ERTI SYUKUR
Syukur adalah pengakuan hati terhadap ganjaran, nikmat yang diberikan
oleh Allah swt. Syukur bukan hanya meliputi perkara nikmat, malah juga bersyukur
kerana terlepas daripada bala, malapetaka dan bencana yang menimpa. Antara
lain pengertian syukur ialah:
i) Mengaku dan memuji Allah swt atas nikmat yang diberi
dan menggunakan nikmat itu untuk berbuat taat kepada Allah swt.
ii) Nikmat yang diberi oleh Allah swt kepada makhlukNya adalah
dengan limpah kurniaNya semata-mata, seperti nikmat kesihatan, kekayaan,
kepandaian dan sebagainya. Oleh yang demikian, bersyukur dan berterima kasih
atas nikmat-nikmat tersebut merupakan satu kewajipan kepada Allah swt.
iii) Syukur terhadap nikmat yang diperolehi hendaklah ditunjukkan
dengan menggunakan nikmat Allah swt itu bagi menambahkan ibadah kepada Allah
swt dan berbakti kepada makhluk Allah swt.
Hamba yang buat kesalahan dan maksiat tapi Allah tidak terus menghukum,
supaya hamba bertaubat dan bersyukur.
Al-Baqarah 2-51
& 52: Dan (ingatlah) tatkala Kami menjanjikan kepada Musa empat puluh
malam. Kemudian sepeninggalannya, kamu ambil (jadikan tuhan, patung) anak
lembu, dan kamu sebenarnya orang yang zalim. Kemudian sesudah itu Kami
maafkan kamu, supaya kamu bersyukur.
Kaum Nabi Musa as telah menyembah patung anak lembu namun Allah swt masih
memberi mereka peluang untuk bertaubat. Orang yang bertaubat mendapat kemaafan
Allah swt dan sebagai hamba yang dimaafkan perlulah mereka bersyukur
kepada Allah swt kerana tanpa kemaafan Allah swt pasti mereka akan masuk
neraka.
Ingat akan Allah diikuti dengan syukur dan menjauhi kufur.
2-152:
(Oleh itu) ingatlah kepada-Ku nescaya Aku ingat pula kepada kamu; dan
bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu kufur.
Zikrullah atau ingatan kepada Allah swt menjadi asbab untuk Allah swt
ingat kepada hambaNya. Hamba yang berada dalam ingatan Allah swt menjadi
hamba yang bersyukur dan dipalingkan daripada melakukan perkara kufur.
Takwa menandakan syukur. Allah menghantar bantuan dari
alam ghaib.
Aali-Imran 3- 123-126:
Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu di Badar, padahal (ketika itu)
kamu adalah golongan yang lemah. Dan bertakwalah kepada Allah supaya
kamu bersyukur. (Ingatlah) ketika engkau (Muhammad saw) berkata
kepada orang yang beriman: “Apakah tidak cukup bagi kamu Rabb (Tuhan) kamu
memberi bantuan dengan tiga ribu malaikat yang diturunkan (dari langit)?”
Sungguh! Jika kamu bersabar dan bertakwa, sekalipun mereka
datang (menyerang) kepada kamu dengan serta-merta, Rabb (Tuhan) kamu akan
membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda. Dan Allah
tidak menjadikan yang demikian (bantuan dari langit) itu melainkan sebagai
berita gembira bagi kamu, supaya tenteram hati kamu dengannya. Dan tidak
ada kemenangan (pertolongan) melainkan daripada sisi Allah, Al-’Aziz (Yang
Maha Perkasa), lagi Al-Hakim (Yang Maha Bijaksana).
Manusia tidak terlepas daripada menerima pertolongan Allah
swt pada setiap ketika tetapi jarang yang menyedarinya. Kesedaran hanya muncul
tatkala sesorang itu berada dalam keadaann yang benar-benar tersempit, lalu
tanpa diduga dia terlepas dari bala tersebut. Peristiwa demikian menginsafkannya
bahawa Tuhan yang membantunya. Keinsafan tersebut mendorongnya untuk menambahkan
ketakwaannya atau kebaktiannya kepada Tuhan sebagai tanda syukurnya. Dalam
melakukan takwa kepada Tuhan ada tuntutan sabar kerana penghalang pada jalan
tersebut sangat banyak. Takwa yang dipertahankan dengan sabar membuka pintu
rahmat Allah swt. Melalui pintu tersebut Allah swt hantarkan tenteranya
membantu hambaNya yang benar-benar berjihad pada jalanNya.
