukan amal salih.
Perkara yang sangat penting dalam melakukan amal salih ialah ilmu. Iman dan
ilmu diperlukan dalam melakukan amal salih. Orang yang tinggi darjat salihnya
adalah orang yang kuat imannya dan mendalam ilmunya. Dalam golongan ini yang
paling atas ialah Nabi-nabi. Nabi-nabi bukan sahaja membimbing dalam urusan
beribadat kepada Allah swt malah mereka juga pelupur dalam bidang ilmu.
Nabi Adam as dikatakan perintis ilmu sains. Baginda tahu kaedah menanam pokok
dan membuat besi. Baginda juga mempunyai ilmu yang lengkap merangkumi pengiraan,
kemahiran, keimanan, dan keduniaan. Selain itu baginda mahir dalam pelbagai
bahasa yang kemudiannya tersebar ke seluruh dunia.
Sains Nabi Syith as dikatakan pakar dalam bidang perubatan dan pelopor kepada
ilmu astronomi yang kemudiannya diwarisi oleh ilmuan Mesir, Yunani, dan Babylon.
Ada riwayat mengatakan Nabi Idris dianugerahi kepandaian dalam berbagai disiplin
ilmu, kemahiran, serta kemampuan untuk mencipta alat-alat yang dapat mempermudahkan
pekerjaan manusia, seperti pengenalan tulisan, matematik dan ilmu astronomi.
Nabi Nuh as dikatakatan memiliki ilmu fizik dan matematik yang tinggi. Baginda
as memiliki ilmu pelayaran dan merupakan nakhoda yang cekap. Baginda as juga
memiliki kemahiran dan teknologi membuat kapal, memiliki ilmu sains bahan
iaitu sains kayu dan logam besi juga ilmu tumbuh-tumbuhan dan pertanian.
Segala ilmu yang dimiliki oleh baginda as adalah daripda wahyu Allah swt.
Diriwayatkan Nabi Hud as dan Nabi Salleh as pakar dalam teknologi bangunan.
Nabi Ibrahim as pakar dalam bidang astronomi. Nabi Sulaiman as mahir dalam
bahasa haiwan dan binatang, juga ilmu mengenai tembaga. Nabi Isa as pakar
dalam ilmu perubatan. Nabi Muhammad saw memiliki semua ilmu sains. Hal ini
kerana Nabi Muhammad dianugerahkan sebuah kitab Al-Quran yang terkandung
sumber segala ilmu pengetahuan. Di dalam Al-Quran terdapat lebih daripada
1000 petunjuk berkaitan dengan ilmu sains. Nabi Muhammad saw juga pakar dalam
bidang geologi dan perubatan.
Walaupun Nabi-nabi tidak membentangkan secara terperinci ilmu yang mereka
miliki namun mereka meletakkan asas ilmu yang dengannya mudah dikembangkan
oleh ulul albab (orang yang kuaat pemikirannya). Ilmu-ilmu yang dibawa oleh
Nabi-nabi dan dikembangkan oleh ulul albab menjadi petunjuk dalam melaksanakan
tuntutan amal salih.
Surah Maryam 19/56-57: Dan
peringatkanlah (tentang kisah) Idris dalam Kitab. Sesungguhnya dia
seorang yang sangat membenarkan (siddik) dan seorang Nabi. Dan Kami mengangkatnya
ke martabat yang tinggi.
Quran menceritakan Idris as adalah seorang siddik dan seorang Nabi. Siddik
ertinya seorang yang sangat benar, sangat dipercayai. Siddik adalah seorang
yang dikurniakan furqan, iaitu kebolehan membezakan yang benar dengan yang
salah. Apabila perkara benar disampaikan kepadanya ‘lampu’ kebenarannya akan
menyala. Jika yang salah disampaikan ‘lampu’ kebenarannya tidak menyala.
Oleh sebab itu perbuatannya bersumberkan kebenaran yang melahirkan amal salih.
Wahyu yang sampai kepadanya memberi makna yang jelas dan pegangan serta amalan
berkenaan dengan wahyu itu adalah yang benar. Oleh kerana itu, untuk orang
siddik segala maklumat yang sampai kepadanya sudah ditapis, diasingkan yang
benar dari yang salah dan apa yang keluar daripadanya baik perkataan mahupun
perbuatan adalah yang benar. Orang siddik menjadi penunjuk arah kepada kaum
atau zamannya. Pada masa Nabi Idris as jumlah Bani Adam sudah ramai dan mereka
menghuni beberapa di atas muka bumi. Ada riwayat mengatakan umat manusia
sudah berkembang ke Irak dan Mesir. Keadaan ini menyebabkan berlakunya evolusi
sosial, pemikiran dan jiwa. Sudah muncul kekeliruan dalam segi akidah dan
amalan. Kekeliruan akidah mula lahir akibat memuliakan anak Adam as secara
berlebih-lebihan. Di antara anak-anak Adam as generasi pertama ada yang benar-benar
salih dan dimuliakan. Kesalihan dan kemuliaan mereka diceritakan kepada generasi
kedua dan seterusnya. Generasi yang di belakang ingin mengenali moyang mereka
yang salih itu. Daripada gambaran yang mereka dapat mereka ukir patung menyerupai
moyang mereka yang salih itu. Pada peringkat awalan patung-patung moyang
diziarahi semata-mata untuk dikenali dan sebagai tanda memuliakan moyang
mereka. Generasi yang kemudian pula menziarahi patung-patung tersebut demi
memuliakan patung moyang itu. Datang pula generasi seterusnya yang menyembah
dan bermohon kepada patung tersebut. Setiap kepercayaan yang lahir ia membawa
bersama sesuatu bentuk amalan. Apabila muncul akidah syirik lahir juga amalan
syirik. Dalam suasana yang demikian umat manusia memerlukan bimbingan daripada
orang siddik dan juga Nabi yang mampu mengasingkan akidah dan amalan yang
benar daripada yang batil. Nabi Idris as datang untuk membawa umat manusia
kembali kepada jalan yang benar.
Nabi Idris as diangkat Allah swt ke martabat yang tinggi. Ada berbagai-bagai
tafsir tentang martabat tinggi yang dianugerahkan kepada Nabi Idris as. Tafsir
yang jelas ialah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari yang diterimanya dari
Syarik bin Abdullah bin Abi Namir, bahawa dia mendengar Anas bin Malik ra
berkata, bahawa Rasulullah saw menceritakan tatkala baginda saw mikraj baginda
saw berjumpa dengan Nabi-nabi Allah di tiap-tiap langit dan baginda saw berjumpa
dengan Nabi Idris as di langit yang keempat. Demikian juga riwayat Muslim
dari Malik bin Sya’sya’ah.
Berbagai-bagai riwayat yang lain tidak ada nas yang sahih.
|