Syukur Rasulullah saw
Daripada Aisyah ra: bahawa Nabi saw bangun di waktu malam (bersembahyang)
sehingga pecah-pecah kedua kakinya. Aku bertanya kepadanya, “Kenapa engkau
lakukan ini wahai Rasulullah saw? Sedangkan Allah swt mengampunkan dosa
engkau yang terdahulu dan yang terkemudian”. Jawab baginda, “Tidakkah aku
patut menjadi seorang hamba yang sentiasa bersyukur?.”
Allah memberi ganjaran kpd orang yg bersyukur.
Aali- Imran 3-145:
Dan tidak ada satu diri (jiwa) akan mati melainkan dengan izin Allah, (bahkan)
sudah ditentukan tempohnya. Dan sesiapa mahukan ganjaran dunia, nescaya
Kami berikan kepadanya, dan sesiapa inginkan ganjaran akhirat, Kami berikan
juga. Dan Kami akan memberi ganjaran kepada orang yang bersyukur.
Ganjaran untuk orang yang bersyukur lebih istimewa daripada ganjaran dunia
dan ganjaran akhirat yang manusia minta. Ganjaran kerana syukur diberikan
tanpa diminta dan tidak dapat diduga keistimewaannya. Allah swt mengasihi
dan menjaga orang yang bersyukur.
Allah tak hendak menyeksa orang yg bersyukur.
An-Nisa’ 4-147:
Buat apa Allah menyeksa kamu jika kamu bersyukur dan beriman? Dan Allah
itu Syakur (Maha Mensyukuri), lagi ‘Alim (Maha Mengetahui).
Allah swt adalah Asy-Syakur dan Dia bersifat menyukai orang yang bersyukur.
Syukur sahaja tidak memadai. Ia mesti disertai dengan iman. Iman dan syukur
mendatangkan keselamatan dan kesejahteraan. Begitulah Sunnatullah yang Allah
swt tetapkan sejak azali.
Allah mengajar cara ibadat supaya bersyukur.
Al-Maidah 5-6:
Wahai orang yang beriman! Apabila kamu hendak mendirikan solat, basuhlah
muka kamu, dan tangan kamu hingga ke siku kamu, dan sapulah kepala kamu,
dan kaki kamu hingga ke dua mata kaki; dan jika kamu sedang berjunub (berhadas
besar) maka bersucilah (mandi junub); dan jika kamu sakit, atau dalam perjalanan,
atau datang dari tempat pembuangan air (jamban), atau kamu telah menyentuh
perempuan, sedang kamu tidak memperolehi air, maka bertayamumlah kamu dengan
tanah yang bersih (dengan) menyapu muka kamu dan tangan kamu dengannya
(tanah itu). Allah tidak berkehendak menyusahkan kamu, tetapi Dia berkehendak
membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya atas kamu, agar kamu bersyukur.
Allah swt mendatangkan syariat, mengadakan peraturan yang pada zahirnya
menyusahkan hambaNya. Sebenarnya semua itu adalah pendidikan yang Alalh swt
berikan kepada hambaNya. Amalan yang menyusahkan pada zahirnya itulah yang
membersihkan hambaNya. Anuegarah dari Allah swt adalah bersih lagi suci, hanya
boleh diterima oleh orang yang bersih lagi suci. Allah swt mengajarkan syariat
yang membersihkan manusia agar manusia layak menerima kurniaan Allah swt.
Manusia yang bersih dan menerima nikmat Allah swt itulah yang tahu bersyukur.
Allah memberi pengajaran supaya hamba bersyukur.
7-58:
Dan tanah yang baik akan mengeluarkan tumbuh-tumbuhan dengan izin Rabb
(Tuhan)nya, sedangkan tanah yang buruk pula tidaklah mengeluarkannya kecuali
dengan susah payah. Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat bagi orang yang
mahu bersyukur.
Allah swt mendatangkan berbagai-bagai misalan atau perumpamaan sebagai
memberi pengajaran. Ahli ilmu sangat menghargai pengetahuan yang mereka
perolihi melalui ayat-ayat, petunjuk, bimbingan dan perumpamaan yang Allah
swt hamparkan di hadapan mata mereka. Lantaran itu mereka bersyukur.
Syukur mengikat nikmat
Ibrahim 14- 7&8:
Dan (ingatlah) tatkala Rabb (Tuhan) kamu memberi peringatan: “Sesungguhnya
jika kamu bersyukur, nescaya ditambahkan (nikmat) kepada kamu, dan
jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku sangatlah pedih.” Dan Musa berkata:
“Sekiranya kamu kufur, dan sekalian yang ada di bumi juga (kufur), maka
sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
Syukur adalah umpama air dan baja bagi pokok. Pokok yang mendapat air dan
baja akan terus hidup subur mengeluarkan buah dari musim ke musim. Pokok
yang tidak mendapat air dan baja menjadi kering dan akhirnya mati. Air dan
baja bagi nikmat ialah syukur. Syukur menyuburkan nikmat yang sudah diperolehi
sehingga menumbuhkan nikmat yang lain.
Syukur dan sabar
Dalam Hadith Riwayat Imam Tirmidzi menyatakan: “Dua perkara apabila
dimiliki oleh seseorang dia dicatat oleh Allah sebagai orang yang bersyukur
dan sabar. Dalam urusan agama dia melihat kepada yang lebih tinggi lalu
meniru dan mencontohinya. Dalam urusan dunia dia melihat kepada yang lebih
bawah lalu bersyukur kepada Allah bahawa dia masih diberi kelebihan.”
Daripada Abi Yahya Syuhaib Bin Sinan r.a berkata, Rasulullah saw bersabda:
"Sungguh baik nasib orang beriman, kerana dalam semua keadaan mereka mendapat
kebaikan. Dan tidak ada habuan baik seperti ini kecuali bagi mereka yang
beriman. Apabila mendapat kesenangan maka dia akan bersyukur, maka syukur
itu baik baginya. Apabila ditimpa musibah dia bersabar, maka sabar itu baik
baginya". (H.R Muslim)
Nikmat Allah tak terhitung
Ibrahim 14-34:
Dan Dia mendatangkan kepada kamu daripada segala yang kamu pohonkan. Dan
jika kamu hitungkan nikmat Allah, nescaya tidaklah kamu mampu
menghitungnya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan tidak tahu
bersyukur.
Manusia dikurniakan nikmat penciptaan dan nikmat kessinampungan penciptaan.
Asalnya manusia tidak ada, diciptakan menjadi ada. Hanya Allah swt mampu
berbuat demikian. Sebelum manusia diciptakan Allah swt menciptakan keperluan
manusia terlebih dahulu. Apabila manusia diciptakan segala keperluannya sudahpun
tersedia. Manusia yang mempersia-siakan nikmat kesinambungan kewujudan dirinya
itulah yang menzalimi dirinya sendiri. Merekalah makhlukyangtidak bersyukur.
Tidak syukur, nikmat sekejap sahaja
An-Nahl 16- 53-55:
Dan apa jua nikmat yang ada pada kamu, maka adalah ia daripada Allah; kemudian
apabila kamu ditimpa kesusahan, maka kepada-Nya jualah kamu meraung meminta
pertolongan. Kemudian, apabila Dia hapuskan kesusahan itu daripada kamu,
tiba-tiba sepuak antara kamu mempersekutukan (sesuatu yang lain) dengan
Rabb (Tuhan) mereka. Kerana mereka kufur (tidak bersyukur) akan nikmat
yang Kami berikan kepada mereka. Oleh itu, bersenang-senanglah kamu! Kemudian
kamu akan mengetahui.
Bila mengalami kesusahan manusia berdoa kepada Allah swt. Bila terlepas
dari kesusahan mereka melihat makhluk yang melepaskannya. Bila mendapat nikmat
mereka melihat tangan makhluk yang menyampaikan nikmat tersebut atau mereka
melihat kepandaian merekalah yang membawa kejayaan kepada mereka. Mereka
berseronok dengan nikmat yang mereka perolehi, tetapi keseronokan itu sebentar
sahaja. Kemudian mereka akan mengetahui nikmat yang mereka kufuri itu membawa
mereka kepada musibah yang lebih dahsyat.
Nikmat penciptaan wajib disyukuri
An-Nahl 16-78:
Dan Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibu kamu dengan keadaan
tidak mengetahui sesuatupun; dan Dia kurniakan kepada kamu pendengaran dan
penglihatan serta hati; supaya kamu bersyukur.
Orang bersyukur menjadi pilihan Allah dan dibimbing
An-Nahl 16-121:
Dia (Ibrahim) bersyukur akan nikmat-Nya; Dia (Allah) telah
memilihnya dan memberi hidayah petunjuk kepadanya ke jalan yang lurus.
Nikmat menjadi ujian utk disyukuri
An-Naml 27-19:
Maka dia (Sulaiman) tersenyum dengan tertawa kerana (mendengar) perkataan
semut itu. Dan dia berdoa: "Rabbi (wahai Tuhanku)! Perkenankan daku
untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada
kedua-dua ibu bapaku, dan untuk mengerjakan amal salih yang Engkau redai;
dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-Mu yang salih.”
Bukan mudah mahu bersyukur. Nabi Sulaiman as berdoa agar Allah swt memberinya
kekuatan untuk bersyukur. Syukur kepada Allah swt hendaklah digandingkan
dengan terima kasih kepada ibu bapa, atau manusia lainnya yang melalui mereka
Allah swt menyampaikan nikmatNya. Ibu bapa mungkin tidak berpendidikan tinggi
dan tidak mempunyai pangkat yang besar tetapi mereka sangat cermat menjaga
benih yang akan menzahirkan zuriat mereka sehingga apa yang keluar dari sulbi
mereka menjadi bekas yang bersih dan sesuai menerima nikmat Allah swt. Untuk
itu sahaja sudah lebih dari memadai untuk bersyukur kepada ibu bapa.
Syukur di tunjukkan dengan beramal salih. Itupun sukar dilakukan. Lantaran
itu berdoalah untuk yang demikian.
An-Naml 27-40:
Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu daripada Kitab: "Aku akan membawanya
(singgahsana itu) kepadamu sebelum matamu berkelip." Maka tatkala Sulaiman
melihatnya berada di hadapannya, dia pun berkata: "Ini termasuk kurnia
Rabb (Tuhan)ku untuk mengujiku, apakah aku bersyukur atau mengingkari.
Dan sesiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya
sendiri, dan sesiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Rabb (Tuhan)ku adalah
Maha Kaya, lagi Maha Mulia.”
Tidak semua kelebihan datang langsung kepada seseorang itu. Kadang-kadang
ia datang kepada orang yang hampir dengannya yang sama-sama menyumbang kepada
tujuan yang sama. Kelebihan yang datang kepada rakan sekerja atau orang
bawahan menjadi ujian apakah ianya disyukuri atau didengki.
Syukur kpd Allah terima kasih kpd ibubapa
Luqman 31-14:
Dan Kami wasiatkan kepada manusia terhadap kedua-dua orang ibu bapanya;
ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan
memeliharanya (menyusunya) dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada
kedua-dua orang ibu bapa kamu, kepada-Ku tempat kembali.
Sujud syukur
Cara pelaksanaanya adalah sebagai berikut:
1) Mengadap kiblat
2) Bertakbir kemudian sujud sekali dengan membaca doa sepertimana doa
sujud di dalam solat.
3) Bertakbir sekali lagi untuk bangkit daripada sujud, kemudian salam
tanpa membaca doa tasyahud. (untuk salam boleh dilakukan sekali)
Menurut mazhab Syafi'e dan Hanbali bahawa sujud syukur tidak dibenarkan
dilakukan di dalam solat kerana ianya termasuk dalam katogeri sujud di luar
solat. Apabila dikerjakan maka solatnya dianggap batal kecuali dalam keadaan
jahil atau lupa.
Makruh hukumnya mengerjakan sujud Syukur pada waktu-waktu yang dilarang
mengerjakan solat sunat seperti selepas solat Subuh atau selepas solat Asar.
Meskipun pada ketika itu berlaku sebab-sebab yang membolehkan mengerjakan
solat sunat. Begitu juga tidak dibenarkan mengerjakan sujud syukur ketika
mendengar khutbah Jumaat.
|
|
|